Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Monday, April 27, 2009

"Sesungguhnya, mati itu pasti" ...Bahagian Akhir

26 April 2009 (Ahad)

Alhamdulillah, Umi sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam, Jalan Pantai Manis, Kampung Kuala Papar, bersebelahan dengan kubur datuk dan nenekku.lebih kurang pada jam 8.30 pagi. Umi, telah sekali lagi disembahyangkan dan diarak ke tanah perkuburan dengan penuh hormat oleh rakan-rakan tenteranya.

Aku sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama untuk mengiringi pemergian Umi kerana anakku Nana demam panas. Aku cuma mendengar cerita daripada bapa dan mamaku yang berada di rumah Makcik Isah juga daripada suamiku yang turut sama mengiringi Umi sampai ke tanah perkuburan.

Sesungguhnya, kesedihan masih aku rasai sehingga detik aku menulis coretan ini. Setiap kali selepas solat aku akan menangis. Menangis kerana sedih dan kerana mengingatkan bahawa mati itu terlalu hampir dengan kita. Dan, aku juga dapat merasakan bahawa kesedihan masih membelenggu Makcik Isah sekeluarga. Pemergian Umi pastinya merupakan kehilangan besar buat mereka. Semoga Allah memberikan ketabahan dan kesabaran kepada mereka. Dan semoga berkat kesabaran itu, Allah melimpahkan pahala kepada mereka.

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan sesungguhnya pahala kamu akan disempurnakan pada hari kiamat. Sesiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia sesungguhnya telah beruntung. Kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan yang memperdayakan" ( Ali Imran : 185 )

Semoga coretan ini menjadi peringatan buat diriku yang juga seorang manusia yang tidak lepas daripada kelalaian.

Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat-Nya ke atas kita dan semoga Allah mematikan kita dalam keadaan yang baik, dalam keadaan kita sujud dan beriman kepada-Nya.

Semoga Umi bersemadi dengan tenang dan semoga Allah mengampunkan segala dosa Umi dan semoga roh Umi dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah

Tamat - 26 April 2009 ; 9.50 malam



Nota :

1. Coretan ini adalah kisah benar dan saya ceritakan menurut perspektif saya dan saya catatkan di sini untuk memperingati Allahyarham Umi, sepupu saya sebagai peringatan kepada diri saya juga kepada mereka yang membacanya.

2. Ayat-ayat perbualan yang sebenarnya dalam dialek pertuturan bahasa Melayu Sabah telah saya ubah suai supaya senang difahami oleh pembaca.

"Sesungguhnya, mati itu pasti" ...Bahagian II

“Ada apa-apa perkembangan terbaru?”, aku bertanya Ebet selepas bertukar salam dengan Ebet.

“Kami baru hendak pergi”, kata Ebet.

“Aku ingatkan kamu sudah sampai”, aku meneruskan perbualan.

“Pian tengah bertanyakan arah perjalanan ke Jengka. Kami pun belum pernah sampai ke situ”, Ebet seolah-olah membela diri takut dimarahi oleh aku.

“Kalau macam itu, nanti aku telefon balik untuk pastikan perkara sebenar”, aku memutuskan talian.

Aku betul-betul rasa tidak selesa dengan ketidakpastian ini. Dalam kegelisahanku itu, aku terbayang wajah Makcik Isah, mama kepada Umi yang aku pasti perasannya lagi hebat daripada aku. Ibu mana yang tidak sayangkan anak dan Umi adalah anak sulungnya pula. Aku hanya berkata dalam hati, sekiranya berita ini benar, itu tandanya Allah lebih sayangkan Umi dan kami semua kena redha atas ketentuan ini. Belum habis kesedihan kami dengan pemergian nenek pada bulan Februari lalu, menyusul pula yang ini. Berat memang berat. Apatah lagi jenazah nenek tempohari diuruskan di rumah Makcik Isah. Aku dapat bayangkan kesedihan pada wajah Makcik Isah bila mendengar khabar anaknya Umi. Aku berdoa dalam hati semoga Makcik Isah sentiasa tabah dan bersabar.

Bila bercakap pasal mati, aku teringat perbualan di antara aku dengan anak-anakku pasal kematian.

“Ummi, kalau kita sudah tua nanti, adakah kita akan mati?”, Nana anak keduaku bertanya kepadaku.

“Kita ini manusia, makhluk yang dijadikan oleh Allah. Sebagai makhluk, tidak kira tua atau muda, kita pasti akan mati. Bayi baru lahir pun boleh mati, inikan pula kita”, aku menjawab pertanyaan Nana dengan cuba memberi penerangan yang boleh diterima olehnya maklumlah umur Nana baru enam tahun.

Pernah sekali Nana menangis teresak-esak kerana risaukan abahnya akan mati. Nana berkata yang abahnya sudah tua sebab rambut putih sudah ada di atas kepala. Aku cuba menenangkan hati Nana dengan memberi penerangan yang sama.

“Ummi, adakah pokok-pokok itu juga makhluk Allah? Macam mana pula dengan binatang Ummi?”, Arin anak sulungku yang berumur tujuh tahun pernah mengajukan soalan ini.

“Betul, semua yang ada di muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Pokok, binatang seperti kucing, ulat, gonggok semuanya makhluk ciptaan Allah. Kalau sudah namanya makhluk, mestilah mati. Arin pernah tengok kan pokok yang mati?”, aku memberi penerangan sewajarnya sekaligus bertanya kepada Arin.

“Pernah. Pokok kalau mati tidak ada daun dan warnya pun coklat kan ummi?”, Arin menjawab juga mengajukan soalan pada masa yang sama.

“Ya, betul. Hanya Allah sahajalah yang kekal. Arin tahu kenapa Allah sahaja yang kekal?”, sekali lagi aku bertanya kepada Arin.

“Emmm... sebab Allah yang jadikan semua ini. Yang menjadikan tidak akan mati”, Arin menjawab.

“Pandai anak ummi. Allah itu Maha Pencipta. Dia Maha Menjadikan dan Dia berkuasa ke atas setiap nyawa makhluk-Nya. Kalau Allah hendak ambil nyawa kita, bila-bila masa sahaja Allah boleh ambil”, aku menjelaskan lagi kepada Arin dan Nana yang kebetulan ada di sebelah abangnya.

Aku tersadar daripada lamunan. Aku mengelamun kerana aku tidak mahu memikirkan pasal Umi yang tidak pasti kesahihan beritanya. Aku lalu sengaja menyibukkan diriku dengan mengemaskini blog-blog aku yang ada. Setelah selesai, aku buka pula laman web RAMFC yang ternyata tidak berpenghuni sebab seingat aku Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur masih berlangsung dan hanya tinggal hari ini dan esok sahaja. Mesti kawan-kawan berada di sana atau pun seperti biasa menghabiskan hujung minggu bersama keluarga tersayang.

Kira-kira jam sebelas pagi, aku kembali menghubungi Ebet.

“Apa perkembangan terkini?”, aku terus sahaja kepada tujuan asal setelah memberi salam.

“Kami sudah sampai dan aku sudah membuat pengecaman di bilik mayat dan memang betul. Umi terlibat dalam kemalangan langgar lari. Memang sah dia, kak. Aku pun lemah lutut dibuatnya, nasib baik Pian ada bersama tolong pegang aku. Kami tengah tunggu pegawai-pegawai dari TLDM Lumut untuk menguruskan apa yang patut”, Ebet tanpa dipinta memberikan penjelasan yang aku kehendaki.

Innalillahi wainnalillahi rajiun... daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali.

Aku tidak mampu untuk menahan air mata daripada merembes keluar. Walau pun tidak rapat dengan Umi, pertalian darah antara kami masih kuat. Umi antara yang termuda dalam kalangan kami bersepupu lebih dahulu dijemput Ilahi. Kesedihan aku bertambah lagi bila Ebet mengatakan bakal tunang Umi juga turut ada bersama di sana. Tunang Umi menyatakan kepada Ebet yang barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan mereka yang dirancangkan berlangsung pada bulan Julai semuanya sudah siap belaka. Cincin pun sudah dibeli tinggal sahaja menunggu hari pertunangan. Umi menurut bakal tunangnya itu memberitahu lagi yang Umi memang selalu balik ke rumahnya sejak kebelakangan ini untuk membuat persiapan majlis tetapi dengan menggunakan bas. Tidak tahu pula kali ini Umi menunggang motosikal untuk balik. Tambah sayu lagi apabila bakal tunang Umi menceritakan bahawa pada malam kejadian, Umi ada menghubunginya dari Temerloh dan minta untuk dimasakkan udang masak merah. Astaghfirullahalazim... itu sahajalah yang mampu aku ucapkan dalam kesedihanku ini. Kita hanya mampu untuk merancang, selebihnya Allah yang menentukan.

Selepas solat maghrib aku dan suami menziarahi Makcik Isah. Aku tidak sampai hati untuk mengeluarkan kata-kata takziah kepadanya sebab aku tahu aku akan menangis bila melihat dia menangis. Sudahnya, setelah satu jam aku mengambil keputusan untuk balik sahaja ke rumah dan menyatakan kepada Makcik Niah dan Makcik Nis yang aku akan kembali pula keesokannya, tambahan pula jenazah Umi belum tiba. Penerbangan yang membawa jenazahnya agak lewat dan menyebabkan ketibaannya nanti pun sudah lewat malam. Bapa memberitahuku pengebumian akan dibuat pada keesokan hari dan Umi akan diberikan penghormatan terakhir menurut adat-istiadat tentera.

Bersambung...

"Sesungguhnya, mati itu pasti"...Bahagian I

25 April 2009 (Sabtu)

Kring!Kring!...Kring!Kring!

Bunyi deringan telefon sama ada pada awal pagi selepas subuh begini atau pada tengah malam ketika kita sepatutnya nyenyak tidur sentiasa mengundang rasa tidak sedap hati. Lebih-lebih lagi pada hari Sabtu dan Ahad ketika aku mahu berehat-rehat bersama anak-anak juga suami.

Dari dalam bilik, aku dengar mama menyambut telefon. Kebiasaan pada hujung minggu begini, selepas solat subuh, sememangnya aku suka berehat di atas katil sambil membaca buku sebelum menjenguk dapur untuk menyiapkan sarapan bersama suami. Pada pagi hari Isnin hingga Jumaat kami sekeluarga akan bersiap awal. Aku dan suami akan bangkit seawal jam 4.45 pagi untuk membuat kerja-kerja rutin seperti membasuh kain, mandi, solat subuh, mempersiapkan diri dan juga anak-anak. Kami akan keluar dari rumah jam 6.30 pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu untuk bekerja. Aku rasa sedikit lega sebab suami tidak terikat dengan waktu bekerja seperti di Jabatan-jabatan Kerajaan mahu pun syarikat swasta kerana dia senang bekerja sendiri. Sebelum berkahwin dahulu dia bekerja di Johor tetapi setelah berkahwin dia berkorban dengan meletakkan jawatan di Johor untuk bersama dengan aku. Aku pula bukannya hendak bersikap ‘queen control’ tetapi aku memikirkan sekiranya aku mengambil langkah dengan memohon pertukaran lokasi bekerja, aku kira sangat sukar untuk aku bertukar memandangkan suamiku hendak aku bertukar ke kampung halamannya di Kuala Terengganu walhal pada masa itu tidak ada jawatan kosong yang sesuai untuk aku di sana.

Aku yang tengah mengelamun tersentak kerana suami membuka pintu bilik.

“Anak Makcik Isah meninggal”, kata suamiku.

“Anak Makcik Isah yang mana satu? Umi?”, aku inginkan kepastian daripada suami.

“Abang pun kurang pasti”, jawab suamiku.

“Kalau Umi yang dikatakan meninggal kita kena pastikan betul-betul sebab sebelum ini pun dia dikatakan meninggal tetapi bila disiasat betul-betul rupanya salah orang. Mak dan bapa mana?”, aku melahirkan rasa ketidakpastianku kepada suami serentak bertanya kerana aku mendengar enjin kereta dihidupkan di luar rumah.

“Mama dan bapa mahu pergi ke rumah Makcik Isah”, jawab suamiku.

“Oh! Mungkin mereka hendak memastikan duduk perkara yang sebenarnya”, aku berkata semacam kepada diriku sendiri walau pun suamiku berada bersama.

Aku bersepupu sekali dengan Umi. Bapa aku dan Makcik Isah, mama Umi adalah adik-beradik. Makcik Isah adalah anak yang ketiga dan bapaku pula anak sulung. Nama penuh Umi kalau tidak silap aku adalah Sahrumi dan untuk mudah dipanggil, kami selesa memanggilnya Umi. Umi bekerja sebagai tentera laut di TLDM Lumut, Perak. Walau pun aku tidak begitu rapat dengan Umi yang jauh lebih muda daripada aku, aku tidak nafikan aku sedikit terperanjat dengan berita ini. Aku cuba mengimbas kalau-kalau ada ingatanku bersama Umi. Aku hanya ingat bayangan Umi semasa Umi masih bersekolah rendah sahaja selebihnya aku kurang jelas kerana aku pun bukannya membesar di kampung kerana aku bersekolah di asrama penuh sejak dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 kemudian aku menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Malaysia di Sekudai, Johor juga selama lima tahun untuk menghabiskan pengajian di peringkat Diploma juga Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Komputer. Kadang-kadang aku merasa malu kerana nama sahaja anak jati kampung ini tetapi kalau disebut nama orang ini dan nama orang itu langsung aku tidak kenal.

Aku sudah tidak senang duduk. Aku mandi dan menyidai pakaian sementara suami mengurus anak-anak dan menyediakan sarapan. Selesai menyidai pakaian, aku mengambil keputusan untuk menghubungi mama.

“Assalamualaikum mak”, aku memulakan perbualan.

“Waalaikumussalam”, mama menjawab.

“Betulkah mak? Betulkah Umi meninggal?”, aku tidak membuang masa lalu terus kepada topik yang merungsingkan aku.

“Inilah yang mahu dipastikan. Tengah malam tadi pakcik kamu menerima panggilan daripada seorang Sarjan mengatakan Umi sudah tidak ada. Sarjan itu menghubungi pakcik kamu menggunakan handphone Umi”, mama memberi penerangan.

“Macam mana mahu dipastikan mak? Ada sesiapa di sana yang boleh tolong pastikankah?”, aku terus menggasak mama dengan soalan.

“Sudah minta bantuan sepupu Umi, Samsiah anak kepada Hajjah Kiah yang duduk di Melaka untuk membuat pengecaman dan kalau betul, minta dia menuntut sebagai waris. Bakal tunang Umi juga sudah dihubungi untuk sama membantu memastikan perkara ini. Umi sebenarnya mahu bertunang. Dia bercuti dan dalam perjalanan menuju ke rumah bakal tunangnya di Jengka. Bapa kamu pun sudah bercakap dengan Ebet untuk minta bantuan dia pergi ke Hospital Jengka juga untuk membuat pengecaman”, mama menjelaskan dengan panjang lebar.

Hajjah Kiah adalah kakak kepada bapa Umi dan Ebet adalah adikku, anak ketiga daripada kami berlima beradik. Ebet cuma nama panggilan sahaja, nama sebenarnya ialah Haswanizah. Entah macam mana dalam kekalutanku ini aku boleh lupa adikku yang satu ini. Ebet mengikut suaminya, Pian yang bertugas sebagai askar di kem tentera kalau tidak silap aku di Temerloh, Pahang. Jengka juga letaknya di Pahang tetapi aku tidak pasti jarak di antara Temerloh dan Jengka jauh atau pun tidak.

“Jarak dari Temerloh ke Jengka tidak jauhkah mak?”, aku inginkan kepastian.

“Menurut kata Ebet dalam satu jam setengah perjalanan sahaja”, kata mak.

“Kalau macam itu, beritahu sahaja nanti kalau sudah dapat perkhabaran ya, mak”, aku mengakhiri perbualan dengan mama.

Aku sedikit lega setelah bercakap dengan mama tapi aku masih tidak berpuas hati. Setelah bersarapan ala kadar bersama suami dan anak-anak aku menghubungi Ebet untuk mendapatkan kepastian.

Bersambung...

Saturday, April 25, 2009

Ceritera Si Pendengki Yang Gila

Alkisah, di sebuah kota di Semenanjung Mawangsa yang tidak jelas akan namanya. Ada yang memanggilnya Kota Lumpur kerana asalnya kota itu tanahnya lumpur yang sudahnya menjadi kering dan keras. Tak kurang juga yang menamakannya Kota Libur kerana kota ini tempat untuk anak-anak muda bersuka-ria. Namun mungkin yang cocok namanya adalah Kota Lempoyang kerana orang yang mula-mula membuka kota itu namanya Khussin Lempoyang.

Ada pun di Kota Lempoyang itu khabarnya ada diadakan satu keramaian semacam pesta. Maka berbondong-bondonglah sekalian jelata menghurung tapak pesta itu yang diberitakan paling hebat seantero benua. Kesukaan amatlah jelata itu kerana pesta itu adalah pesta yang ditunggu-tunggu. Bak pucuk dicita ulam mendatang, banyaklah beli-belian sekalian jelata sampai yang ada senget bahu sebelah namun sakitnya ditahan saja dek kerana kegirangan menjenguk pesta itu.

Kisahnya pesta itu dinamakan “Pesta Kutubun Kalamun” yang membawa seribu satu kitab yang molek-molek belaka untuk dibuat mengaji. Tambah kesukaan lagi sekalian jelata bila bersua muka dengan guru ilmuwan penulis kitab-kitab yang tidak lokek ilmu dan tidak sombong malah bertukar bicara dengan jelata.




Arakian, khabar berita kehebatan dan keriangan “Pesta Kutubun Kalamun” itu dapat didengari oleh sekalian jelata di seberang samudera tidak terkecuali yang seorang ulat kitab ini yang menggelar dirinya Si Pendengki. Adapun dia menggelar dirinya Si Pendengki kerana kerjanya mencari dan mengkaji kitab-kitab yang orang lain suka. Setiap apa yang orang lain ada dia juga kena ada.

