Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Monday, June 29, 2009

Kenapa kenapa?


Kenapa pontianak berambut panjang?











Kenapa kacang panjang walaupun pendek tetap dipanggil kacang panjang dan bukannya kacang pendek?









Kenapa mi dan air sirap bandung tiada di Bandung?













Kenapa kita suka tanya kenapa?

Saya bertukar profession

Salam ceria pada pagi Isnin!

Sementara saya mengemaskinikan gambar-gambar yang ada, saya hendak membuat catatan yang pertama untuk minggu ini dengan menyatakan saya sudah bertukar profession buat sementara waktu. Ini adalah kerana anak perempuan kesayangan saya - Nana jatuh di bilik air semalam, luka lalu terpaksa dikejarkan ke hospital dan Nana menerima tiga jahitan di bawah dagu.

Nana sedikit pun tidak menangis. Saya yang menangis sebab tengok lukanya yang agak dalam. Saya sengaja tidak memberitahu keadaan lukanya sebab takut dia panik.

Saya mengambil cuti hari ini untuk menjadi jururawat sementara kerana hendak menjaga beliau dan memastikan beliau mengambil antibiotik setiap enam jam (ada pengasuh tetapi lagi afdal kalau saya yang menjaga beliau).

Inilah gambarnya sebelum tampalan di bawah dagu dibuka.

Sunday, June 28, 2009

Filem "Geng : Pengembaraan Bermula" satu Fenomena

Saya tahu sekarang ini tengah demam filem luar negara Transformer : Revenge of the Fallen yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminat filem terutama sekali golongan kanak-kanak.

Saya suka membawa anda kembali menoleh ke belakang sedikit dan berbicara tentang filem tempatan Geng : Pengembaraan Bermula yang dibintangi oleh watak utamanya Upin dan Ipin yang dikatakan merupakan satu fenomena kepada industri perfileman tanah air.

Rencana "Fenomena Upin dan Ipin" tulisan Mohammad Mahdi Abas yang dipaparkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2009 membicarakan secara terperinci tentang filem Geng : Pengembaraan Bermula ini. Saya paparkan di sini antara yang terkandung dalam rencana tersebut untuk dikongsikan bersama anda.

1. Filem animasi buatan tempatan jarang mendapat sambutan daripada peminat. Sehingga kini hanya lima buah filem animasi tempatan yang dihasilkan.

Bermula dengan Hassan Mutalib yang menghasilkan Silat Lagenda pada tahun 1998, diikuti dengan Puteh (2001), kemudian dua buah animasi berbahasa Inggeris iaitu Simply Irresistible dan Last But Not Least pada 2007, sehinggalah Budak Lapok (2007), kesemua filem ini dikatakan gagal mendapat sambutan.

2. Filem animasi terbaharu, Geng : Pengembaraan Bermula (selepas ini disebut Geng) yang mula ditayangkan pada 12 Februari yang lalu mencipta fenomena tersendiri. Tidak ada pihak yang menjangkakan bahawa filem ini mendapat sambutan yang hebat.

Seawal minggu pertama tayangan, Geng sudah mengaut RM1.75 juta jumlah kutipan tiket. Dengan jumlah ini, Geng mengatasi kutipan filem "pecah panggung" (blockbuster) Hollywood seperti Valkyrie, The Curious Case of Benjamin Button, dan Slumdog Millionaire yang ditayangkan serentak ketika itu. Tambah menghairankan, filem animasi ini ditayangkan diluar musim cuti persekolahan.

3. Penonton terpaksa membuat tempahan tiket terlebih dahulu terutama pada hujung minggu kerana ada yang terpaksa pulang dengan perasaan hampa kerana kehabisan tiket walaupun filem ini ditayangkan sebanyak tujuh kali sehari.

Senario sebegini tidak pernah berlaku kepada mana-mana filem animasi tempatan yang ditayangkan sebelum ini kecuali beberapa filem cereka yang lain. Sehingga masuk minggu keempat tayangan, filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik tiga dimensi (3D) ini mencatatkan jumlah kutipan mencecah lebih RM5 juta.

4. Geng merupakan filem sulung syarikat Les' Copaque Production. Diarahkan oleh pengarah muda Mohd. Nizam Abdul Razak, graduan Universiti Multimedia Malaysia.

5. Kos bagi menghasilkan filem ini adalah sekitar RM4.2 juta - angka ini sebenarnya kecil dalam pembikinan sesebuah filem animasi. Namun, kualiti filem ini membanggakan terutama dari segi kualiti 3D yang boleh dianggap setanding dengan filem animasi antarabangsa.

6. Salah satu ciri yang tidak ada pada pada filem yang lain yang mampu mejadikan Geng satu filem fenomena ialah Geng terlebih dahulu membina kelompok peminat tersendiri melalui siri televisyen. Beberapa watak dalam Geng sangat popular dalam kalangan kanak-kanak menerusi siri Upin & Ipin, seterusnya Upin & Ipin : Setahun Kemudian yang ditayangkan sepanjang Ramadan dan Syawal di TV9.

Siri Upin & Ipin ini sesuai ditontoni oleh golongan kanak-kanak kerana ia mempunyai mesej yang baik dan faktor mendidik. Maka tidak hairanlah apabla difilemkan, berduyun-duyun ibu bapa membawa anak-anak mereka ke panggung. Kehadiran penonton bersama ahli keluarga inilah yang meningkatkan lagi jumlah kutipan tiket filem ini.

7. Geng turut menjual pelbagai cenderamata dan aksesori seperti baju, beg, topi, alat mainan, bekas alat tulis, fail plastik, lencana, pen, buku nota, dan penanda buku.

8. Produksi filem ini juga mempunyai laman web dan menubuhkan kelab peminat sendiri bagi memudahkan interaksi.

9. Turut dijual oleh produksi filem ini ialah kesan bunyi, nada bunyi, dan gambar untuk kegunaan telefon bimbit.

Kesemua ini jarang-jarang dilaksanakan oleh pengusaha filem tempatan walaupun mengetahui strategi ini sering dilakukan oleh indsutri filem luar negara. Geng menunjukkan kemajuan dari segi strategi promosi filem.


Apa kata saya?


Saya sudah menonton Geng bersama anak-anak dan suami. Sejujurnya, saya katakan Geng adalah filem animasi pertama keluaran tempatan yang mampu bersaing dengan filem animasi antarabangsa.

Cuma terdapat beberapa perkara (dari segi pembikinan) yang perlu diperhalusi. Pertama, ketika babak Badrol dan Lim menaiki motor - rambut mereka sepatutnya beralun kerana ditiup angin. Kedua, babak ketika seekor ayam mengais tanah - sepatutnya ada kesan cakaran di atas tanah di samping kesan debu/habuk yang berterbangan.

Syabas kepada Les' Copaque!

Saturday, June 27, 2009

Sudahkah anda mengundi Hijab Sang Pencinta?

Terus-terang saya katakan saya tidak suka memegang suratkhabar kerana bahan yang ada pada suratkhabar boleh menjejaskan kesihatan. Sebab itulah saya lebih suka membaca berita melalui Internet.

TETAPI oleh kerana hendak mengundi Hijab Sang Pencinta bagi memenangi Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2009 dalam kategori cereka, saya sanggup memegang suratkhabar Berita Harian semalam untuk mendapatkan borang undian asal.

Tarikh tutup untuk menghantar undian adalah pada 15 Julai 2009. Borang asal akan sekali lagi disiarkan oleh Berita Harian pada Jumaat, 03 Julai. Selain itu, borang undian juga boleh didapati dari 60 rangkaian Kedai Buku Popular di seluruh negara, di samping menerima potongan harga 20 peratus untuk belian semua buku yang dipertandingkan sehingga 30 September ini.

Kepada anda peminat karya Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia iaitu Ramlee Awang Murshid, jangan lepaskan peluang ini untuk meletakkan Hijab Sang Pencinta sebagai karya yang memenangi anugerah ini.

Anugerah Pilihan Pembaca ini adalah anjuran bersama Popular Book Co (M) Sdn. Bhd. dan Berita Harian sempena pameran buku terbesar di Malaysia, BookFest@Malaysia yang dijadualkan akan diadakan pada 22 hingga 31 Ogos 2009.

Pengundi yang berjaya membuat tekaan paling hampir 3 buku paling popular pula akan menerima hadiah daripada pihak penganjur yang berupa baucer buku RM50 serta kad keahlian Popular untuk tempoh setahun.

Kepada mereka yang masih belum mengenali Ramlee Awang Murshid, sertailah kami di www.kelabram.com untuk mengenali beliau dan peminat-peminat karya beliau dengan lebih dekat.

Undi jangan tak undi!

Friday, June 26, 2009

IT Fair @ Kompleks Karamunsing

Mari! Mari! Kepada yang berkelapangan pada hujung minggu ini dan kebetulan mencari perkakasan atau peralatan komputer, bolehlah berkunjung ke Kompleks Karamunsing di tingkat bawah sempena IT Fair yang diadakan mulai hari ini sehingga hari Ahad - 28 Jun 2009.


Saya sudah melilau tengahari tadi dan apa yang saya beli?

1. "Kingston Pen Drive 8GB" - RM52.00

2. "Optical Mouse" yang talinya boleh digulung berwarna merah jambu (comel sangat!) - RM15.00

3. "Suit of Cleaning Liquid Crystal Screen" (untuk membersihkan laptop) - RM3.00

Saya tidak pasti murah atau tidak, main belasah je sebab orang ramai sangat.

Michael Jackson, the 'King of Pop,' dies at age 50

LOS ANGELES - Michael Jackson, the sensationally gifted child star who rose to become the "King of Pop" and the biggest celebrity in the world only to fall from his throne in a freakish series of scandals, died Thursday. He was 50. Jackson died at UCLA Medical Center in Los Angeles. Ed Winter, the assistant chief coroner for Los Angeles County, confirmed his office had been notified of the death and would handle the investigation.

The circumstances of Jackson's death were not immediately clear. Jackson was not breathing when Los Angeles Fire Department paramedics responded to a call at his Los Angeles home about 12:30 p.m., Capt. Steve Ruda told the Los Angeles Times. The paramedics performed CPR and took him to the hospital, Ruda told the newspaper.

Jackson's death brought a tragic end to a long, bizarre, sometimes farcical decline from his peak in the 1980s, when he was popular music's premier all-around performer, a uniter of black and white music who shattered the race barrier on MTV, dominated the charts and dazzled even more on stage.

His 1982 album "Thriller" -- which included the blockbuster hits "Beat It," "Billie Jean" and "Thriller" -- is the best-selling album of all time, with an estimated 50 million copies sold worldwide.

The public first knew him in the late 1960s, when as a boy he was the precocious, spinning lead singer of the Jackson 5, the music group he formed with his four older brothers. Among their No. 1 hits were "I Want You Back," "ABC," and "I'll Be There."

He was perhaps the most exciting performer of his generation, known for his feverish, crotch-grabbing dance moves and his high-pitched voice punctuated with squeals and titters. His single sequined glove, tight, military-style jacket and aviator sunglasses were trademarks second only to his ever-changing, surgically altered appearance.

"For Michael to be taken away from us so suddenly at such a young age, I just don't have the words," said Quincy Jones, who produced "Thriller." "He was the consummate entertainer and his contributions and legacy will be felt upon the world forever. I've lost my little brother today, and part of my soul has gone with him."

Jackson ranked alongside Elvis Presley and the Beatles as the biggest pop sensations of all time. He united two of music's biggest names when he was briefly married to Presley's daughter, Lisa Marie, and Jackson's death immediately evoked that of Presley himself, who died at age 42 in 1977.

As years went by, Jackson became an increasingly freakish figure -- a middle-aged man-child weirdly out of touch with grown-up life. His skin became lighter, his nose narrower, and he spoke in a breathy, girlish voice. He surrounded himself with children at his Neverland ranch, often wore a germ mask while traveling and kept a pet chimpanzee named Bubbles as one of his closest companions.

"It seemed to me that his internal essence was at war with the norms of the world. It's as if he was trying to defy gravity," said Michael Levine, a Hollywood publicist who represented Jackson in the early 1990s. He called Jackson a "disciple of P.T. Barnum" and said the star appeared fragile at the time but was "much more cunning and shrewd about the industry than anyone knew."

Jackson caused a furor in 2002 when he playfully dangled his infant son, Prince Michael II, over a hotel balcony in Berlin while a throng of fans watched from below.
In 2005, he was cleared of charges he molested a 13-year-old cancer survivor at Neverland in 2003. He had been accused of plying the boy with alcohol and groping him, and of engaging in strange and inappropriate behavior with other children.

The case followed years of rumors about Jackson and young boys. In a TV documentary, he had acknowledged sharing his bed with children, a practice he described as sweet and not at all sexual.

Despite the acquittal, the lurid allegations that came out in court took a fearsome toll on his career and image, and he fell into serious financial trouble.

Jackson was preparing for what was to be his greatest comeback: He was scheduled for an unprecedented 50 shows at a London arena, with the first set for July 13. He was in rehearsals in Los Angeles for the concert, an extravaganza that was to capture the classic Jackson magic: showstopping dance moves, elaborate staging and throbbing dance beats.

Read more...


NOTA:
Terkejut juga tetapi itulah hakikat kehidupan - yang hidup pasti merasai mati

Thursday, June 25, 2009

Wajarkah pembantu rumah diberikan cuti?

Topik ini memang tengah hangat diperkatakan. Pagi tadi semasa dalam perjalanan pergi ke tempat kerja pun penyampai di salah sebuah stesen radio memilih topik ini untuk dibincangkan secara terbuka dengan para pendengar.

Ada pendengar yang kata wajar dan tidak kurang pula mengatakan tidak wajar.

Secara peribadi saya berpendapat, adalah wajar sekiranya kita memberikan cuti kepada pembantu-pembantu rumah ini walaupun pada hakikatnya kita agak keberatan kerana kita membayar gaji dan telah mengeluarkan wang ringgit semata-mata untuk menjamin para pembantu rumah ini.

Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Bayangkan bahawa kita ini adalah pembantu rumah yang terpaksa bangun untuk bekerja seawal pagi dan sehinggalah pada waktu malam. Ditambahkan pula dengan kerenah majikan dan anak-anak majikan yang pelbagai ragam. Membasuh dan mencuci sudah semestinya. Begitu juga dengan tugas-tugas menyediakan makan dan minum untuk seisi rumah. Kadangkala kita terpaksa pula melayan haiwan peliharaan majikan yang hanya tahu makan dan tidur serta "membuang". Rasakan kepenatan itu.

Sememangnya sesetengah majikan memandang rendah status pembantu rumah kerana dia adalah tuan yang membayar gaji pembantu rumahnya tetapi harus diingat pembantu rumah juga adalah manusia yang juga memerlukan masa untuk dirinya sendiri.

Mungkin apa yang patut kita lakukan ialah dengan mewartakan terma dan syarat perkhidmatan untuk para pembantu rumah ini sama seperti kita yang bermajikan terikat dengan terma dan syarat perkhidmatan yang dipersetujui semasa menandatangani surat penerimaan tawaran kerja dahulu. Untuk tujuan keselamatan, ada baiknya juga segala dokumen perjalanan pembantu rumah ini dipegang oleh majikan agar mereka tidak sewenang-wenangnya lari meninggalkan kerja (taktik ini telah dilakukan oleh seorang rakan saya).

Saya tidak mempunyai pembantu rumah. Saya hanya memberikan gaji kepada pengasuh anak-anak saya yang akan datang setiap pagi dan balik pada sebelah petang. Saya cukup bertoleransi dengan beliau kerana saya berikan beliau cuti pada hari Sabtu, Ahad dan pada hari cuti umum di samping memberikan beliau cuti sekiranya beliau hendak balik kampung untuk menziarahi bapanya. Atas rasa timbang rasa itulah, beliau juga tidak keberatan untuk datang bekerja pada hari-hari beliau sepatutnya bercuti sekiranya saya meminta beliau untuk datang bekerja (selalunya ketika saya bertugas di luar kawasan).

Saya memberikan kelonggaran kepada beliau sebegini rupa kerana saya juga perlukan masa dan ruang untuk bersama-sama dengan anak-anak serta suami pada hujung minggu. Saya juga memahami bahawa beliau masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga beliau.

Alhamdulillah, beliau sudah bersama kami sejak anak pertama saya lahir yang kini telah berusia tujuh tahun.

Sebagai manusia kita harus memikirkan hal ini sebaik mungkin.


Wednesday, June 24, 2009

12 Cara Untuk Merosakkan Otak


Ada sesiapa yang berminat untuk merosakkan otak? Inilah cara-caranya:

1. Mengabaikan pengambilan sarapan pagi
Individu yg sering mengabaikan pengambilan sarapan pagi berisiko besar mengalami kekurangan gula dalam darah. Ini akan menyebabkan bekalan nutrien tidak cukup untuk dihantar ke otak dan akan menyebabkan bahagian tersebut mengalami kemerosotan.


2. Terlalu banyak makan
Menyebabkan berlakunya pengerasan di bahagian arteri otak lalu memperlahankan kuasa mental.


3. Merokok
Menyumbang kepada pengecutan otak dan penyebab kepada penyakit Alzheimer.


4. Pengambilan gula yang tinggi
Pengambilan gula yang berlebihan akan mengganggu penyerapan protein dan nutrien seterusnya akan menyebabkan gangguan kepada perkembangan otak.


5. Pencemaran udara
Otak adalah penerima oksigen terbesar dalam sistem badan manusia. Pencemaran udara boleh menyebabkan pengurangan bekalan oksigen ke otak dan keaktifan otak.


6. Kurang tidur
Mengabaikan kualiti tidur yang sempurna, akan menjejaskan sel otak dan akan mendatangkan risiko tinggi kepada berlakunya kegagalan otak untuk berfungsi.


7. Menutup muka ketika tidur
Tidur sambil menutup muka akan mengakibatkan otak menerima lebih banyak karbon dioksida berbanding oksigen dan ini akan membawa kerosakan kepada otak.


8. Membiarkan otak bekerja semasa kita berada di dalam keadaan kurang sihat
Bekerja semasa anda kurang sihat boleh mengurangkan keberkesanan otak dan juga membawa kerosakan kepada sel-sel otak.


9. Berfikiran sempit
Berfikir adalah latihan terbaik untuk merangsang otak. Namun, jika seseorang sering berfikiran sempit, ia boleh menyebabkan berlakunya pengecutan di bahagian otak.


10. Kurang berkomunikasi
Komunikasi intelektual mampu merangsang perkembangan otak. Jika seseorang jarang berkomunikasi, lama kelamaan fungsi otak akan mengalami kemunduran.


11. Kurang membaca
Keupayaan berfikir tidak meluas dan sempit. Keupayaan berbahasa juga mengurang.


12. Mengabaikan Meditasi
Tiada ruang rehat untuk otak dan tubuh akan menjejaskan kemampuan memproses maklumat. Bagi Muslim, membaca al-Quran dan sembahyang adalah meditasi terbaik, jika tidak dibuat dengan gopoh!


Selamat merosakkan otak... ;-)



NOTA:
1. Catatan ini 100% bukan dari saya.
2. Seorang rakan telah menghantar maklumat ini melalui email.

Monday, June 22, 2009

Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China

Hadith Rasulullah s.a.w yang antara maksudnya "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China", walau pun diragui dan dipersoalkan kesahihannya oleh para alim ulama, harus dilihat secara proaktif dan positif.

Ini adalah kerana, pada pendapat peribadi saya, janganlah kita terlalu mempersoalkan akan kebenaran hadith ini kerana realitinya sekarang ini sama ada mahu atau tidak masyarakat Cina telah jauh ke hadapan berbanding dengan masyarakat lain terutama sekali dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Jangan pula nanti, kita asyik memperdebatkan akan kesahihannya walhal orang Cina sudah semakin jauh ke hadapan sambil mentertawakan kita yang tidak sudah-sudah bercanggahan antara satu sama lain.

Untuk kita mempelajari tentang resipi kejayaan masyarakat Cina, tidak seharusnya kita pergi ke negeri China tetapi sudah memadai dengan melihat masyarakat Cina yang ada di sekeliling kita.

Kecemerlangan masyarakat Cina dalam bidang ekonomi telah terbukti dengan mencatatkan beberapa orang taikun berbangsa Cina dalam senarai orang yang terkaya di dunia. Nama-nama seperti Robert Kuok dan Lim Goh Tong misalnya sudah tidak asing lagi bagi kita.

Apa yang menariknya tentang kejayaan mereka ini ialah mereka bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang kaya sebaliknya mereka lahir dalam keluarga yang menuntut mereka berhempas pulas untuk bertarung demi kelangsungan hidup.

Sikap optimis dan kesungguhan mereka dalam melakar kejayaan dalam bidang ekonomi harus ditelusuri dan dicontohi. Kepada anda yang berminat untuk mengetahui rahsia perniagaan orang Cina, bolehlah mendapatkannya dalam buku Rahsia Bisnes Orang Cina yang ditulis oleh Ann Wan Seng.

Apa yang hendak saya perkatakan di sini adalah satu lagi aspek yang ada pada orang Cina yang perlu kita contohi. Aspek yang saya maksudkan adalah sikap keprihatinan masyarakat Cina terhadap bidang pendidikan.

Saya tertarik dengan isu utama yang diketengahkan dalam Dewan Masyarakat Jun 2009 yang membicarakan tentang formula kejayaan orang Cina dalam bidang pendidikan. Tambah menarik lagi ialah saya sering membincangkan perkara ini dengan suami saya ketika kami melintasi beberapa sekolah Cina di sekitar bandar Kota Kinabalu yang sememangnya nampak gah berbanding dengan kebanyakan sekolah kebangsaan.

Masyarakat Cina tidak bergantung kepada kerajaan dalam bidang pendidikan kerana mereka mampu untuk berdiri sendiri. Dengan kekuatan mereka dalam bidang ekonomi menjadikan mereka mampu untuk memberikan sumbangan kepada pihak sekolah untuk tujuan peningkatan tahap infrastruktur sekaligus meningkatkan mutu kurikulum pembelajaran di sekolah-sekolah terbabit.

Makalah "Formula Kejayaan Sekolah Cina" tulisan Aninah Janang dan Mohd. Shukri Mohd. Ariff, banyak menceritakan tentang Sekolah Menengah Confucion (Persendirian) yang terletak di Lorong Hang Jebat, Kuala Lumpur. Sekolah yang mengagumkan ini dibina lebih 103 tahun dan mempunyai bangunan setinggi 12 tingkat serta dihuni oleh lebih 1500 orang pelajar.

Sekolah yang bertaraf lima bintang ini mampu memberikan kemudahan yang sama taraf dengan kolej swasta. Kemudahan yang ada serba canggih. Sebagai contoh, setiap pelajar diberikan identiti pengenalan khas yang digunakan untuk merekodkan kedatangan pelajar ke sekolah. Kehadiran pelajar direkodkan menggunakan alat perakam waktu yang disediakan berhampiran dengan pintu lif bangunan sekolah.

Semua bilik darjah dilengkapi alat penghawa dingin untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar. Setiap bilik darjah pula mempunyai sebuah bilik khas untuk guru kelas yang turut dilengkapi alat penghawa dingin dan komputer dengan kemudahan Internet. Bilik ini digunakan oleh guru kelas semasa waktu rehat untuk berjumpa dan berbincang secara individu dengan pelajar kelasnya.

Perpustakaan sekolah pula dilengkapi dengan puluhan ribu judul buku dan majalah, kemudahan bilik multimedia yang membolehkan pelajar mengakses Internet pada bila-bila masa tanpa sebarang bayaran, lima bilik muzik, dan lima bilik komputer yang menyediakan lebih daripada 300 buah komputer.

Sekolah ini turut dilengkapi bilik pandang dengar, bilik audio visual, bili aktiviti bahasa Inggeris, bilik seni reka, bilik aktiviti pelajar, bilik masakan yang bertaraf sebuah restoran, dan bilik pentadbiran am.

Bilik pentadbiran am sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan Internet, bilik persidangan, serta dua buah dewan serba guna yang sering digunakan untuk peperiksaan, perhimpunan, dan jamuan.

Semuanya ini adalah hasil wang ihsan para ibu-bapa pelajar. Masyarakat Cina memandang tinggi mereka yang memberikan sumbangan. Ini dapat dilihat dengan jelas di dinding dewan serba guna sekolah ini yang dipenuhi dengan ribuan nama yang memberikan derma. Selain nama mereka yang diletakkan mengikut turutan tahun, jumlah yang mereka dermakan juga turut dipaparkan pada hujung nama mereka. Jumlah wang derma pula berjumlah daripada ratusan ringgit sehinggalah jutaan ringgit dengan anggaran kasar keseluruhan wang derma mencecah ratusan juta ringgit.

Selain sumbangan masyarakat Cina kepada pihak sekolah, para ibu bapa mula menabung untuk pendidikan anak-anak mereka sedari anak-anak baru lahir. Inisiatif menabung ini adalah bertujuan untuk meringankan beban kos pendidikan apabila anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Maka tidak hairanlah mereka sanggup dan mampu untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka walau pun terpaksa menghantar mereka ke sekolah persendirian dengan anggaran yuran persekolahan tahunan sejumlah RM4,000 setahun untuk seorang pelajar.

Di manakah kita jika dibandingkan dengan mereka? Adakah kita akan terus mengharap bantuan kerajaan? Pada masa kebanyakan ibu bapa di sekolah kebangsaan membantah dan mempertikai yuran tambahan persekolahan yang kononnya agak tinggi sehingga memaksa Kementerian Pelajaran menangguhkan sementara kutipan yuran tersebut pada tahun lalu, masyarakat Cina sudah tidak mempunyai masalah malahan menjadi bertambah baik dan lebih berdaya saing.

Sunday, June 21, 2009

Lagi fakta tentang telekomunikasi


1. Lebih 80 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia adalah pengguna telekomunikasi yang menyumbangkan kiran-kira RM22 billion kepada perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti yang direkodkan pada tahun 2007.

2. Pada tahun 2005, kadar penggunaan telefon talian tetap di negara ini dicatatkan berjumlah 4.4 juta pengguna dengan kadar penembusan sebanyak 16.6 peratus. Daripada jumlah itu, sejumlah 74.9 peratus ialah pengguna di kawasan bandar, manakala di luar banda pula mencatatkan kira-kira 25 peratus yang mengunakan perkhidmatan tersebut.

3. Jumlah pengguna telefon talian tetap meningkat dengan kadar perlahan sehinggalah tahun 2008 iaitu dengan sejumlah 75.8 peratus pengguna telefon talian tetap di bandar, manakala sebanyak 24.2 peratus sahaja pengguna perkhidmatan itu di kawasan luar bandar.

Peningkatan yang kurang memberangsangkan ini adalah disebabkan oleh banyak pengguna beralih kepada talian telefon selular yang menawarkan harga perkhidmatan yang lebih kompetitif hasil daripada langkah liberalisasi pasaran yang dilaksanakan oleh kerajaan.



4. Langganan telefon selular pada tahun 2005 adalah sebanyak 19.5 juta pengguna, dan dijangka meningkat kepada 24.4 juta pengguna menjelang tahun 2010.

5. Pengguna Internet di Malaysia mencatatkan sebanyak 3.7 juta pengguna (Rancangan Malaysia Ke-8) dan dijangka akan bertambah sebanyak 10 juta pengguna lagi menjelang tahun 2010 dalam pelan Rancangan Malaysia Ke-9.

Jangkaan peningkatan ini adalah kerana faktor kemampuan dan perubahan gaya hidup masyarakat Malaysia yang kini mula mementingkan aspek telekomunikasi.

6. Syarikat telekomunikasi di Malaysia yang mempunyai lesen di bawah Kementerian Komunikasi, Air, Tenaga dan Komunikasi (KTAK) yang menyediakan perkhidmatan telefon ialah TM, Celcom, Maxis Communications dan DiGi.

Sementera itu, penyedia perkhidmatan Internet (ISP) yang berlesen adalah Mimos Berhad, TMnet dan Maxisnet.

7. Kerajaan memandang industri telekomunikasi harus diperhebatkan lagi. Selain daripada perkhidmatan yang sedia ada, komunikasi menggunakan satelit juga adalah salah satu kaedah yang harus dipelopori.

Berikut merupakan senarai satelit yang telah dilancarkan oleh Malaysia:

a. Satelit terulung negara, Geo-Stationary Malaysia East Asia Satellite (MEASAT1) dilancarkan di orbit bumi pada Januari 1996.

b. Pada November tahun yang sama, MEASAT2 pula dilancarkan, sekali gus membuka lembaran lebih luas kepada industri telekomunikasi Malaysia.



c. Pada tahun 2000 pula, Sebuah satelit Low Earth Orbit (LEO), yang diberi nama TiungSat dilancarkan.



d. Pada April tahun ini, Malaysia melakar sejarah dengan melancarkan satelit keempat negara iaitu RazakSAT yang juga merupakan satelit LEO yang dilancarkan di Kwajalein ISland, berhampiran dengan Guam dalam wilayah Amerika Syarikat.



RazakSAT yang berharga RM127 juta itu merupakan satu daripada kelas LEO yang membawa muatan elektro-optikal dan kamera jenis Medium Aperture (MAC) yang boleh mengesan objek sekecil 2.5 meter untuk tujuan pemetaan perbandaran, alam sekitar, dan bioteknologi meliputi seluruh kawasan muka bumi di Malaysia.

8. Statistk daripada SKMM mencatatkan penggunaan Internet jalur lebar di Malaysia kini meningkat. Teknologi ini yang mencatatkan sejumlah 500,000 pengguna di Malaysia sudah tampil menjadi bentuk komunikasi yang wajib dimiliki oleh rakyat selepas telefon selular.

Dijangkakan sebanyak 3.7 juta rakyat Malaysia akan menggunakan Internet jalur lebar menjelang tahun 2010.

9. TM dipilih sebagai syarikat yang bertanggungjawab untuk membangunkan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB). HSBB dilaksanakan dengan tujuan untuk mencapai sasaran 50 peratus penggunaan jalur lebar menjelang tahun 2010.

TM dipilih kerana syarikat itu membekalkan 85 peratus perkhidmatan jalur lebar dalam negara dan memiliki infrastruktur yang akan menyokong perlaksanaan HSBB.

TM melabur lebih RM4 billion daripada RM8.9 billion dalam projek bernilai RM11.3 billion dan kerajaan dijangka menyumbangkan sebanyak RM2.4 billion dalam pembangunan teknologi berkenaan.

10. Menurut data yang dikeluarkan oleh Asia Pacific Mobile, Informa Telecoms dan Media melalui penyelidikannya pada suku tahun pertama tahun 2007, menyenaraikan Maxis Communications di tangga yang ke-27 dengan jumlah pengguna berjumlah 8 juta orang.

Sementara TM yang memiliki Celcom berhad, mencatatkan sebanyak 6 juta pengguna pula berada pada tangga ke-34, manakala DiGi pula berada di tempat ke-37 dengan jumlah pengguna yang sama.




11. Di peringkat Asia pula, sejumlah 46 juta orang adalah pengguna telefon talian tetap dan hampir 9 juta orang pengguna telefon selular.

12. Di rantau Asia juga mencatatkan jumlah pengguna telefon selular mencecah hampir 2 billion orang pada tahun 2004 dan dijangka mencecah hampir 3 billion pengguna pada tahun 2009.

Daripada jumlah itu, kira-kira 47 peratus pengguna dari rantau Asia Pasifik, manakala Eropah Barat sejumlah 20 peratus dan hampir 9 peratus pengguna dari rantau Amerika Utara.

Dominasi pengguna terbanyak di rantau Asia Pasifik menjangkakan perolehan keuntungan mencecah sehingga AS$13 billion dalam sektor itu sepanjang tahun 2006 hingga 2010.


Sumber : "Telekomunikasi Negara Terus Mengorak Langkah " oleh Sofia Mohamad Zaid dalam Dewan Ekonomi Mei 2009.




NOTA:

Gambar-gambar yang terdapat dalam catatan ini saya peroleh dari pelbagai sumber melalui carian di Internet. Terima kasih.

Saturday, June 20, 2009

Tahukah anda beberapa fakta berkenaan telekomunikasi?


1. Telegraf mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1874 oleh penjajah Inggeris di Perak.

2. Hampir 100 tahun setelah telegraf diperkenalkan, SEACOM diperkenalkan yang menghubungkan Semenanjung Malaysia ke Sarawak melalui Laut Cina Selatan.

3. Pada tahun 1985, ATUR telefon tanpa wayar yang pertama diperkenalkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM).

4. JTM Kemudian di korporatkan menjadi Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STMB) dan kemudiannya ditukar nama kepada Telekom Malaysia Berhad (TM).

5. Empat tahun kemudian, perkhidmatan telefon selular pertama yang menggunakan perkhidmatan GSM diperkenalkan dan dikendalikan oleh Syarikat Celcom Malaysia Sdn. Bhd.



6. Tahun 1995 juga mencatatkan sejarah apabila malaysia melancarkan satelit pertama negara iaitu Malaysia East Asia Satellite (MEASAT) yang dilancarkan bagi membolehkan negara menawarkan perkhidmatan berasaskan satelit.

7. Telekom Malaysia Berhad memperkenalkan telefon talian tetap tanpa wayar yang dikenali sebagai CDMA.

8. Pada masa yang sama Celcom memperkenalkan perkhidmatan panggilan video yang menggunakan teknologi 3G.

9. Terkini, perkhidmatan Internet jalur lebar tanpa wayar berasaskan teknologi Wimax diperkenalkan oleh Syarikat Packet One Sdn. Bhd. (P1) pada tahun lalu dengan menggunakan teknologi spektrum 802.16e.

10. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sejumlah hampir 21 juta rakyat negara ini menjadi pengguna telefon selular sehingga tahun 2007.


11. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), sejumlah RM600 juta bakal dibelanjakan untuk membangunkan perkhidmatan telekomunikasi moden. Syarikat pengendali telekomunikasi pula bakal membelanjakan sehingga RM1.3 billion khusus untuk perbelanjaan modal syarikat masing-masing.

12. Jumlah pengguna rangkaian komunikasi di Bangladesh meningkat daripada 3.8 juta orang pada tahun 2004 kepada 29.5 juta orang pada tahun lalu dengan liputan rangkaian meluas sehingga 97 peratus daripada jumlah penduduk keseluruhannya.

13. Sektor telekomunikasi di Bangladesh menyumbang sebanyak 6.7 peratus daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu peningkatan lebih 250 peratus berbanding dengan KDNK pada tahun 2004 yang hanya 2.1 peratus.

14. Badan penyelidik yang berpangkalan di Norway iaitu Telenor ASA juga mencatatkan angka-angka pertumbuhan yang menarik dalam perkembangan sektor telekomunikasi di Malaysia.

Industri telekomunikasi di Malaysia pada pertengahan tahun 1990 menyaksikan peningkatan kadar pengguna melebihi 50 peratus setiap tahun sebelum bergerak perlahan ketika krisis kegawatan ekonomi Asia pada tahun 1997/98.

Pada tahun lalu, pengguna telekomunikasi di negara ini mencecah sehingga 21 juta orang iaitu 80 peratus daripada keseluruhan penduduk. Jumlah ini sekali gus meletakkan Malaysia di tangga ketiga pengguna telekomunikasi paling banyak selepas Singapura dan Korea Selatan.

15. Pada tahun lalu, sektor komunikasi menyumbangkan sejumlah RM21.3 billion kepada ekonomi negara iaitu kira-kira 3.7 peratus daripada keseluruhan KDNK berbanding dengan pencapaian hanya 15.3 billion (3.1 peratus KDNK) pada tahun 2005.




16. Jumlah pelanggan 3G di Asia Pasifik dijangka akan mencecah 564 juta orang menjelang tahun 2013 berbanding dengan 121 juta orang pada tahun 2007.

17. Pada tahun lalu, kira-kira sejumlah 158.4 juta orang pelanggan 3G di Asia Pasifik.

18. Nokia Siemens Network (Nokia Siemens) peneraju pengatur rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi mudah alih pula (HSPA) menjangkakan bilangan pengguna perkhidmatan itu di Asia akan meningkat sekali ganda kepada 53.5 juta pengguna daripada 26.5 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.

19. Menurut laporan SKMM lagi, tahap penembusan jalur lebar pada suku tahun 2007 ialah sekitar 3.7 orang pengguna jalur lebar bagi setiap 100 orang penduduk.

Jumlah ini amat rendah dan hampir sama dengan negara lain seperti Turki (3.8), Mexico (3.5), berbanding dengan jumlah di Switzerland, Korea Selatan dan Norway yang mempunyai purata 26 orang pengguna jalur lebar bagi setiap 100 orang penduduk.

20. SKMM juga melaporkan bahawa sejumlah 84,600 orang pengguna jalur lebar pada tahun 2006 berbanding dengan 49,500 orang pada tahun 2005. Angka ini tidak signifikan jika dibandingkan dengan 27 juta orang penduduk Malaysia keseluruhannya.




Sumber : "Industri Telekomunikasi dalam Krisis Ekonomi" oleh Nazmy Sannusi dalam Dewan Ekonomi Mei 2009.



NOTA:
Gambar-gambar dalam catatan ini saya ambil dari pelbagai sumber melalui carian dalam Internet. Terima kasih.

Friday, June 19, 2009

Ceriakan hari anda dengan menatap wajah-wajah comel!

Seorang rakan menghantarkan kepada saya wajah-wajah comel ini. Sejuk rasa hati melihat gambar-gambar ini.












Wednesday, June 17, 2009

Patutkah aku kecewa dan hampa?


