Monday, August 31, 2009

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!


Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka


Itulah bait-bait lagu Allahyarham Sudirman yang menjadi kegemaranku sejak kecil. Dalam ingatan minda sedar aku inilah kali pertama sambutan kemerdekaan Malaysia diadakan dalam bulan Ramadhan. Semoga Malaysia sentiasa dirahmati oleh Allah.

Atuk dan nenekku selalu bercerita tentang kehidupan mereka semasa masih dijajah (sebelum merdeka). Selalu terngiang-ngiang mereka berkata ubi kayu dan ikan masin adalah makanan ruji mereka tidak seperti sekarang, kita sangat mewah dengan makanan dan perasaan takut akan penjajah sudah tidak lagi membelenggu generasi kini.

Tapi atuk dan nenek sudah tiada, yang masih ada untuk bercerita pasal semua itu adalah bapaku yang juga sempat merasakan kehidupan sebelum merdeka.

Hari ini genaplah kemerdekaan Malaysia yang ke-52 tahun. Kalau hendak disamakan dengan manusia, hanya tinggal 3 tahun lagi untuk menempuh alam persaraan. Semestinya, usia 52 tahun adalah peringkat umur yang sudah cukup dewasa dan matang.

Adakah kita rakyat Malaysia sematang usia negara kita? Dengan polemik politik kini, aku bertanya kepada diriku sendiri, adakah kita merdeka sepenuhnya? Adakah ini yang dikatakan merdeka? Adakah ini yang dinamakan bebas? Bebas untuk membuat sesuka hati kita untuk kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain? Adakah konsep 1 Malaysia penyelesaian kepada semua ini?

1 Malaysia? Hmmm... aku suka perkataan itu dan aku suka konsepnya, cuma berkata-kata sahaja tidak memadai kerana apa sahaja yang diperkatakan haruslah disusuli dengan tindakan kalau tidak itulah yang dinamakan sebagai NATO (No Action Talk Only).

Dalam diriku, sudah lama aku mengamalkan 1 Malaysia, sejak di bangku sekolah, aku tidak punya masalah untuk tidur sebilik dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan agama. Sebab apa yang penting, kita haruslah hormat-menghormati antara satu sama lain, kita haruslah memberi ruang kepada mereka sebagaimana kita mengharapkan mereka memberikan ruang kepada kita.

Dan kini, aku semakin dewasa dan semestinya ruang itu haruslah aku buka lebih luas lagi merangkumi aspek hak dan kepentingan bersama (win-win situation) dalam dunia kehidupan yang sebenar. Seboleh mungkin, aku cuba elakkan perasaan dan perlakuan pilih kasih.

Pilih kasih? Ya, pilih kasih atau perkataan lebih moden tetapi merumitkan - birokrasi. Birokrasi adalah perkataan yang seharusnya dikikis dalam perlaksanaan membudayakan 1 Malaysia. Adakah kita sudah bersedia untuk itu? Tepuk dada, tanyalah selera.

Selamat ulang tahun kemerdekaan yang ke-52, semoga bumi Malaysia sentiasa dibawah perlindungan Allah, semoga kita sentiasa diberikan rahmat dan kasih sayang-Nya dan sama-samalah kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

Jutaan terima kasih kepada wira yang berjuang untuk memerdekakan Malaysia, tanpa mereka kita tidak akan dapat mengecapi apa yang kita miliki kini.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Monday, August 24, 2009

Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna...



Assalamualaikum buat semua rakan-rakan dan pembaca blog-blog saya.

Salam Ramadhan buat kalian, salam ukhuwah dan salam kejayaan dan kemenangan buat kita semua agar bisa kita menentang hawa nafsu sepanjang Ramadhan ini, insyaAllah.

Baru sebulan lebih saya tidak mengemaskini blog-blog saya, namun saya rasakan seolah-olah sudah bertahun saya tidak berkunjung ke sini.

Kesibukan yang melampau sebelum Ramadhan membuatkan saya tidak berkesempatan menitipkan beberapa perkhabaran dalam blog ini.

Namun, dalam kesibukan itu, sebenarnya saya banyak berfikir tentang hidup dan mati. Saya rasa amat gembira dan terharu kerana masih diberikan kesempatan untuk merasai nikmat Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang didalamnya mengandung seribu rahmat dan keberkatan. Bulan yang memberikan kita peluang untuk mengecapi pahala 1000 bulan. Untuk itu, saya amat bersyukur.

Jika kita lihat di sekeliling kita, ada di antara rakan-rakan, sanak saudara dan orang-orang yang kita kenali telah kembali menemui Ilahi dan tidak berkesempatan untuk bersama kita dalam Ramadhan kali ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh.

Adalah satu kerugian, sekiranya kita yang masih dikurniakan nyawa ini tidak mengambil peluang ini sebaik mungkin. Saya menyeru kepada diri saya dan kepada semua rakan-rakan agar kita sama-sama mengaut untung dengan mendapatkan pahala sebanyak yang mungkin dalam Ramadhan kali ini.

Terlalu banyak sebenarnya yang ingin saya kongsikan, tapi untuk permulaan saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan dan pembaca blog ini sekiranya selama ini saya ada terkasar bahasa dan tersilap tingkah, saya hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas dari membuat kesalahan.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat meningkatkan amal ibadah.

Semoga Ramadhan kali ini memberikan seribu makna buat kita semua...


Harapan Ramadhan
Artis : Raihan & Man Bai


Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua