"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah:183)
9 Ramadan-Sedar tak sedar, sudah lebih seminggu kita berpuasa. Begitu pantas masa berlalu. Belum terlambat kiranya saya mengucapkan Selamat Beramal di Bulan Ramadan 1432H. Bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Di dalamnya terhimpun pahala yang banyak, terpulang kepada kita sama ada ingin merebut pahala tersebut atau hanya membiarkan pahala-pahala tersebut terlepas begitu sahaja. Kita punya pilihan dan kita mesti membuat pilihan.
Kepada yang berpuasa, bagaimanakah amalan kita setakat ini? Tanya hati, adakah kita sudah membuat sehabis baik untuk merebut pahala yang Allah peruntukkan kepada kita? Kepada mereka yang tahu akan kelebihan pahala di bulan Ramadan, pasti hatinya inginkan sepanjang tahun itu adalah Ramadan. Namun, saya pasti ada juga di antara kita seperti tidak punya hati dan perasaan sebagai hamba Allah, yang hidupnya adalah atas belas kasihan Allah dengan dikurniakan nikmat hidup yang tidak terhingga tetapi berjalan di muka bumi ini dengan angkuh dan sombong, tidak mensyukuri nikmat yang Allah berikan dan tanpa segan silu ingkar kepada perintah Allah. Bukan sahaja tidak berpuasa, malahan tidak mendirikan solat lima waktu. Sudahlah hubungan dengan Allah diabaikan, hubungan dengan manusia juga diporak-porandakan. Hatinya sangat busuk sehingga sanggup mengadu domba, melaga-lagakan sesama manusia. Na'uzubillah, semoga kita dan keturunan kita tidak menjadi golongan seperti itu.
Tidak tahu apa yang mereka mahu. Dalam bulan puasa ini, syaitan dikurung namun sekiranya ada juga kejahatan dan keingkaran berlaku maka itulah syaitan dalam diri kita sendiri. Siapa yang harus dipersalahkan? Jangan asyik menuding jari kepada orang lain, kerana yang memilih untuk baik atau jahat adalah diri kita sendiri, tepuk dada tanyalah iman.
Kita punya pilihan, maka pilihlah yang terbaik untuk diri kita berlandaskan garis panduan iman dan taqwa. Carilah pahala sebanyak yang mungkin dalam Ramadan kali ini dan janganlah sekali-kali mencari bala kerana kita tidak tahu sama ada kita akan bersama dalam Ramadan akan datang atau pun tidak.
Sememangnya Ramadan penuh keberkatan, bukan sahaja limpahan rahmat ke atas umat Islam bahkan juga kepada mereka yang bukan Islam. Apa tidaknya, kita membuat persediaan raya dengan membeli barang-barang keperluan bukan sahaja daripada orang Islam tetapi juga daripada mereka yang bukan Islam. Dan bukan sahaja penjawat awam yang beragama Islam menerima bonus raya, mereka yang bukan Islam juga turut menerima imbuhan yang sama. Masha Allah, itulah dia kelebihan dan keberkatan di bulan Ramadan. Jadi, janganlah kita sia-siakan detik Ramadan ini dengan membazir dan berbelanja yang tidak perlu, kerana itu akan mengurangkan pahala kita di bulan yang mulia ini. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan serta janganlah kita lupakan mereka yang kurang berkemampuan dengan bersedekah dan membayar zakat. Semoga segala amalan kita diterima oleh Allah s.w.t., insha Allah. Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua :-)
Wordless Wednesday : remos
-
Hi. I'm Datin *.I love remos and red lipstick.
xoxo
*remos=jambul







0 comments:
Post a Comment