Wahai diari mayaku,

Hari ini aku ingin berbicara denganmu,
kerana aku sudah tidak punya upaya,
fikiranku buntu dan serabut...

Aku sungguh sedih,
sedih kerana merasakan diriku ini tidak dihargai.
Mahu saja aku meraung sekuat hati,
meluahkan apa yang terbuku di hati,
tetapi oleh kerana aku masih ada perasaan malu,
aku pendam dan simpan sahaja dalam hati...

Patutkah aku merasa kecewa dan hampa,
bila merasakan diri ini tidak dihargai?
Ini bukan sekali, tapi sudah berkali-kali,
Patutkah aku meluahkan apa yang terbuku di hati?

Atau simpan sahaja perasaan kecewa dan hampa itu,
sambil berserah sahaja pada Allah dan berdoa,
moga-moga hatiku menjadi tenang,
dan moga-moga hatiku bisa memberi kata maaf,
agar sengketa di hati tidak berpanjangan...

Tentang dia...???
Pedulikan dia...
Aku doakan moga-moga dia sedar akan perbuatan dan khilafnya...

Ya Allah, ampunkanlah dosaku dan berikanlah aku petunjuk,
agar aku mampu membuat keputusan yang wajar,
dan terbaik buatku dan buat kami semua...

Sebagai manusia, aku pasrah...

Tuesday, June 16, 2009

Saya memilih untuk berubah

Untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya, kita harus berubah meski pun "menjadi lebih baik" merupakan sesuatu yang subjektif dan berbeza menurut perspektif individu.

Hari ini, saya nekad untuk berubah. Secara jujur, saya ingin katakan saya adalah seorang yang agak gempal dan saya gagal untuk mengekalkan berat badan saya walau pun sudah berjaya menurunkannya berkali-kali. Sememangnya, membuat satu-satu keputusan adalah sangat sukar kerana kita harus mengambil kira pelbagai faktor. Namun, atas dasar inginkan badan yang sihat dan cergas, saya mengambil keputusan untuk menuruti jejak beberapa orang rakan sekerja untuk sama-sama menjalani program "Nutrition Club" yang dikelolakan oleh Herbalife.


Papan tanda "Nutrition Club"


Mengikuti program ini menuntut saya untuk melakukan tiga perkara sebagaimana yang disarankan oleh bapa saya sendiri yang juga dalam program yang sama tetapi lokasi yang berlainan. Tiga perkara tersebut adalah:

1. Niat kita untuk mengikuti program ini hendaklah kerana inginkan kesihatan yang baik. Berat badan yang ideal adalah satu bonus.

2. Produk yang digunakan hendaklah produk yang mampu membantu kita mencapai sasaran atau niat asal kita tadi.

3. Harus mengamalkan disiplin diri yang tinggi kerana kita hendaklah mengawal nafsu makan. Tidak guna kita ada niat dan produk yang bagus kalau kita gagal untuk mengawal nafsu makan.



Saya bersarapan dengan roti canai kosong berserta milo tanpa gula dan susu



Makan tengahari saya - minuman jus kisar Herbalife bersama buah-buahan

Saya bukanlah mempromosikan produk Herbalife, cuma ingin berkongsi pengalaman beberapa orang rakan yang berjaya mencapai objektif mereka hanya beberapa minggu mengikuti program ini.

Seorang rakan yang memperkenalkan saya dengan program ini telah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 5 kg setelah 4 minggu mengikuti program sekaligus berjaya menurunkan paras tekanan darah tinggi beliau yang dikatakan oleh doktor sudah memerlukan beliau mengambil ubat secara rutin.

Manakala seorang rakan pula telah berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 10 kg setelah 2 bulan mengikuti program ini. Beliau yang baru sahaja beberapa bulan melahirkan anak, kelihatan kembali langsing.

Satu lagi sebab yang menguatkan semangat saya untuk mengikuti program ini adalah salah seorang kakitangan di bawah jagaan saya sedang "menginap" di wad kerana keadaan kesihatan beliau yang tidak membenarkan beliau untuk datang bekerja dan belum diketahui sebabnya. Beliau mengadu keletihan pada malam Ahad lalu dan pada pagi Ahad beliau sudah tidak boleh bangun dari katil. Beliau kini sedang dalam pemerhatian doktor pakar.

Doakan saya berjaya mencapai objektif saya. Anda pula bagaimana? Jom kita sama-sama berubah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya!


Fakta Nombor Yang Anda perlu Tahu :


1. 18.8 peratus jumlah wanita Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan
2. 13.9 peratus atau 850,000 orang lelaki Malaysia yang mempunyai berat badan berlebihan
3. Purata umur mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dari 25 - 64 tahun
4. Setiap 100 orang dalam kalangan umur 25-64 tahun, terdapat 14 orang lelaki dan 19 orang wanita mempunyai berat badan berlebihan
(Berdasarkan sumber kajian yang telah dijalankan pada tahun 2006)


Ketahui BMI (Body Mass Index) Anda :


Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menggariskan bahawa BMI kurang daripada 18.5 sebagai kurang berat badan yang berkemungkinan menimbulkan masalah-masalah kesihatan akibat nutrisi pemakanan yang tidak seimbang dan gangguan corak pemakanan.

Manakala individu dengan BMI melebihi 25 pula dikira mempunyai berat badan yang berlebihan, dan BMI yang melebihi 30 dikira sebagai obes.

Adakah berat badan anda menepati atau bersesuaian dengan ketinggian anda? Anda boleh membuat pengiraan sendiri berdasarkan formula yang diberikan di bawah dan gunakan jadual anggaran BMI yang disertakan untuk mengetahui kategori anda.



Sumber : Astro View Mac 2009

Monday, June 15, 2009

Undilah Pulau Sipadan!


Jom kita beramai-ramai undi Pulau Sipadan sebagai salah satu "7 Wonders of Nature".

Klik di sini untuk menghantar undian anda.

Selamat mengundi!

Tahukah anda beberapa fakta dan maklumat berkenaan blog?

Internet sememangnya satu 'dunia' yang mengasyikkan. Seseorang yang berada dalam dunia Internet pasti tidak akan merasa bosan untuk terus melayari Internet dengan meniti dari satu blog ke blog yang lain untuk mengumpulkan maklumat atau menambahkan kenalan maya. Tidak kurang juga yang menggunakan Internet sebagai medium untuk memasarkan barangan atau perkhidmatan yang diniagakan.

