Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Sunday, September 4, 2011

Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan

6 Syawal - Oh Tidaaaaakkkkkkk!!!! Cuti raya sudah habis! Esok sudah kembali bertugas seperti biasa. Rasanya belum puas lagi bermalas-malas di rumah, belum puas lagi melayan tetamu yang berkunjung ke rumah namun tugas tetap diteruskan juga esok.

Begitu pantas masa berlalu, Ramadan terasa seperti baru sahaja berlalu semalam, Syawal yang menyusul juga sudah hampir seminggu bersama kita. Begitulah dunia akhir zaman, detik masa berlalu sangat pantas. Lambat atau cepatnya masa berlalu, yang penting kita isikan setiap detik itu dengan penuh rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang menganugerahkan kita nikmat untuk terus hidup di atas muka bumi ini. Semoga Ramadan yang baru sahaja berlalu bukanlah yang terakhir buat kita dan semoga Syawal kali ini memberikan seribu makna buat kita semua. 

Di ruang dan kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua rakan, rakan sekerja, sahabat-handai, saudara mara, guru-guru saya dan juga pengunjung blog ini. Mohon ampun dan maaf andai ada terkasar bahasa, tersilap tingkah, sama ada sengaja atau tidak sengaja, saya hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. "Kullu 'am wa antum bi khair " : "Semoga sepanjang tahun ini, kamu berada dalam kebaikan".

Saya juga ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan Ke-54 kepada semua warga Malaysia. Pada tahun ini, Malaysia sangat bertuah kerana seluruh rakyat meraikan kemerdekaan berganda - sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai meraikan kemenangan menentang hawa nafsu dalam bulan Ramadan dan sambutan kemerdekaan kali ke-54.

Semoga pada usia ke-54 ini, kita semua menjadi warga Malaysia yang matang dengan menghargai perjuangan para pejuang kemerdekaan. Janganlah kita mem'politik'an isu sejarah kemerdekaan lantas menjadikan isu ini sebagai 'alat' untuk melunaskan hasrat peribadi. Berfikirlah secara global kerana perjuangan kita bukanlah untuk diri kita tetapi lebih kepada mempertahankan maruah bangsa dan memartabatkan Malaysia di mata dunia demi kelangsungan hidup anak, cucu dan generasi kita pada masa akan datang. Dirgahayu Malaysia!


0 comments: