Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Friday, February 5, 2010

Teringin nak tengok kengkawan dapat pengiktirafan antarabangsa

Bila membaca salah satu artikel dalam Berita Harian Online bertajuk "Pelajar PhD kita terima anugerah Ratu Elizabeth", saya teringat pula kengkawan yang sedang menyambung pelajaran di peringkat yang sama. Teringin juga nak tengok diorang ni dapat anugerah yang seperti ini. Tahniah kepada Noor Zaiton Yahaya yang telah menaikkan nama negara di peringkat antarabangsa.


Pelajar PhD kita terima anugerah Ratu Elizabeth

Daripada Harny Abu Khair di London
bhnews@bharian.com.my


Noor Zaiton Yahaya

SEORANG pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dari Malaysia di University of Leeds dipilih sebagai penerima The Queen Anniversary Awards apabila kajiannya mengenai sistem pemantauan dan pengawalan pencemaran udara di kawasan bandar mendapat pengiktirafan Kerajaan United Kingdom.

Noor Zaiton Yahaya, 44, yang juga pensyarah Fakulti Sains Kejuruteraan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij itu yang akan disampaikan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham pada 19 Februari ini.

Noor Zaiton adalah antara dua pelajar PhD antarabangsa di Institut for Transport Studies (ITS) universiti berkenaan, yang layak menerima pengiktirafan berkenaan.ITS yang mempunyai 35 pelajar PhD dari seluruh dunia, adalah institusi penyelidikan sistem pengangkutan awam dan pengawalan pencemaran terbesar di Eropah serta menjadi pusat rujukan global.

Tahun lalu, Noor Zaiton turut diberi penghormatan menyampaikan ucaptama dalam persidangan antarabangsa Urban Environmental Management and Air Quality in Less Developed Countries di Copenhagen, Denmark.

Noor Zaiton ketika dihubungi, berkata pengiktirafan itu meletakkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Setakat ini, saya belum pernah dengar mana-mana pelajar Malaysia menerima anugerah berprestij ini dan saya sangat bersyukur kerana terpilih menerimanya. Ia adalah kejayaan negara dan UMT.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang menaja saya belajar di sini dan juga keluarga terutama suami," katanya.

Noor Zaiton berkata, beliau akan memperkembangkan hasil kajiannya untuk diguna pakai di Malaysia sekembalinya ke tanah air selepas menamatkan pengajian.

"Saya banyak menerima tawaran untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan taraf pengawalan pencemaran udara dan akan cuba menggunakan kepakaran yang ada di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata pengiktirafan itu memberi peluang kepada penyelidik lain untuk pergi lebih jauh dalam usaha mereka meneroka ilmu dan teknologi baru untuk dimanfaatkan bersama.

Dr Aziz berkata, kejayaan Noor Zaiton juga dapat menyuntik semangat pelajar PhD lain dalam meningkatkan usaha menjayakan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

"Pengiktirafan itu membolehkan negara memiliki pakar dalam sistem pengawalan pencemaran dan diharap sebaik menamatkan pengajian, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh itu dapat dikongsi bersama dalam memperkemaskan pengurusan alam sekitar," katanya.

2 comments:

sonata anak kancil said...

jika mereka yang lain seperti ini...alangkah bangganya rakyat malaysia di persada dunia ini - rakyat malaysia boleh!

Linda Amri said...

betul tu sonata, errr kita ni bila lak nak amik PhD ye... ;-)