Semangat Si Pendengki untuk ke “Pesta Kutubun Kalamun” itu sangatlah berkobar-kobar tapi malangnya tiadalah upaya Si Pendengki untuk berdayung dan berkayuh sejauh dan seluas samudera terbentang. Sudahnya Si Pendengki mencari usaha ikhtiar dengan hanya berutus pesan dengan sekutunya seorang jelata di Kota Lempoyang. Maka disampaikanlah oleh Si Pendengki akan hajatnya mahu dititipkan sebuah dua kitab yang molek untuk diselidiki. Ada pun nama sekutunya Si Pendengki itu ialah Si Pemurah. Maka Si Pemurah yang baik hati dan kuat mentalnya itu pun menitipkan sebuah dua kitab yang molek untuk dikhatam.

Dikisahkan, beberapa hari sebelum “Pesta Kutubun Kalamun” bermula, Si Pendengki sudah mula memesan kitab itu dan ini dek kerana kesurupan ingin turut merasa keriangan berpesta walau pun sekadar berpesta diam-diam sendiri tidak ada riuh tidak ada sesak.

Bukan kepalang gembiranya Si Pendengki sampai terlompat-lompat kerana kesukaan yang teramat kerana kitab-kitab yang dipesan berserta titipan Si Pemurah sudah ada di depan mata. Tidak habis dengan terlompat-lompat, Si Pendengki cekatan mengambil kitab-kitab itu lalu berlari keliling kampung sepertinya orang gila yang lepas lari dari tahanan.

Dengan banyaknya jumlah kitab-kitab Si Pendengki itu maka terniatlah oleh Si Pendengki untuk menamakan himpunan kitab-kitabnya itu sebagai “Khutub Khanah Pendengki”. Dan barangsiapa yang mungkin dengki akan Si Pendengki dan tidak tahu malu, maka Si Pendengki mempersilakanlah mereka itu untuk bertamu di “Khutub Khanah Pendengki”.




Demikianlah kisah hamba Si Pendengki yang gila. Ya, hamba memang gila kitab dan selalu dengki ingin turut sama-sama mabuk ilmu supaya dalam khayal hamba itu nanti harapnya ada raban dan repek yang waras yang boleh dibawa ke dalam nyata.

Nota :

1. Tulisan di atas adalah rekaan semata-mata. Segala watak, tempat dan segala apa yang disebutkan dalam tulisan di atas adalah tidak menyentuh mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang sudah mati. Sekiranya ada, itu semua kebetulan sahaja. Tulisan di atas adalah untuk suka-suka sahaja bagi menyampaikan maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat.

2. Gambar-bambar sekitar Pesta Buku Antarabangsa di atas adalah dipetik lalu diubah suai dari laman web
Alaf21 Sdn. Bhd.

3. Tulisan ini saya nukilkan untuk mengembalikan kenangan bergilir membaca “Hikayat Malim Deman” dengan mama semasa zaman bersekolah rendah dahulu.

4. Ucapan terima kasih kepada
Akim kerana sudi membelikan saya buku-buku Ustaz Hasrizal yang semuanya ada tiga, “Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain” dan “Ketupat Cinta”. Sesungguhnya budimu Akim tidak terbalas oleh saya, hanya Allah jualah yang membalasnya. Saya hanya mampu berdoa agar Akim cepatlah mendirikan masjid. :-)

Sunday, April 19, 2009

PPSMI – Ketidakwajaran Dalam Kewajaran

Perlaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak tahun 2003 mengundang pelbagai persepsi dan reaksi semua pihak. Para ibu bapa yang tidak celik bahasa Inggeris umpamanya menganggap PPSMI sebagai satu perkara yang tidak munasabah. Tidak kurang juga reaksi negatif pelajar yang terlibat secara langsung dengan PPSMI yang kurang atau tidak mahir berbahasa Inggeris. Bahkan ada segelintir pihak yang menjadikan PPSMI sebagai "peluru" untuk "menembak" kerajaan. Kerajaan dikatakan tidak menghormati perlembagaan menerusi Artikel 152 Fasal 1 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sekiranya kita imbau kembali objektif perlaksanaan PPSMI sebagaimana yang dipaparkan dalam laman web Kementerian Pelajaran Malaysia, PPSMI adalah bertujuan untuk mempersiapkan generasi muda sebagai tenaga penggerak utama negara bagi mencapai tahap negara maju dan bagi menyediakan mereka mendepani era globalisasi.

“Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.” – Kementerian Pelajaran Malaysia.

Apa pun sebab dan alasan dalam memperlihatkan kewajaran perlaksanaan PPSMI, kerajaan sepatutnya lebih peka dalam membuat sebarang resolusi mengenai dasar yang melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Sekiranya kita melihat negara-negara maju seperti Jepun yang hanya mengambil masa 100 tahun untuk pulih dan maju setelah perang dunia kedua, Perancis dan Jerman - mereka menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan mereka.

“...bahasa sains dan teknologi di Eropah, di negara Scandinavia, Rusia, China, Jepun, Korea, Indonesia dan Thailand tidak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi menggunakan bahasa ibunda masing-masing.” – Datuk Dr. Hassan Ahmad dalam "Politik Bahasa Rasisme", Dewan Masyarakat Oktober 2008. Beliau turut menyatakan bahawa negara yang menggunakan bahasa ibunda itu bukanlah fanatik tetapi mereka cuma mempertahankan tradisi mereka. Mereka maju kerana berfikir dalam bahasa ibunda tanpa mengira perbezaan taraf sosial, ekonomi, dan pendidikan dalam kalangan rakyat mereka.

Dalam tulisan beliau “Bahasa dalam Pendidikan”, Dewan Masyarakat April 2009 menyatakan “...manusia lebih cekap berfikir secara kreatif dan memahami sesuatu (ilmu) yang baharu melalui bahasa ibundanya.” Beliau menyambung lagi dengan mengatakan bahawa bahasa bukan sahaja sistem linguistik (sistem atau peraturan nahunya) tetapi juga merupakan sistem pemikiran dan sistem budaya iaitu sistem yang membolehkan manusia mengetahui, memahami, mengenali, dan berfikir tentang alam, realiti di luar dirinya, dan cerminan budaya manusia.

Saya yang merupakan salah seorang daripada ribuan hasil keluaran perlaksanaan pendidikan sebelum PPSMI secara peribadi berasa kesal dengan perlaksanaan PPSMI. Tindakan yang mewajarkan PPSMI ini seolah-olah mengatakan dasar pendidikan sebelum ini tidak berkesan lantas mengambil jalan keluar dengan memperkenalkan PPSMI. Setahu saya ramai cendekiawan dan bijak pandai negara ini lahir melalui sistem pendidikan sebelum PPSMI. Mereka juga mampu menempatkan diri mereka dalam kalangan pemimpin syarikat ternama di Malaysia.

Justeru itu, saya berpendapat dalam mempersiapkan generasi muda mendepani globalisasi, PPSMI bukanlah resolusi terbaik tetapi sebaliknya kerajaan haruslah mengambil pendekatan untuk mengkaji kembali kaedah pengajaran dan pemelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.
Sekiranya masalah penguasaan bahasa Inggeris adalah penyakit yang menghalang kita untuk menjadi negara maju, maka kita hendaklah merawatnya dengan mengambil penawar yang betul. Jangan pula lain sakit lain pula ubatnya, kelak nanti sakit pasti datang lagi.

Sekiranya PPSMI akan terus dilaksanakan, saya menyeru kepada kerajaan untuk mempertimbangkan pula perlaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi termasuk maktab-maktab perguruan kerana para graduan inilah yang akan menjadi pendidik generasi muda yang merupakan nadi penggerak PPSMI. Pendekatan bottom-up seperti yang dilaksanakan kini kemungkinan akan menemui jalan buntu kerana para pendidik sendiri gagal untuk menguasai pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Mungkin ada yang berpendapat tindakan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seterusnya menjadikannya bahasa pengantar dalam sistem pendidikan adalah satu tindakan rasisme sebab di Malaysia terdapat pelbagai kaum yang juga mempunyai bahasa ibunda masing-masing.

Sekiranya diteliti, bahasa Melayu mempunyai banyak ragam atau dialek. Selain ragam bahasa Melayu baku, terdapat juga pelbagai dialek Melayu mengikut negeri seperti dialek Kelantan, dialek Utara, dialek Negeri Sembilan begitu juga dengan dialek Melayu peribumi Sabah dan Sarawak. Namun, apa yang diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu baku yang diajarkan disekolah-sekolah. Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana bahasa ini merupakan bahasa intra-etnik di Malaysia, tidak seperti bahasa Mandarin atau bahasa Tamil yang tidak merentas sempadan etnik.

