


Aaha! Lama tak menarikan jari-jemariku ini mencorat-coret dalam blog ini yang alahai sudah menjadi muzium sebab lama sangat ditinggalkan tetapi tetap dikunjungi ramai. Terima kasih saya ucapkan. Sebenarnya banyak perkara dalam kepala otak saya ni yang hendak saya kongsikan bersama pembaca sekalian tetapi saya hendak memberikan yang terbaik dalam setiap coretan saya, oleh itu saya harus merangka setiap apa yang hendak saya katakan. Saya tak nak dikatakan seperti melepaskan batuk ditangga sahaja kan, kalau nak mencorat-coret biar pun sedikit tetapi memberikan impak yang besar kepada pembacanya ;)
Untuk coretan kali ini saya hendak berkongsi pendapat saya tentang beberapa wayang atau filem tempatan dan luar negara yang saya telah saksikan sama ada di rumah mahu pun di pawagam. Dengan Astro First,saya bersama keluarga juga berkesempatan menyaksikan filem-filem tempatan yang terbaharu menerusi kaca televisyen di rumah sendiri dan dengan hanya RM15.00 satu filem selama 48 jam tempoh langganan, serupa juga kan kalau nak pergi tengok wayang di pawagam. Kalau pergi ke pawagam lagi mahal kot sebab duit minyak lagi, duit bayar parkir lagi, duit makan minum lagi dan yang di luar jangka pun ada juga kan ;)
Sememangnya saya peminat genre seram dan thriller, maka filem Khurafat, Sini Ada Hantu, Senjakala dan Dilarang Masuk antara yang menjadi pilihan saya. Daripada empat filem ini, saya memberikan rating yang tinggi kepada Sini Ada Hantu dan Dilarang Masuk yang membawa satu kelainan kepada filem tempatan. Sini Ada Hantu misalnya menampilkan para pelakon muda yang tidak popular tetapi mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan. Ditambahkan pula dengan skrip yang santai, jalan cerita yang baik iaitu memaparkan cerita seram 3-dalam-1 (4-dalam-1 sebenarnya) mengajak para penonton sukar untuk mengalihkan pandangan daripada kaca televisyen (saya melanggan Sini Ada Hantu melalui Astro First).
Begitu juga dengan Dilarang Masuk yang membawa kisah perniagaan organ manusia secara haram sehinggakan sanggup membunuh demi untuk mendapat jutaan ringgit. Peringkat awal cerita Dilarang Masuk penuh dengan teka-teki kerana empat anak muda yang menemui sebuah rumah misteri semakin "cuak" apabila mereka menemui satu demi satu perkara-perkara di luar jangka termasuklah mayat-mayat yang telah dibunuh dan wang kertas jutaan ringgit dalam beg-beg pakaian. Filem Dilarang Masuk juga dibintangi oleh barisan anak-anak muda yang tidak popular tetapi berbakat besar dalam bidang lakonan.
Filem Di Dalam Botol pula mengisahkan kehidupan pasangan sama jenis yang tidak ada penghujungnya. Berdasarkan kisah benar, cerita ini pada pandangan saya mempunyai kekuatannya yang tersendiri namun masih punya ruang untuk diperbaiki. Apa yang saya cukup ingat dalam cerita ini adalah apabila bapa Rubidin (lelaki yang menukar jantina dan Ruby adalah nama 'perempuan'nya) meninggal dunia. Bapa Rubidin berpesan, meminta agar Rubidin memandikan jenazahnya. Rubidin faham akan maksud kehendak bapanya, Rubidin hendaklah pulang ke kampung untuk memandikan jenazah bapanya dengan menjadi seorang lelaki. Demi bapanya, Rubidin sanggup menjadi lelaki kembali walau pun sebelum ini beliau balik ke kampung dengan berbaju kurung. Cerita kehidupan yang cukup menarik untuk menjadi teladan kepada kita semua.
