
Sempena cuti persekolahan selama dua minggu yang tidak lama lagi akan menjelang, apa kata anda berkunjung ke Sabah Negeri di Bawah Bayu.
Apa yang seronok sangat dengan Sabah? Saya pun tidak pasti apa yang menyeronokkan di Sabah ini. Tapi apa yang pasti, kalau ada rakan-rakan dari luar Sabah berkunjung ke mari, mereka mesti hendak datang lagi. Semestinya, manusia dijadikan berbeza-beza maka dengan itu lain orang lain pula kesukaannya terhadap Sabah.
Kepada anda yang ingin tahu apa yang ada di Sabah, entri kali ini adalah untuk anda.
Kota Kinabalu (KK) – Papar – Tuaran
Kepada anda yang baru berkenalan dengan Sabah, ada baiknya anda mulakan dengan kunjungan ke bandar KK dan sekitarnya terlebih dahulu. Sebabnya, di sinilah pusat segala-galanya. Bandar Kota Kinabalu yang dikenali sebagai bandar di dalam rimba ini begitu terkenal dengan perhiasan wanita dan juga makanan lautnya yang murah.
Perhiasan wanita?
Perhiasan wanita yang saya maksudkan adalah seperti gelang, rantai, kerongsang, cincin, anting-anting, loket dan seumpama dengannya yang berasaskan mutiara dan batu kristal.
Untuk mendapatkan perhiasan ini dengan harga yang berpatutan, anda boleh dapatkan di
Pasar Keraftangan yang berdekatan dengan
Hotel Promenade dan
Hotel Le Meridien Kota Kinabalu serta di
Jamilah Jewellery di Sinsuran Kota Kinabalu.
Makanan Laut?Kalau anda inginkan yang segar, anda boleh dapatkan bekalan mentah makanan laut seperti ikan, udang dan ketam di pasar SAFMA yang beroperasi seawal jam 2.00 pagi setiap hari. Kalau anda ingin membawa bekalan untuk dibawa balik, anda bolehlah minta makanan laut belian anda itu dibungkus di dalam kotak bersama ais supaya ia tahan lama. Sekiranya anda malas hendak pergi ke pasar atau kesuntukan masa, anda bolehlah mendapatkan bekalan di kedai sejuk beku J.K.L berhampiran stesen keretapi Tanjung Aru atau di lapangan terbang tetapi seperti biasa, harganya ada sedikit mahal berbanding dengan di pasar.
Kepada anda yang ingin menikmati sendiri makanan laut di KK, saya sarankan anda pergi ke
Salut Seafood Restaurant di Tuaran. Untuk mencari restoran makanan laut yang mempunyai logo halal di KK memang susah atau tidak ada langsung (kalau ada pun, status halal sudah ditarik balik) tetapi jangan risau sebab tukang-tukang masak dan para pekerja di sini adalah orang Islam dan penduduk kampung sekitar Tuaran. Dan semasa tempahan minuman dibuat (selain jus), minta para pekerja gunakan cawan plastik sahaja.
Jangan lupa untuk singgah menikmati puding kelapa, air kelapa muda, kelapa bakar atau lokan di gerai yang ada berhampiran dengan Salut Seafood Restaurant.
Asyik makan saja, tidak ada tempat lain kah yang menarik?Apa lagi yang menarik? Semestinya tempat-tempat rekreasi yang perlu anda kunjungi bersama keluarga. Selain daripada
Muzium Negeri Sabah,
Lok Kawi Wildlife Park dan
Taman Buaya di Tuaran patut anda kunjungi. Dua tempat ini pasti memberi keseronokan kepada anak-anak anda.
Kepada anda yang suka memancing dan ingin mencuba tuah memancing di KK, anda bolehlah berkunjung ke
Jesselton Point dengan yuran masuk RM10.00 seorang. Sekiranya anda berjaya mendaratkan hasil pancing, anda boleh meminta tangkapan anda itu terus dimasak di gerai makanan yang ada di situ yang beroperasi sehingga jam 1.00 pagi. Selain tempat memancing, Jesselton Point juga terkenal dengan Suria Futsal.
Muzium? Apa yang menarik dengan muzium tu? Tempat lain ada muzium juga.Di muzium ini ada dipamerkan rangka ikan paus jenis Bryde yang terdampar berhampiran Pulau Gaya pada tahun 2006 yang lalu. Selebihnya, macam biasalah, anda bolehlah mengetahui serba sedikit latar belakang Sabah dan suku kaum yang mendiami Sabah sejak dahulu hinggalah sekarang.
Muzium Tamadun Islam juga ada di sini. Anak-anak saya agak takut untuk mengunjungi muzium ini mungkin sebab ada dipaparkan gambar-gambar yang berkaitan dengan amalan ajaran sesat barangkali.
Di Kinarut pula ada Rumah Besar Kinarut yang telah dijumpai oleh penduduk tempatan pada tahun 1994. Klik di
sini untuk sedikit maklumat mengenai Rumah Besar Kinarut.
Antara gambar di Rumah Besar KinarutHotel macam mana pula?Terdapat banyak hotel di KK daripada yang tidak ada bintang seperti ‘backpackers’ sehinggalah yang bertaraf lima bintang. Kepada anda yang inginkan lokasi yang terbaik, senang untuk anda mencari makan dan untuk ‘shopping’ semestinya Hotel Promenade, Hotel de Leton, Hotel Hyatt Regency adalah pilihan yang terbaik. Selain itu, Hotel Le Meridien,
Sutera Harbour Resort dan
Shangri-La Tanjung Aru Resort yang bertaraf lima bintang juga menjadi pilihan anda yang berkemampuan.
Kepada anda yang berkunjung bersama keluarga atau berkumpulan, ada baiknya anda menginap di Promenade Hotel Apartment atau di Marina Court Resort Condominium atau di The Collonades Condominium. Klik di
sini untuk maklumat lanjut.
Saya selalu juga membawa anak-anak saya bercuti di KK walau pun kami tinggal di Papar hanya dalam satu jam perjalanan dari KK. Kami lebih selesa menginap di Hotel
Megah D’ Aru di Tanjung Aru. Selain lokasi yang strategik untuk mencari makan dan hampir dengan pantai, harga untuk ‘Family Room’ juga berpatutan iaitu RM138.00 untuk satu malam dengan sarapan untuk dua orang.
Sekiranya anda ingin menginap di Papar, di sana ada
Beringgis Beach Resort dan Borneo Paradise Resort. Klik di
sini untuk tempat penginapan lain di Papar.
Jangan lupa untuk membeli belacan dan kuih cincin yang merupakan ‘trademark’ daerah Papar. Dengar kata, pelakon Ezany pun mendapatkan bekalan belacan jualannya dari sini.
Belacan Papar
Kuih cincin PaparSekiranya anda merancang untuk ke Tuaran pula, di sana ada
Nexus Karambunai Resort,
Shangri-La Rasa Ria Resort dan
Mimpian Jadi Resort yang sesuai untuk anda sekeluarga. Klik di
sini untuk tempat penginapan lain di Tuaran.
Klik untuk lebih maklumat mengenai
KK,
Papar dan
Tuaran.
Daerah yang berhampiran dengan KK ialah
Penampang yang terkenal dengan
Monsopiad Cultural Village dan daerah kecil dalam kawasan Penampang ialah
Putatan yang pada masa kini sedang pesat membangun dan
Lok Kawi , tempat letaknya Kem Tentera Lok Kawi.
Daerah Penampang yang kebanyakan masyarakat tempatannya terdiri daripada suku kaum Kadazan Dusun amat sinonim dengan makanan tradisi mereka
hinava (jeruk atau kerabu ikan) dan
tuhau. Di Sarawak hinava dikenali sebagai umai.
Hinava
TuhauDaerah-daerah kecil yang berhampiran dengan Papar pula adalah
Membakut,
Sipitang,
Beaufort dan
Kuala Penyu. Membakut terkenal dengan ladang buah naga manakala Sipitang pula sinonim dengan durian dan musim buah.
Beaufort pula terkenal dengan limau manis dan makanan masyarakat tempatan '
ambuyat' iaitu sagu yang dimasak dengan air panas menjadi seperti kanji dan dimakan bersama cecah air rebusan ikan yang dimasak bersama kunyit dan diperahkan asam limau atau dimasukkan jeruk bambangan dan dipenyekkan cili padi. Ambuyat juga sangat sedap dinikmati bersama ulaman dan sambal belacan. Selain menggunakan cecah air rebusan ikan, cecah ambuyat juga boleh dibuat berasaskan udang kering atau dicampurkan tomato mengikut citarasa masing-masing. Anak-anak saya cukup suka makan ambuyat sebab kata mereka "Telan saja ummie, tak payah kunyah".
Hidangan ambuyatApa jeruk buah bambangan tu?Jeruk bambangan adalah salah satu makanan tradisi di negeri Sabah dibuat dengan cara memeram hirisan buah bambangan yang telah disalut dengan campuran bijinya yang telah diparut halus bersama garam dan disimpan di dalam bekas kedap udara selama lebih kurang seminggu. Jeruk ini boleh tahan sehingga 3 bulan lamanya. Buah bambangan kaya dengan serat dan rasanya masam-masam manis.
Jeruk bambanganKepada yang sukakan pulau macam mana pula?Untuk anda yang memilih untuk bercuti ke pulau sekitar KK, anda bolehlah berkunjung ke
Pulau Manukan, Pulau Mamutik atau
Pulau Gaya yang sangat hampir dengan Bandar KK kerana hanya memerlukan masa perjalanan menggunakan bot 15 hingga 25 minit. Selain itu, terdapat juga
Pulau Dinawan di Kinarut, Papar. Untuk anda yang sukakan cabaran berkunjunglah ke
Pulau Tiga yang mana telah dijadikan salah satu lokasi pengambaran rancangan televisyen Survivor.
Saya rasa dah habis mencoretkan berkenaan KK-Papar-Tuaran. Sekarang, saya catatkan pula beberapa lokasi menarik yang lain yang anda patut kunjungi ketika berada di Sabah.
TenomSaya sudah agak lama tidak berkunjung ke Tenom. Kali terakhir saya pergi ke sana adalah pada tahun 1987 ketika saya dalam darjah enam. Saya bersama nenek menziarahi makcik saya Isah.
Tidak banyak yang menarik di Tenom, cuma Taman Pertanian Lagud Seberang, Taman Orkid dan Pusat Kebudayaan Murut Sabah. Klik di
sini untuk penerangan mengenai ketiga-tiga daya penarik Tenom ini.
Sebelum meninggalkan Tenom pastikan anda membeli kopi Tenom yang asli kerana kopi Tenom terkenal dengan keharuman dan keaslian kopi keluarannya.
Bandar-bandar yang berhampiran dengan tenom adalah
Keningau dan
Tambunan.
KudatAntara yang menarik tentang kudat adalah Tanjung Sempang Mengayau (The Tip of Borneo) dan makanan lautnya yang jauh lebih murah berbanding dengan harga di KK. Klik di
sini untuk sedikit penerangan mengenai Kudat.
Bandar yang berhampiran dengan Kudat adalah
Kota Belud yang majoriti penduduknya adalah suku kaum Bajau dan terkenal dengan Tamu Kota Belud.
Salah satu makanan tradisi masyarakat Bajau adalah kuih penjaram. Masyarakat Bajau juga sinonim dengan peralatan muzik kulintangan yang dimainkan bersama alat muzik lain seperti gong.
Kuih penjaram
Kulintangan
Tanjung Sempang Mengayau
Tamu Kota BeludTawau dan SempornaDaya penarik dua tempat ini adalah
Pulau Sipadan. Selain itu, Tawau juga terkenal dengan peralatan dapur dan biji gajus yang murah. Klik untuk sedikit pengetahuan berkenaan
Tawau dan
Semporna.
Kepada peminat seni pelayaran dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang kebudayaan masyarakat Pantai Timur Sabah, kunjungilah Semporna ketika acara tahunan
Semporna Regatta Lepa dilangsungkan.
Bandar yang berhampiran dengan Tawau dan Semporna adalah
Lahad Datu yang terkenal dengan Felda Sahabat. Kepada anda yang ingin berkunjung ke sana bolehlah menginap di
Sahabat Beach Resort.
Resort di Pulau SipadanSandakanAntara daya penarik Sandakan adalah
Taman Orang Utan Sepilok,
Pulau Taman Penyu,
Sungai Kinabatangan dan
Gua Gomantong. Pastikan anda membeli buah salak untuk dibawa balik sebelum meninggalkan Sandakan.
Klik di
sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sandakan.
Kundasang dan RanauKundasang dan Ranau terkenal kerana tarikan Gunung Kinabalu. Kepada anda yang tidak berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu, lapangkan masa anda untuk mengambil gambar di Taman Negara Kinabalu dan Tugu Peringatan Perang. Namun, kepada anda yang punya banyak masa, menginaplah di
Mesilau Nature Resort atau di
Kinabalu Park Lodge.
Di sini juga ada
Kolam Air Panas Poring dan sekiranya anda berhajat untuk melarikan diri daripada kesibukan dan inginkan ketenangan sebentar, berkunjunglah ke
Sabah Tea Plantation. Anda pasti merasakan kelainannya.
Terdapat banyak hotel dan tempat penginapan di sekitar Kundasang ini. Sri Intan Resort milik TM dan
Hotel Perkasa antara yang menjadi pilihan mereka yang berkunjung ke sini. Berdekatan dengan dua tempat penginapan ini adalah Kem Bina Negara Kundasang.
Selain daerah Sipitang, Ranau dan Kundasang juga amat sinonim dengan durian dan musim buah.
Sekiranya anda hendak meninggalkan Kundasang dan Ranau, jangan lupa untuk membeli sayuran segar di gerai sayur yang ada di tepi jalan. Selain daripada sayur, pastikan juga anda membeli dan merasa buah mentega dan kerepek bayam.
Wilayah Persekutuan LabuanUntuk maklumat berkenaan Labuan pula, sila klik di
sini dan di
sini.
Sudah habiskah Linda?
Ada sedikit sahaja lagi. Kepada mereka yang sukakan percutian yang penuh dengan ‘adventure’ bolehlah berkunjung ke
Lembah Danum dan
Maliau Basin. Untuk penginapan di Lembah Danum klik di
sini manakala untuk Maliau Basin pula sila klik di
sini.
Lembah Danum
Maliau BasinSatu lagi tarikan pelancong di Sabah adalah sayap ayam panggang yang dimakan bersama dengan sambal kicap dan murtabak jawanya. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati dua hidangan ini semasa anda berada di Sabah.
Sebelum meninggalkan Sabah, pastikan anda membeli ikan keropok di pasar ikan masin KK atau buah avocado dengan harga sekitar RM5.00 sekilo di pasar buah KK untuk dibawa balik.
Rasanya itu sahaja yang boleh saya kongsikan bersama anda. Kalau ada yang tertinggal, saya akan tambahkan maklumat dari masa ke semasa. Semestinya negeri tempat lahir saya ini kaya dengan budaya dan adat resam yang tidak dapat saya rungkaikan semuanya di sini.
Untuk maklumat tambahan mengenai Sabah, sila klik di
sini.
Selamat berkunjung ke Sabah Negeri di Bawah Bayu!
Nota :
1. Gambar-gambar dalam catatan ini saya perolehi daripada pelbagai sumber melalui carian dalam Internet. Terima kasih.
2. Catatan telah dikemaskini pada 28.05.2009 dengan tambahan maklumat tentang Monsopiad, kopi Tenom, sayap ayam panggang dan murtabak jawa. - Terima kasih kepada Sue Onn .
3. Maklumat tentang Semporna Regatta Lepa, Jesselton Point, Membakut, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Putatan dan Lok Kawi juga turut ditambahkan pada 28.05.2009.
4. Catatan telah dikemaskini pada 29.05.2009 dengan tambahan maklumat tentang ambuyat, jeruk bambangan, hinava, tuhau, kuih penjaram, kulintangan, ikan keropok dan buah avocado.
5. Kepada anda yang ingin bertanyakan maklumat lain selain daripada yang saya catatkan di sini, sila berhubung terus dengan saya melalui email lindaamri@yahoo.com . Saya akan cuba membantu setakat yang mampu. :-)