Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Thursday, December 31, 2009

Ada apa dengan tahun baru?

Ada rakan-rakan yang bertanya kepada saya, "Malam tahun baru buat apa?" dan "Sambut tahun baru di mana?". Terus-terang saya katakan saya terkedu apabila diajukan soalan sedemikian kerana bukanlah resam saya untuk menyambut tahun baru secara besar-besaran kerana bagi saya tahun baru hanyalah satu detik perubahan angka dan masa yang memberikan kita satu ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah diri.

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun Masihi 2009, esok atau lebih tepat lagi detik 12.01 minit tengah malam nanti kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada 2009 dan selamat datang kepada 2010. Saya pasti ramai rakan-rakan sudah merencanakan sambutan tahun baru sama ada bersama keluarga atau bersama rakan-rakan yang lain dan tidak kurang juga kepada yang berpacaran, akan menyambut tahun baru bersama pasangan masing-masing.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan untuk mengimbas kembali pencapaian kita pada tahun 2009 - adakah apa yang kita impikan pada tahun lalu sudah tercapai? Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang sudah merealisasikan impian tetapi kepada mereka yang belum lagi mencapai apa yang dihajati, marilah kita sama-sama menyorot kembali tindakan yang sudah kita ambil dalam usaha kita mengecapi hajat tersebut, mungkin ada silap yang tidak patut kita ulangi pada tahun 2010.

Bagaimana pula dengan azam 2010? Sudahkah anda menanam iltizam dalam diri untuk mempunyai visi dan misi 2010? Walau apa pun visi dan misi anda saya harapkan kita semua akan menjadi orang yang berjaya setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan semestinya setiap tahun. Tanamlah azam setiap hari dan bukannya setahun sekali. Sama-samalah kita menjadi orang yang sentiasa memperbaiki diri dengan berpegang kepada prinsip hari ini lebih baik daripada semalam dan esok insyaallah lebih baik daripada hari ini.

Bangunlah setiap pagi dengan memohon doa kepada Allah agar kita pada hari tersebut adalah di antara mereka yang tergolong dalam kalangan insan yang berjaya dan beroleh kecemerlangan. Setelah berdoa maka berusahalah dan bertawakallah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Dengan bertukarnya tahun, secara langsung umur kita juga akan meningkat satu tangga. Oleh itu, sama-samalah kita menjadi manusia yang lebih matang dan semoga kita menjadi insan yang tidak jemu untuk menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara tanpa mengira bidang yang kita ceburi.

Kepada rakan-rakan yang mempunyai rencana malam ini, pesanan saya - jaga diri dan bersederhanalah dalam semua segi.

Selamat tahun baru 2010 kepada semua!

Tuesday, December 22, 2009

Yeeeeaahhhh!!!! Cuti sekolah datang lagi... layannnnnn!!!!

Mungkin saya terlewat untuk membuat sorakan ini. Sebabnya mungkin sudah lama sebenarnya cuti sekolah bermula, barulah saya bersorak (bagi pihak anak-anak saya) atau mungkin terlewat sebab saya sudah terlalu lama sebenarnya meninggalkan alam persekolahan.

Kesibukan di tempat kerja pada hujung tahun memang tidak digemari oleh segelintir orang sebab pada ketika itulah sebenarnya masa harus diluangkan bersama anak-anak yang sedang bercuti sekolah yang agak panjang. Saya merupakan salah seorang daripada segelintir orang itu. Minggu ini barulah saya berpeluang untuk pergi bercuti bersama anak-anak.

Anak-anak asyik bertanya "Bila ummie nak cuti? Bosanlah duduk rumah", "Bila kita nak pergi memancing ummie?", "Bila nak mandi kolam ummie?". Hah! Naik bosan saya menjawab soalan-soalan cepumas tu. Sudahnya, saya dan suami membawa mereka bercuti di KK sahaja. Janji, anak-anak dapat bermalam di luar rumah.

Untuk percutian kali ini, saya memilih untuk menginap di Manja Hotel yang terletak di KK Times Square. Hmmm... boleh tahan juga besar biliknya. Untuk pengetahuan, Manja Hotel ini baharu sahaja dibuka iaitu kurang dari setahun. Tak pasti dengan kadar bilik yang lain tetapi untuk Family Room harganya adalah RM168.00 untuk satu malam. Family Room ini ada dua katil queen size, cukup selesa untuk keluarga berempat beranak.

Pada masa catatan ini ditulis, anak-anak dan suami pergi memancing di Jesselton Point. Saya? Hmmm... untuk malam nih saya nak berehat dulu dalam bilik hotel sambil mengemaskini blog-blog yang ada.

Ini kisah percutian saya untuk cuti sekolah kali ini, anda pula bagaimana? Di mana anda bercuti? Walau di mana pun anda bercuti, saya ucapkan selamat bercuti. Bercutilah mengikut kemampuan anda :-)

Selamat bercuti semua!


Antara ruang dalam bilik Family Room


Bilik air yang selesa


Saya memang suka ambil gambar lampu bilik hotel


Kalau dah tak tau nak buat apa, tengoklah TV :-)

Tuesday, December 15, 2009

Mengimbau Kenangan @ SBPS Reunion Batch 88-92

Pada 12 Disember yang lalu, saya sekeluarga berkesempatan memenuhi undangan reunion rakan-rakan sekolah saya.

Terasa begitu cepat masa berlalu, seperti baharu sahaja meninggalkan alam persekolahan tetapi setelah saya melihat wajah para rakan, ada yang tidak saya kenali atau ingati, baharulah saya sedar bahawa sudah terlalu banyak ingatan saya terhadap zaman persekolahan sudah hilang dari kotak hitam memori saya.

Untuk itu, sebenarnya saya berasa sangat sedih - maaf saya pohon kepada mereka yang tidak saya ingati. Mungkin dahulu saya tidak begitu rapat dengan mereka, atau mungkin saya yang dahulu terlalu "low-profile" atau pasif, atau sememangnya saya sudah terlalu tua untuk mengingati semuanya, maklumlah setelah 17 tahun baharu saya bertemu mereka setelah tamat persekolahan.

Perasaan saya ketika itu - bercampur gembira, sedih, kabur-kabur seperti mengidap amnesia pun ada.

Apa pun, saya berasa gembira bertemu mereka semua. Kepada rakan-rakan yang lain, jom bersama kami lagi pada tahun-tahun akan datang. Tentu lebih seronok sekiranya anda semua ada bersama.

Inilah beberapa gambar yang sempat saya rakamkan dan akan saya upload ke facebook sedikit masa lagi.



Tempat di mana perjumpaan ini diadakan


Jejaka-jejaka idaman Malaya


Agenda penting - "makan time"!


Mrs. Haris, Farah, Daniel & Mrs. Daniel


Tidak taulah apa yang Jogi tengah cakapkan tu


Biasalah kan kalau perempuan sudah berjumpa


Cinta mereka bukannya cinta monyet


Ini kandid kah apa? Macam belum bersedia lah diorang nih


Atau mungkin jurufoto tidak kira kot


Jurufoto rasmi - terima kasih!


Penghargaan kepada saudara Haris yang merencanakan perjumpaan ini.
Terima kasih Haris! Tahun hadapan, buat lagi, ya!