Filem yang saya nanti-nantikan Hikayat Merong Mahawangsa tampil dengan begitu gah sekali dengan barisan pelakon yang cukup "rencah"nya, gabungan pelakon tempatan dan luar negara, ditambah lagi dengan kesan CGI yang bukan sedikit digunakan, busana dan prop yang cukup mempersonakan serta skrip yang sangat baik begitu memuaskan hati saya. Namun, ya masih ada yang perlu dibaiki untuk memantapkan lagi filem ini seperti kapal yang digunakan tidak begitu 'hidup' pada pemerhatian saya. Nampak sangat kapal tersebut baru dicat dan ia bukanlah sebuah kapal perang. Begitu juga ketika mengambil rakaman kapal ini sedang belayar di laut, kelihatan seperti ia hanya terapung-apung tanpa bergerak kerana alur air menunjukkan kapal ini bergerak tidak begitu jelas dan kurang diberikan tumpuan. Seperkara lagi, lanun-lanun Garuda tidak kelihatan seperti lanun pada saya, kerana semuanya kurus kerempeng seperti kurang zat dan tidak ada 'karisma' lanun. Pada pendapat saya, perlu ada 10-20 orang lanun untuk kamera fokus yang betul-betul berbadan sasa dan mempunyai 'karisma' lanun. Cuba lihat bagaimana lanun-lanun dalam Pirates of the Carribean, tengok muka mereka sahaja kita tahu mereka itu lanun. Dan, saya sarankan pihak yang berkenaan dapat memaparkan genre sebegini sebagai 18SG (pada papan iklan & permulaan tayangan) kerana saya membawa anak-anak saya sekali untuk menyaksikan cerita ini, dan apa yang mereka lihat adalah darah yang memercik sana sini. Saya dan suami menggunakan kebijaksanaan untuk menerangkan perkara ini kepada putera dan puteri kami. Dimana silapnya? Saya tidak pasti, tapi saya sangat berharap agar perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Ada yang saya tercicir? Aaha! Biarlah saya akhiri coretan saya dengan cerita animasi luar negara-Rio, yang saya saksikan bersama-sama suami dan anak-anak dalam versi 3D. Cerita yang menarik dan menghiburkan serta padat dengan pengajaran bukan sahaja kepada anak-anak, tetapi juga kepada kita semua, golongan dewasa. Ia mengisahkan seekor burung Spix Macaw yang berwarna biru bernama Blu yang dipelihara sejak kecil oleh seorang perempuan tanpa mengenali golongan sejenisnya (burung). Oleh sebab sudah terbiasa dengan cara hidup manusia, sehinggakan minum koko panas cicah biskut coklat lagi, mengakibatkan Blu tidak pandai terbang. Aaha! Adakah Blu boleh terbang pada akhirnya? Dan bagaimana Blu boleh terbang? Anda kena saksikan sendiri filem yang cukup menarik ini. Skrip yang paling saya ingat - "Fly! Fly Blu! Flying is freedom, you don't have to rely to anyone!" Hmmm.... cukup menyentuh hati saya... ;)
Antara filem yang tidak sabar untuk saya saksikan seterusnya pada tahun ini ialah Nur Kasih The Movie, KaraK, Kung Fu Panda 2 (3D), The Smurfs (3D), Transformer: Dark of the Moon dan Pirates of the Carribean: On Stranger Tides. Jom tengok wayang! ;)








2 comments:
wah, sy pn dh tngk filem2 diatas tu err..kecuali dilarang masuk(tp nnt nk tngk jg). sini ada hantu, yup, i agree memang best dn santai 3 in 1. i like.., ...dlm botol tu ramai ckp x best sbb kualiti pnggmbrn tu x ada (boleh2 cerita sedih cam tu, satu panggung gelak kuat2.) boring sikt jln crita.Merong? masih bnyk kelemahan dan penuh dgn ketidaklogikan. pasal Astro first, i prefer beli cd ori dr langgan Astro 1st, sbb boleh tngk ulang2 kali. hehe. future filem nk tengok KARAK! 26 mei ni. yeah, x sbr!
Atie, saya prefer beli DVD... of course yg original... tp sementara menunggu DVD keluar, layan Astro First dulu la... ;)
Post a Comment