Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Friday, February 5, 2010

Teringin nak tengok kengkawan dapat pengiktirafan antarabangsa

Bila membaca salah satu artikel dalam Berita Harian Online bertajuk "Pelajar PhD kita terima anugerah Ratu Elizabeth", saya teringat pula kengkawan yang sedang menyambung pelajaran di peringkat yang sama. Teringin juga nak tengok diorang ni dapat anugerah yang seperti ini. Tahniah kepada Noor Zaiton Yahaya yang telah menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.


Pelajar PhD kita terima anugerah Ratu Elizabeth

Daripada Harny Abu Khair di London
bhnews@bharian.com.my


Noor Zaiton Yahaya

SEORANG pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dari Malaysia di University of Leeds dipilih sebagai penerima The Queen Anniversary Awards apabila kajiannya mengenai sistem pemantauan dan pengawalan pencemaran udara di kawasan bandar mendapat pengiktirafan Kerajaan United Kingdom.

Noor Zaiton Yahaya, 44, yang juga pensyarah Fakulti Sains Kejuruteraan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij itu yang akan disampaikan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham pada 19 Februari ini.

Noor Zaiton adalah antara dua pelajar PhD antarabangsa di Institut for Transport Studies (ITS) universiti berkenaan, yang layak menerima pengiktirafan berkenaan.ITS yang mempunyai 35 pelajar PhD dari seluruh dunia, adalah institusi penyelidikan sistem pengangkutan awam dan pengawalan pencemaran terbesar di Eropah serta menjadi pusat rujukan global.

Tahun lalu, Noor Zaiton turut diberi penghormatan menyampaikan ucaptama dalam persidangan antarabangsa Urban Environmental Management and Air Quality in Less Developed Countries di Copenhagen, Denmark.

Noor Zaiton ketika dihubungi, berkata pengiktirafan itu meletakkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Setakat ini, saya belum pernah dengar mana-mana pelajar Malaysia menerima anugerah berprestij ini dan saya sangat bersyukur kerana terpilih menerimanya. Ia adalah kejayaan negara dan UMT.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang menaja saya belajar di sini dan juga keluarga terutama suami," katanya.

Noor Zaiton berkata, beliau akan memperkembangkan hasil kajiannya untuk diguna pakai di Malaysia sekembalinya ke tanah air selepas menamatkan pengajian.

"Saya banyak menerima tawaran untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan taraf pengawalan pencemaran udara dan akan cuba menggunakan kepakaran yang ada di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata pengiktirafan itu memberi peluang kepada penyelidik lain untuk pergi lebih jauh dalam usaha mereka meneroka ilmu dan teknologi baru untuk dimanfaatkan bersama.

Dr Aziz berkata, kejayaan Noor Zaiton juga dapat menyuntik semangat pelajar PhD lain dalam meningkatkan usaha menjayakan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

"Pengiktirafan itu membolehkan negara memiliki pakar dalam sistem pengawalan pencemaran dan diharap sebaik menamatkan pengajian, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh itu dapat dikongsi bersama dalam memperkemaskan pengurusan alam sekitar," katanya.

Tuesday, February 2, 2010

Perjanalan masih jauh

Hari ini genap 9 tahun usia perkahwinan saya dan suami. Pelbagai rintangan dan dugaan sudah pernah kami lalui. Tidak terkecuali perselisihan faham di antara kami yang kadang-kala memerlukan kesabaran yang amat tinggi untuk bertahan.

Apa pun yang kami lalui, itulah rencah kehidupan berumahtangga. Pahit dan manis harus diharungi bersama. Yang baik dijadikan pedoman yang buruk itu dijadikan sempadan. Begitulah proses yang kami lalui sebagai suami isteri dalam mematangkan diri.

Usia perkahwinan seawal 1 hingga 4 tahun sebenarnya adalah tempoh penyesuaian di antara pasangan. Sekiranya kita mampu melepasi waktu tersebut, insyaAllah rumahtangga kita akan bertahan lama. Masa bercinta yang sememangnya indah bukanlah penentuan kebahagiaan rumahtangga. Setelah selamat diijab-kabulkan, bermulalah fasa penyesuaian di antara suami isteri begitu juga dengan ahli keluarga dan ipar-duai.

Kepada pasangan yang bertuah, biasanya akan dikurniakan dengan cahayamata setahun kemudian. Pada fasa inilah cabaran kita bermula. Pada ketika inilah kita mengetahui sama ada pasangan kita benar-benar komited dengan rumahtangga atau tidak. Apa tidaknya, anak kecil yang sering bangun malam minta disusukan dan ditukarkan lampin sememangnya mengganggu rutin tidur kita dan pasangan. Kepada yang mendapat pasangan yang bertanggungjawab, dia akan turut sama bangun malam, membancuh susu dan menukarkan lampin anak. Namun, tak kurang juga pasangan yang buat tak kisah.

Begitulah seterusnya, hari demi hari yang dilalui oleh suami siteri memberikan seribu cabaran dan pengajaran. Cabaran tambah dirasakan lagi oleh isteri yang juga bergelar ibu berkerjaya, yang terpaksa mencari pengasuh anak sepermegiannya ke tempat kerja. Mencari pembantu rumah dewasa kini bukanlah satu perkara yang mudah. Kita perlu membayar wang jaminan dan membayar gaji bulanan dengan mengharapkan pembantu rumah dapat membantu kita membereskan kerja-kerja rumah dan mengasuh anak. Kalau nasib kita baik, dapatlah pembantu rumah yang jujur. Kalau sebaliknya, keselamatan anak-anak dan keharmonian rumahtangga menjadi taruhan.

Apa pun yang kita lalui, itu semua adalah proses mematangkan diri sendiri. Melihat anak-anak membesar sihat dan ceria membuatkan saya terlupa semua kesakitan semasa mengandungkan dan membesarkan mereka. Sakit pening di tempat kerja juga hilang begitu sahaja bila mendengar hilai ketawa mereka.

Semoga rumahtangga saya sentiasa dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan kasih-sayang-Nya. Dan semoga Allah memberikan kami kesabaran dan kekuatan dalam menempuhi apa jua rintangan dan cabaran kerana perjalanan kami masih jauh ke hadapan.

Kepada suami tersayang - terima kasih atas perhatian dan kasih sayang Abang selama ini. Terima kasih kerana menjadi tulang belakang Ayang, tempat Ayang berpaut pada masa Ayang kehilangan punca. Kesabaran dan ketabahan Abang sangat Ayang kagumi dan Ayang cuba aplikasikan ketika mendepani cabaran yang menggila. Selamat hari ulang tahun perkahwinan kita yang ke-9!