Hadith Rasulullah s.a.w yang antara maksudnya "Tuntutlah ilmu walau sampai ke negeri China", walau pun diragui dan dipersoalkan kesahihannya oleh para alim ulama, harus dilihat secara proaktif dan positif.Ini adalah kerana, pada pendapat peribadi saya, janganlah kita terlalu mempersoalkan akan kebenaran hadith ini kerana realitinya sekarang ini sama ada mahu atau tidak masyarakat Cina telah jauh ke hadapan berbanding dengan masyarakat lain terutama sekali dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Jangan pula nanti, kita asyik memperdebatkan akan kesahihannya walhal orang Cina sudah semakin jauh ke hadapan sambil mentertawakan kita yang tidak sudah-sudah bercanggahan antara satu sama lain.
Untuk kita mempelajari tentang resipi kejayaan masyarakat Cina, tidak seharusnya kita pergi ke negeri China tetapi sudah memadai dengan melihat masyarakat Cina yang ada di sekeliling kita.
Kecemerlangan masyarakat Cina dalam bidang ekonomi telah terbukti dengan mencatatkan beberapa orang taikun berbangsa Cina dalam senarai orang yang terkaya di dunia. Nama-nama seperti Robert Kuok dan Lim Goh Tong misalnya sudah tidak asing lagi bagi kita.
Apa yang menariknya tentang kejayaan mereka ini ialah mereka bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang kaya sebaliknya mereka lahir dalam keluarga yang menuntut mereka berhempas pulas untuk bertarung demi kelangsungan hidup.
Sikap optimis dan kesungguhan mereka dalam melakar kejayaan dalam bidang ekonomi harus ditelusuri dan dicontohi. Kepada anda yang berminat untuk mengetahui rahsia perniagaan orang Cina, bolehlah mendapatkannya dalam buku Rahsia Bisnes Orang Cina yang ditulis oleh Ann Wan Seng.
Apa yang hendak saya perkatakan di sini adalah satu lagi aspek yang ada pada orang Cina yang perlu kita contohi. Aspek yang saya maksudkan adalah sikap keprihatinan masyarakat Cina terhadap bidang pendidikan.
Saya tertarik dengan isu utama yang diketengahkan dalam Dewan Masyarakat Jun 2009 yang membicarakan tentang formula kejayaan orang Cina dalam bidang pendidikan. Tambah menarik lagi ialah saya sering membincangkan perkara ini dengan suami saya ketika kami melintasi beberapa sekolah Cina di sekitar bandar Kota Kinabalu yang sememangnya nampak gah berbanding dengan kebanyakan sekolah kebangsaan.
Masyarakat Cina tidak bergantung kepada kerajaan dalam bidang pendidikan kerana mereka mampu untuk berdiri sendiri. Dengan kekuatan mereka dalam bidang ekonomi menjadikan mereka mampu untuk memberikan sumbangan kepada pihak sekolah untuk tujuan peningkatan tahap infrastruktur sekaligus meningkatkan mutu kurikulum pembelajaran di sekolah-sekolah terbabit.
Makalah "Formula Kejayaan Sekolah Cina" tulisan Aninah Janang dan Mohd. Shukri Mohd. Ariff, banyak menceritakan tentang Sekolah Menengah Confucion (Persendirian) yang terletak di Lorong Hang Jebat, Kuala Lumpur. Sekolah yang mengagumkan ini dibina lebih 103 tahun dan mempunyai bangunan setinggi 12 tingkat serta dihuni oleh lebih 1500 orang pelajar.
Sekolah yang bertaraf lima bintang ini mampu memberikan kemudahan yang sama taraf dengan kolej swasta. Kemudahan yang ada serba canggih. Sebagai contoh, setiap pelajar diberikan identiti pengenalan khas yang digunakan untuk merekodkan kedatangan pelajar ke sekolah. Kehadiran pelajar direkodkan menggunakan alat perakam waktu yang disediakan berhampiran dengan pintu lif bangunan sekolah.
Semua bilik darjah dilengkapi alat penghawa dingin untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar. Setiap bilik darjah pula mempunyai sebuah bilik khas untuk guru kelas yang turut dilengkapi alat penghawa dingin dan komputer dengan kemudahan Internet. Bilik ini digunakan oleh guru kelas semasa waktu rehat untuk berjumpa dan berbincang secara individu dengan pelajar kelasnya.
Perpustakaan sekolah pula dilengkapi dengan puluhan ribu judul buku dan majalah, kemudahan bilik multimedia yang membolehkan pelajar mengakses Internet pada bila-bila masa tanpa sebarang bayaran, lima bilik muzik, dan lima bilik komputer yang menyediakan lebih daripada 300 buah komputer.
Sekolah ini turut dilengkapi bilik pandang dengar, bilik audio visual, bili aktiviti bahasa Inggeris, bilik seni reka, bilik aktiviti pelajar, bilik masakan yang bertaraf sebuah restoran, dan bilik pentadbiran am.
Bilik pentadbiran am sekolah ini dilengkapi dengan kemudahan Internet, bilik persidangan, serta dua buah dewan serba guna yang sering digunakan untuk peperiksaan, perhimpunan, dan jamuan.
Semuanya ini adalah hasil wang ihsan para ibu-bapa pelajar. Masyarakat Cina memandang tinggi mereka yang memberikan sumbangan. Ini dapat dilihat dengan jelas di dinding dewan serba guna sekolah ini yang dipenuhi dengan ribuan nama yang memberikan derma. Selain nama mereka yang diletakkan mengikut turutan tahun, jumlah yang mereka dermakan juga turut dipaparkan pada hujung nama mereka. Jumlah wang derma pula berjumlah daripada ratusan ringgit sehinggalah jutaan ringgit dengan anggaran kasar keseluruhan wang derma mencecah ratusan juta ringgit.
Selain sumbangan masyarakat Cina kepada pihak sekolah, para ibu bapa mula menabung untuk pendidikan anak-anak mereka sedari anak-anak baru lahir. Inisiatif menabung ini adalah bertujuan untuk meringankan beban kos pendidikan apabila anak-anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Maka tidak hairanlah mereka sanggup dan mampu untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka walau pun terpaksa menghantar mereka ke sekolah persendirian dengan anggaran yuran persekolahan tahunan sejumlah RM4,000 setahun untuk seorang pelajar.
Di manakah kita jika dibandingkan dengan mereka? Adakah kita akan terus mengharap bantuan kerajaan? Pada masa kebanyakan ibu bapa di sekolah kebangsaan membantah dan mempertikai yuran tambahan persekolahan yang kononnya agak tinggi sehingga memaksa Kementerian Pelajaran menangguhkan sementara kutipan yuran tersebut pada tahun lalu, masyarakat Cina sudah tidak mempunyai masalah malahan menjadi bertambah baik dan lebih berdaya saing.









0 comments:
Post a Comment