Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Thursday, December 31, 2009

Ada apa dengan tahun baru?

Ada rakan-rakan yang bertanya kepada saya, "Malam tahun baru buat apa?" dan "Sambut tahun baru di mana?". Terus-terang saya katakan saya terkedu apabila diajukan soalan sedemikian kerana bukanlah resam saya untuk menyambut tahun baru secara besar-besaran kerana bagi saya tahun baru hanyalah satu detik perubahan angka dan masa yang memberikan kita satu ruang untuk kita berfikir dan bermuhasabah diri.

Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun Masihi 2009, esok atau lebih tepat lagi detik 12.01 minit tengah malam nanti kita akan mengucapkan selamat tinggal kepada 2009 dan selamat datang kepada 2010. Saya pasti ramai rakan-rakan sudah merencanakan sambutan tahun baru sama ada bersama keluarga atau bersama rakan-rakan yang lain dan tidak kurang juga kepada yang berpacaran, akan menyambut tahun baru bersama pasangan masing-masing.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak rakan-rakan untuk mengimbas kembali pencapaian kita pada tahun 2009 - adakah apa yang kita impikan pada tahun lalu sudah tercapai? Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang sudah merealisasikan impian tetapi kepada mereka yang belum lagi mencapai apa yang dihajati, marilah kita sama-sama menyorot kembali tindakan yang sudah kita ambil dalam usaha kita mengecapi hajat tersebut, mungkin ada silap yang tidak patut kita ulangi pada tahun 2010.

Bagaimana pula dengan azam 2010? Sudahkah anda menanam iltizam dalam diri untuk mempunyai visi dan misi 2010? Walau apa pun visi dan misi anda saya harapkan kita semua akan menjadi orang yang berjaya setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan semestinya setiap tahun. Tanamlah azam setiap hari dan bukannya setahun sekali. Sama-samalah kita menjadi orang yang sentiasa memperbaiki diri dengan berpegang kepada prinsip hari ini lebih baik daripada semalam dan esok insyaallah lebih baik daripada hari ini.

Bangunlah setiap pagi dengan memohon doa kepada Allah agar kita pada hari tersebut adalah di antara mereka yang tergolong dalam kalangan insan yang berjaya dan beroleh kecemerlangan. Setelah berdoa maka berusahalah dan bertawakallah, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.

Dengan bertukarnya tahun, secara langsung umur kita juga akan meningkat satu tangga. Oleh itu, sama-samalah kita menjadi manusia yang lebih matang dan semoga kita menjadi insan yang tidak jemu untuk menabur bakti kepada bangsa, agama dan negara tanpa mengira bidang yang kita ceburi.

Kepada rakan-rakan yang mempunyai rencana malam ini, pesanan saya - jaga diri dan bersederhanalah dalam semua segi.

Selamat tahun baru 2010 kepada semua!

0 comments: