Sungguh sedih dan pilu bila kebelakangan ini kita asyik membaca berita tentang pencerobohan Gaza oleh rejim Israel. Apakah tidak ada noktah untuk pembunuhan membuta-tuli ini. Buta sebab pembunuhan ini tidak mengira kanak-kanak dan wanita, sekolah hatta penempatan awam pun dibedil dengan rakus tanpa ada belas kasihan.
Tambah membimbangkan lagi apabila saya membaca petikan Berita Harian online di bawah :
Pendeta Yahudi 'halalkan' bunuh wanita, kanak-kanak
GAZA: Laporan sebuah akhbar Arab Saudi, Al Watan, mendedahkan pendeta Yahudi mengeluarkan kenyataan agama membolehkan wanita dan kanak-kanak Palestin dibunuh dan mengampunkan setiap penduduk Yahudi yang melakukan jenayah itu. Menurut akhbar berkenaan, pendeta berkata, tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis di Semenanjung Gaza selari dengan ajaran Yahudi menganggap pembunuhan itu sebagai 'hukuman besar ke atas musuh.' Ia juga menyebut salah seorang pendeta mengeluarkan kenyataan bahawa tiada masalah dalam menghapuskan penduduk Palestin tidak kira walau sejuta orang atau lebih dibunuh oleh tentera Zionis. Memetik kenyataan daripada Book of Geneses, pendeta Mordachi Elyaho, menghantar risalah mingguan kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, mengandungi artikel membolehkan Yahudi melaksanakan idea hukuman besar-besaran ke atas musuh selari dengan etika perang dalam kitab Taurat. "Standard ini boleh dilaksanakan kepada kes Gaza sebagai semua penduduk wilayah itu bertanggungjawab kerana tidak melakukan apa-apa untuk menghalang bedilan roket Briged Qassam," kata Elyaho dalam suratnya kepada Olmert sambil mendesak beliau meneruskan serangan ke atas penduduk Palestin kerana 'menghapuskan penduduk awam Palestin tidak menjadi satu kesalahan.' Seorang lagi pendeta radikal, Yesrael Rozin, dipetik sebagai berkata undang-undang dalam Taurat membolehkan pembunuhan lelaki, kanak-kanak, wanita, orang tua, bayi dan haiwan ternakan musuh.
Pendeta Sholomo Elyaho pula menggariskan: "Jika kita membunuh 100 daripada mereka tetapi mereka enggan menghentikan serangan roket, kita perlu membunuh 1,000; dan jika membunuh 1,000 pun mereka masih tidak berhenti, kita perlu membunuh 10,000 dan terus membunuh walaupun sudah mencecah sejuta orang tanpa mengira masa yang diambil untuk membunuh mereka." – Agensi
Kepada semua rakan-rakan, marilah kita sama-sama mendoakan agar bumi Palestin akan aman. Semoga tidak ada lagi jerit-pekik dan tangisan hiba kanak-kanak serta wanita akibat musuh durjana ini.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Ya Allah, Engkau utuskanlah bala tentera-Mu untuk melindungi bumi Palestin daripada serangan tentera Israel sebagaimana Engkau utuskan tentera Ababil semasa peperangan gajah dahulu. Kembalikanlah kemuliaan bumi Palestin, semoga dengan itu menambah keimanan kami kepada-Mu ya Allah! Amiiinnnnn