Oleh ZULKIFLI JALIL, ZABRYMOHAMAD dan THOMAS CHONGMUKTAMAD...Muhyiddin Yassin berkata sesuatu selepas mengumumkan keputusan Kabinet mengenai dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik pada sidang akhbar di Kementerian Pelajaran, Putrajaya, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (tengah) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Alimuddin Mohd. Dom. – Utusan/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.
Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.
Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.
Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.
Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.
Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.
“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.
Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.
“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.
“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.
Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.
“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.
Apa kata saya?
Saya menitiskan air mata gembira pada saat menatap keputusan ini dalam berita utama malam tadi. Semoga keputusan ini mampu untuk memulihkan semangat yang telah hilang dan semoga dengan pengukuhan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan mampu untuk memartabatkan Melayu di mata dunia.
Mengenepikan bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan matematik tidak bermakna bahasa Inggeris tidak penting tetapi kita harus kembali kepada objektif pembelajaran Sains dan Matematik itu sendiri - mempelajari ilmu bukannya mempelajari bahasa.
Sememangnya wajar tindakan pengukuhan pembelajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diambil agar para pelajar mampu untuk menguasai kedua-dua bahasa ini sebaik mungkin.
Sekalung penghargaan, syabas dan tahniah kepada mereka yang telah berjuang untuk mengembalikan kedaulatan bahasa Melayu.










5 comments:
Assalamualaikum
Ni pendapat sy..
Kerajaan mengambil rancangan kembali kebelakang...
Adekah disebabkan statistik yg merosot tu maka kita kembali ke asal?
Kenape tidak dikaji kenape ia merosot?
Bukan tidak bangga dgn Bahasa Melayu.. tetapi PPSMI ni bole menjadikan quality pelajar lebih tinggi..
Adekah kerajaan sudah mengkaji kaedah pengajaran guru2 disekolah?
Sebagai seorang yang pernah lemah dlm BI (dan masih lagi lemah dlm BI)ini adelah 1 kaedah utk memahirkan diri.
Bahasa Melayu sudah kita gunakan dalam seharian kita.. Jadi tu bukan masalah utk kita mendaulatkan Bahasa Melayu.
Namun lain org lain pandangan nyer.
Assalamulaikum
Salam Farid,
Terima kasih kerana memberikan pandangan dalam ruang yang sempit ini.
Memang benar lain orang lain pendapat. Dalam hal memberikan pendapat, tidak ada yang betul dan tidak ada yang salah kerana ia bergantung kepada asas tempat kita berpijak.
Saya tidak memandang rendah kepada bahasa Inggeris kerana bahasa Inggeris sangat penting dalam menghadapi era globalisasi tetapi kita harus jelas dan diperjelaskan akan objektif PPSMI.
Sekiranya ilmu yang dititik beratkan, maka sewajarnya subjek Sains dan Matematik diajar dalam bahasa ibunda kerana manusia lebih memahami ilmu baharu dengan mempelajarinya menggunakan bahasa ibunda.
Tetapi sekiranya aspek penguasaan bahasa yang dipertikai, saya berpendapat kita harus memperkukuhkan pengajaran dan pemelajaran dalam bahasa Inggeris dan bukannya mengajar satu-satu mata pelajaran dalam bahasa Inggeris.
Sekiranya PPSMI diteruskan bagaimana pula dengan mata pelajaran lain seperti Geografi dan Sejarah? Adakah kita juga akan menggunakan bahasa Inggeris untuk semua mata pelajaran di sekolah-sekolah (kecuali bahasa Melayu)?
Sila rujuk entri saya berkaitan dengan PPSMI sebelum ini.
Terima kasih sekali lagi.
Assalamulaikum Kak Linda
Asas sy agar PPSMI diteruskan (drpd pandangan org yg cetek pengalam cam sy ni la)ialah sains & matematik subject yang menggunakan fakta. Walaupun dalam BI namun kepintaran & kegigihan guru diperlukan dalam memberi kefahaman kepada anak murid.
Sy melihat subject Sains & Matematik ni seolah-olah "latihan tambah subject BI secara tidak langsung" (malah subject Prinsip Akaun pun sesuai dalam BI). Kenape?
Disebabkan jawapan dlm subject ni adelah fakta, utk menjawab soalan subject ni memerlukan kefahamam, maka murid2 memerlukan 2 kali ganda usaha utk memahami nyer.
Geografi & Sejarah adelah subject yang memerlukan pemahaman & penjelasan yg panjang lebar maka baik subject tu di ajar dalam bahasa melayu.
Terima Kasih utk entry ni Kak Linda
Kita leh lihat pro & kontra yg tidak terfikir dek akal kita.
Assalamualaikum
Berakhir sudah PPSMI yang membuatkan ramai rakyat malaysia menentang penubuhan PPSMI ni....bila pengumuman ni dibuat saya sudah pasti akan mencari kata2 bernas dr Ungku Aziz...dan saya copy kan di sini utk tatapan kalian...bacalah dan fikirkanlah ...................................
KUALA LUMPUR 8 Julai - Langkah kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah satu keputusan yang amat tepat dan mampu memuaskan hati semua pihak di negara ini.
Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid berkata, sepatutnya tidak ada lagi mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang telah kerajaan lakukan itu kerana ia mengambil kira kepentingan negara dan kemahuan majoriti rakyat.
Katanya, langkah itu memperlihatkan bahawa kedudukan dan martabat bahasa Melayu sudah dikembalikan ke tempatnya yang wajar.
''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana membuat kenyataan yang hampir boleh memuaskan hati semua pihak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Keputusan memansuhkan PPSMI diambil oleh kerajaan selepas kajian mendalam mendapati keputusan pelajar dalam subjek Sains dan Matematik memperlihatkan penurunan sejak beberapa tahun ini.
Dasar PPSMI diperkenalkan pada tahun 2003 dan mendapat penentangan dari pelbagai pihak.
Tambah Ungku Aziz, pemansuhan dasar PPSMI adalah sesuatu yang sangat baik bagi perkembangan bahasa Melayu di negara ini.
Beliau berharap, kerajaan selepas ini akan memberikan penumpuan yang lebih meluas terhadap aspek memperkukuhkan pengunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan di negara ini.
''Perpaduan adalah asas kepada segala-galanya, tanpa perpaduan tidak ada apa pun yang boleh dicapai di negara ini," katanya.
Jelas beliau, pengukuhan bahasa Melayu itu hendaklah merangkumi aspek-aspek seperti memastikan penggunaan bahasa itu dilakukan dengan nahu dan tatabahasa yang tepat.
Beliau juga menyarankan kepada masyarakat agar bahasa Inggeris tidak dilupakan terus tetapi turut diberikan perhatian yang sewajarnya.
Terima kasih Ilyah! :-)
Post a Comment