Perlu diingat bahawa perlembagaan Malaysia menjamin bahasa lain turut dipelihara dan digunakan dalam semua bidang kecuali untuk urusan rasmi atau dalam urusan pentadbiran kerajaan. Justeru, dasar pelajaran kebangsaan yang asal ada mencadangkan agar bahasa Cina dan bahasa Tamil diajar di Sekolah Kebangsaan sebagai mata pelajaran tersendiri. Jika dasar itu dilaksanakan, bererti pelajar Cina dan India di sekolah kebangsaan akan diberi hak untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing di sekolah yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Dalam usaha kita mencapai visi, kita haruslah mengatur misi yang akan mendokong kita mencapai visi. Sekiranya PPSMI adalah salah satu misi kita untuk mencapai visi sebagai negara maju, maka PPSMI bukanlah salah satu misi yang realistik. Untuk menjadi sebuah negara maju, kita haruslah terlebih dahulu merdeka - merdeka zahir dan batin. Perlaksanaan PPSMI membuktikan bahawa kita belum merdeka sepenuhnya. Pada zahirnya kita merdeka namun batin (pemikiran) kita masih dijajah. Kita haruslah mengambil langkah drastik yang positif dengan memacu pembangunan menggunakan acuan kita sendiri dan bukannya mengikut telunjuk orang lain. Dirgahayu Malaysia!


Rujukan :
1. Datuk Dr. Hassan Ahmad. “Politik Bahasa Rasisme”, Dewan Masyarakat Oktober 2008
2. Datuk Dr. Hassan Ahmad. “Bahasa dalam Pendidikan”, Dewan Masyarakat April 2009


NOTA:
Gambar adalah muka hadapan buku "Mengapa Kami Bantah (PPSMI) Edisi Kedua" hasil susunan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan diterbitkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia dan diedarkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Monday, April 13, 2009

"Bacalah! Dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan..."

“(Wahai Muhammad bacalah) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian mahkluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu yang Maha pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-'Alaq :1-5)

Saya berasa terpanggil untuk membuat coretan ini setelah membaca salah-satu entri di blog sahabat saya websutera yang bertajuk "Bilakah saya membaca buku?".

Ramai rakan-rakan saya hairan melihat saya yang memang suka membeli buku dan bahan bacaan yang lain termasuk majalah, tak kiralah majalah ilmiah mahu pun yang memperkatakan tentang hiasan dalaman dan makanan. Mereka bertanya kepada saya, "Bila masa kau baca semua nih?" dan ada juga yang bertanya "Tak sayang duit ke kau beli semua buku-buku nih?".

Bagi diri saya, saya memang minat membaca sedari kecil. Saya telah dididik oleh mama dan bapa saya untuk sentiasa mencari ilmu dan menghargai ilmu. Dan salah satu cara untuk mencari ilmu ialah melalui kaedah membaca. Mama dan bapa saya tidak kisah kalau saya membeli buku kerana bagi mereka itu bukan satu perbelanjaan tetapi lebih kepada pelaburan, pelaburan untuk mendapatkan minda yang kritis lagi kreatif.

Masih ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak minat membaca. "Kajian mendapati rakyat negara ini hanya membaca dua buku setahun berbanding negara maju seperti Jepun. Walaupun kajian terhadap minat membaca itu ada peningkatan, berbanding kajian sedekad lalu, iaitu hanya satu muka setahun, tetapi aspek kecenderungan bahan yang dibaca perlu dinilai dari perspektif berbeza." (Berita Harian, 3 Jun 2004-Rencana "Budaya membaca rakyat Malaysia menyedihkan")

Setelah lima tahun, rasanya tidak banyak yang berbeza. Apa yang lagi menyedihkan apabila diperhatikan, golongan muda masa kini lebih gemar mengisi masa lapang dengan meluangkan masa di kafe siber atau mendengar muzik dan menonton televisyen. Amat payah untuk kita melihat remaja ke sana ke mari menjinjing buku, kalau ada pun mungkin bahan bacaan yang berkaitan dengan majalah hiburan yang memaparkan kisah artis.

Justeru itu, golongan dewasa khususnya para ibu-bapa haruslah memainkan peranan penting dalam membudayakan aktiviti membaca. Budaya membaca haruslah dididik sedari anak masih dalam kandungan lagi. Secara peribadi, inilah yang saya lakukan terhadap dua orang anak saya. Saya mula membacakan mereka buku-buku cerita semasa yang mengandungkan mereka. Sehingga sekarang, sekiranya kami sekeluarga pergi bercuti, saya akan pastikan anak-anak saya membawa bahan bacaan walau pun satu buku kerana itu sudah memadai bagi mereka membudayakan aktiviti membaca.

Balik kepada persoalan "Bila saya membaca buku?", inilah jawapan saya :

1. Saya membaca semasa rehat - di antara waktu solat maghrib dan solat Isya'.
2. Semasa di dapur, menunggu lauk masak.
3. Semasa dalam kapal terbang - sekiranya saya perlu bertugas di luar kawasan.
4. Semasa menunggu giliran di kaunter perkhidmatan.
5. Semasa menunggu giliran untuk berjumpa doktor.
6. Sementara menunggu lampu isyarat bertukar hijau.
7. Semasa rehat makan tengahari di pejabat.
8. Semasa menunggu komputer saya mengimbas pepijat.
9. Sementara menunggu di kereta ketika suami berurusan.
10. Sementara menunggu waktu 'boarding' di lapangan terbang.
11. 15 minit hingga 1 jam sebelum tidur.
12. Dan bila-bila masa saya lapang dan ada kesempatan

Kalau ikutkan memang susah meluangkan masa untuk membaca, tapi kerana minat dan ia sudah menjadi tabiat, saya luangkan juga masa untuk membaca. Saya lakukan demikian untuk menarik minat anak-anak saya turut sama membaca.

Itu saya, bagi anda pula - Bila anda membaca?

Pesta Buku Antarabangsa 2009 pun akan bermula, rebutlah peluang ini - sayangnya saya tak berkesempatan nak pergi kerana kekangan tugas.

Friday, April 3, 2009

Teori RAHMAN dan Masa Depan UMNO – Malaysia



Hari ini tanggal 03 April 2009, Malaysia melakar sejarah sekaligus membuktikan kebenaran teori akronim RAHMAN yang diperkatakan memberi klu tentang giliran siapa yang menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia, jawatan tertinggi dalam Kerajaan.

Huruf R merujuk kepada Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama yang menjawat jawatan tersebut semenjak merdeka pada tahun 1957 sehingga tahun 1971.

Huruf A pula merujuk kepada Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua yang menjawat jawatan tersebut dari tahun 1971 sehingga beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tahun 1976. Beliau memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan membantu membangunkan ekonomi orang Melayu namun menemui kegagalan kerana sasaran 30% ekonomi adalah dalam pegangan orang Melayu menjelang tahun 1990 tidak dapat dicapai.

Huruf H merujuk kepada Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga dari Januari 1976 sehingga tahun 1981. Beliau memperkenalkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Huruf M pula merujuk kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat dari tahun 1981 hingga 2003 sekaligus meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang paling lama memegang jawatan tersebut. Tun Dr. Mahathir merupakan pemangkin pembangunan Malaysia dan selayaknya beliau dinobatkan sebagai Bapa Permodenan Malaysia.

Huruf A merujuk kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima bermula dari tahun 2003 sehingga 2009. Perlantikan Beliau sebagai Perdana Menteri mengundang pelbagai reaksi semua pihak. Kegagalan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya ke-12 pada Mac tahun lalu adalah dikatakan kegagalan beliau untuk menjadi pemimpin yang berwibawa. Pak Lah mendapat kecaman hebat apabila Tun Dr. Mahathir yang telah menamakan beliau sebagai pengganti turut mengatakan bahawa Pak Lah bukanlah pilihan beliau yang sebenar. Pak Lah dengan rasminya telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada tanggal 02 April 2009.

Huruf N pada akhir akronim ini pula merujuk kepada Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang dengan rasminya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada hari ini 03 April 2009.

Sejarah Malaysia membuka lembaran baru dengan lengkapnya akronim RAHMAN. Persoalannya, apakah selepas RAHMAN? Sejauh manakah BN khususnya UMNO mampu untuk bertahan dalam krisis politik kini?

Saya bukan seorang penganalisis politik jauh sekali sebagai aktivis politik. Saya hanya seorang warganegara Malaysia yang suka memerhati dan ambil tahu tentang politik sebab politiklah yang menentukan hala tuju kemakmuran negara. Kestabilan politik merupakan faktor terpenting bagi membangunkan dan mengukuhkan ekonomi negara.

Bagaimanakah memakmurkan dan membangunkan negara? Ahli politik, wakil-wakil rakyat dan para pemimpin tanpa mengira ideologi politik hendaklah mentadbir mengikut acuan sendiri. Kepada para pemimpin yang beragama Islam semestinya acuan yang dimaksudkan adalah modul kepimpinan Rasulullah s.a.w yang telah berjaya membawa kegemilangan Islam di mata dunia.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Pak Lah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Najib.

Semoga negaraku Malaysia sentiasa dirahmati oleh Allah, amin.


Rujukan : Wikepedia Encyclopedia