Saya tertarik dengan rencana yang ditulis oleh Jyh Wee Sew yang bertajuk "Mengimbangi Cita Rasa Manusia dalam Budaya Internet" yang disiarkan dalam Dewan Budaya Oktober 2008. Rencana ini mengetengahkan beberapa fakta statistik serta maklumat tentang natijah penggunaaan Internet yang berlebihan.

Sama ada kita sedari atau tidak, usia Internet diperkenalkan kepada dunia baharu sahaja 15 tahun. Walau pun masih muda, Internet sudah mampu untuk mengubah tamadun manusia. Pada masa kini, kebanyakan transaksi dan maklumat dilakukan melalui Internet. Para pekerja akan merasa gusar sekiranya tidak melayari Internet di tempat kerja. Internet dijadikan sebagai saluran perhubungan sama ada di antara sahabat handai mahu pun dengan pelanggan dan rakan perniagaan.

Saya senaraikan di bawah ini beberapa fakta menarik daripada rencana ini untuk tatapan dan pengetahuan kita semua:

1. Terdapat sejumlah 112.8 juta blog di dunia, sejumlah 175,000 blog baharu telah direkodkan pada setiap hari, 1.6 juta blog dikemaskinikan setiap hari termasuk 18 blog yang dibaikpulihkan pada setiap saat.

2. Blog yang saya dan anda semua gunakan kini adalah versi "Web 2.0" yang juga dikenali sebagai jurnal Internet adalah menggantikan laman "Web 1.0" yang kini lebih dikenali sebagai laman sesawang.


3. Jurnal Internet remaja menduduki tangga ketiga sebagai blog yang paling kerap dikemaskinikan. "Netizen" adalah gelaran yang diberikan kepada golongan remaja atau warga siber yang kerap membaca blog, menyimpan, menulis dan memberikan komen di jurnal Internet menerusi Web 2.0. Konsep "netizen" ini diperkenalkan oleh Michael dan Rhonda Hauban kira-kira 12 tahun yang lalu untuk menerangkan konsep warga siber.

4. Golongan dewasa juga tidak kurang minatnya dengan blog ini. Golongan ini membentuk kumpulan warga siber untuk berkongsi fikiran dan meluahkan rasa hati mereka. Isu politik adalah antara tema yang biasa digunakan oleh golongan ini.

5. Pemantauan menunjukkan bahawa ramai yang memilih untuk menggunakan blog sebagai pengantara bagi mencatat jurnal kerana seseorang itu tidak perlu melalui proses penyuntingan dan kelulusan editor untuk menghasilkan penulisan yang kadangkala memakan masa berbulan-bulan sebelum disiarkan. Dengan blog Web 2.0 ini, segala maklumat terkini boleh disalurkan dengan pantas dan sekiranya lewat, sesuatu berita itu akan dikatakan sudah basi.



6. Namun demikian, Internet juga mempunyai keburukannya.

Menurut laporan BBC, seorang pemuda Korea Selatan berusia 28 tahun telah meninggal dunia selepas bermain permainan komputer yang diberi nama "Starcraft" selama 50 jam di kafe Internet. Pemuda ini dikatakan hanya tidur dan makan sedikit sepanjang sesi permainan komputer ini.

7. Jurnal Internet seorang pelajar lelaki pula mendedahkan bahawa beliau tidak mempunyai kawan kecuali permainan komputer. Remaja ini sanggup bergaduh dengan ibunya apabila dilarang bermain komputer. Beliau menyalahkan ibunya kerana menghalangnya bermain di luar rumah dan akhirnya beliau ketagihan permainan computer sehingga tidak berminat untuk membuat kerja sekolah.

Dia sanggup membayar rakan sekelas beliau untuk menyiapkan kerja sekolah agar dia terus dapat bermain permainan computer. Pelajar ini bukanlah seorang pelajar yang bebal kerana apabila rakannya tidak dapat menjawab soalan matematik, dia menunjukkan kaedah penyelesaian soalan matematik dalam sekelip mata. Ini membuktikan bahawa budaya teknologi telah menghakis nafsu untuk melakukan aktiviti harian sehingga menyebabkan sesetengah remaja mencari kepuasan di Internet.

8. Dalam kes yang lain pula, seorang remaja lelaki dikatakan hidup hanya dengan makanan segera di dalam bilik tidur kerana tidak mahu meninggalkan skrin komputer. Selama beberapa hari beliau tidak mandi dan tidak mengendahkan deringan telefon bimbit. Remaja ini ketagihan dengan permainan komputer yang dimainkan secara berkumpulan. Oleh kerana pungutan mata secara berkumpulan amat dipentingkan, beliau membuat urusniaga membeli status pemain yang menjanjikan kuasa siber.

Jurnal Internet beliau mendedahkan bahawa beliau membayar sejumlah RM200 semata-mata untuk mendapat status baharu dalam permainan komputer. Urusniaga ini dilakukan secara sulit dan pada waktu malam. Pemain yang menjual statusnya tadi akan memberikan kata laluan baharu kepada remaja ini bagi membolehkannya menukarkan kod permainan sekaligus menjadikan beliau sebagai ketua permainan komputer yang disegani di Internet.

Secara ringkasnya, Internet pada abad ke-21 ini sedikit sebanyak mempengaruhi budaya pergaulan sesama manusia. Kalau dahulu kita hanya bersemuka atau berhubungan melalui telefon tetapi kini kita sudah ada Internet yang menjanjikan kita pelbagai kaedah untuk lebih kenal-mengenali antara satu sama lain. Apa yang pasti, kita harus bijak untuk menggunakannya pada jalan yang betul dan elakkan diri kita daripada terjebak dengan sindrom "ketagihan Internet".





NOTA:
1. Keseluruhan fakta dan hampir 90 peratus teks dalam catatan ini telah dipetik daripada rencana "Mengimbangi Cita Rasa Manusia dalam Budaya Internet" oleh Jyh Wee Sew dalam Dewan Budaya Oktober 2008. Sebarang penerbitan semula mana-mana bahagian dalam catatan ini hendaklah memberikan kredit kepada penulis rencana iaitu Jyh Wee Sew. Saya amat menghargai sekiranya alamatt blog ini turut disertakan sekali.

2. Saya membuat catatan ini bukan bertujuan untuk mempalagiat tetapi sekadar menghebahkan maklumat yang amat berguna ini kepada rakan 'blogger' yang lain yang mungkin tidak mengetahui akan fakta mengenai blog dan Internet.

3. Terima kasih kepada Jyh Wee Sew.