Thursday, June 25, 2009

Wajarkah pembantu rumah diberikan cuti?

Topik ini memang tengah hangat diperkatakan. Pagi tadi semasa dalam perjalanan pergi ke tempat kerja pun penyampai di salah sebuah stesen radio memilih topik ini untuk dibincangkan secara terbuka dengan para pendengar.

Ada pendengar yang kata wajar dan tidak kurang pula mengatakan tidak wajar.

Secara peribadi saya berpendapat, adalah wajar sekiranya kita memberikan cuti kepada pembantu-pembantu rumah ini walaupun pada hakikatnya kita agak keberatan kerana kita membayar gaji dan telah mengeluarkan wang ringgit semata-mata untuk menjamin para pembantu rumah ini.

Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Bayangkan bahawa kita ini adalah pembantu rumah yang terpaksa bangun untuk bekerja seawal pagi dan sehinggalah pada waktu malam. Ditambahkan pula dengan kerenah majikan dan anak-anak majikan yang pelbagai ragam. Membasuh dan mencuci sudah semestinya. Begitu juga dengan tugas-tugas menyediakan makan dan minum untuk seisi rumah. Kadangkala kita terpaksa pula melayan haiwan peliharaan majikan yang hanya tahu makan dan tidur serta "membuang". Rasakan kepenatan itu.

Sememangnya sesetengah majikan memandang rendah status pembantu rumah kerana dia adalah tuan yang membayar gaji pembantu rumahnya tetapi harus diingat pembantu rumah juga adalah manusia yang juga memerlukan masa untuk dirinya sendiri.

Mungkin apa yang patut kita lakukan ialah dengan mewartakan terma dan syarat perkhidmatan untuk para pembantu rumah ini sama seperti kita yang bermajikan terikat dengan terma dan syarat perkhidmatan yang dipersetujui semasa menandatangani surat penerimaan tawaran kerja dahulu. Untuk tujuan keselamatan, ada baiknya juga segala dokumen perjalanan pembantu rumah ini dipegang oleh majikan agar mereka tidak sewenang-wenangnya lari meninggalkan kerja (taktik ini telah dilakukan oleh seorang rakan saya).

Saya tidak mempunyai pembantu rumah. Saya hanya memberikan gaji kepada pengasuh anak-anak saya yang akan datang setiap pagi dan balik pada sebelah petang. Saya cukup bertoleransi dengan beliau kerana saya berikan beliau cuti pada hari Sabtu, Ahad dan pada hari cuti umum di samping memberikan beliau cuti sekiranya beliau hendak balik kampung untuk menziarahi bapanya. Atas rasa timbang rasa itulah, beliau juga tidak keberatan untuk datang bekerja pada hari-hari beliau sepatutnya bercuti sekiranya saya meminta beliau untuk datang bekerja (selalunya ketika saya bertugas di luar kawasan).

Saya memberikan kelonggaran kepada beliau sebegini rupa kerana saya juga perlukan masa dan ruang untuk bersama-sama dengan anak-anak serta suami pada hujung minggu. Saya juga memahami bahawa beliau masih mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga beliau.

Alhamdulillah, beliau sudah bersama kami sejak anak pertama saya lahir yang kini telah berusia tujuh tahun.

Sebagai manusia kita harus memikirkan hal ini sebaik mungkin.


4 comments:

Zonan said...

Assalamualaikum

Setuju sgt bg cuti... X kisah la berape byk kita bayo pun.. Depa tetap manusia & manusia perlukan rehat... No krompomi...

Sedangkan kita baru keje ari isnin dah fikir bila nak ari sabtu.. Ni kan depa...

P/S: Papa Ibad pun x pembantu umah tp komen atas kesedaran atas sesama manusia.

olin said...

hmm..kalu kena ngn maid yg ntah hape2, susah. bagi cuti nnt dia kuar ntah ke mana2. ada yg lari terus. sudahnya, kita yg byr penalty.. kalu maid tu baik, bley dipercayai, xkesah nak bg cuti~

-Ain-Dak In- said...

ahah..
ain dgr radio ni pg td..
(mmg selalu dgr)
huhuhu..
ain setuju la ngan akk...
wajar kita bg pmbntu umah ct...
dorang bukan robot kan...
(transformers pon tahu penat)

tp bg ain max bg cuti 1 hari la....
kalu 2 hari tu dah mcm keje gomen plak..
nati naik lemak lak dorang.....

Linda Amri said...

terima kasih kpd adik2 kak yg membaca entri ini.

apa yg kak utarakan di sini adalah pendapat peribadi kak dan semestinya pendapat org lain itu berbeza-beza bergantung kpd sebab dan alasan masing2.

bagi cuti atau tidak, kita serahkan kepada pihak yg terbabit untuk menentukannya.

terima kasih zonan, olin dan ain! :-)