Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Thursday, June 4, 2009

Pssst.. nak tau tip nak buat ulasan buku tak?



Kebetulan ada kelapangan, saya ingin berkongsi serba sedikit tentang satu perkara yang ditanya oleh seorang rakan RAMFCAkim.

Akim sebenarnya ingin tahu bagaimana saya boleh membuat ulasan buku yang pada pandangan beliau cukup rempah ratusnya.

Sebenarnya, tidak ada apa petua atau rahsia tertentu dalam membuat ulasan buku. Secara umum, ulasan adalah terlalu subjektif. Ia bergantung kepada si pembaca itu sendiri. Manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza dan ulasan pembaca terhadap sesuatu bahan bacaan pun semestinya berbeza-beza mengikut perspektif masing-masing.





Seperti juga para penulis yang mampu untuk menghasilkan karya yang berbeza-beza mengikut genre kesukaan masing-masing, plot cerita, watak dan perwatakan dalam satu-satu karya yang juga berbeza, begitu jugalah dengan pembaca.

Pembaca bebas untuk memilih bahan bacaan yang mereka hendak baca yang biasanya didorong oleh rasa ingin tahu atau untuk mencari satu-satu maklumat tertentu. Baik atau tidak satu-satu bahan bacaan itu bergantung kepada pembaca mengikut keperluan dan kehendak pembaca.

Pada masa kini, Malaysia sudah mempunyai banyak syarikat penerbitan buku yang menerbitkan bahan bacaan yang pelbagai dalam kategori fiksyen dan bukan fiksyen. Kalau dulu seingat saya, penerbit yang saya ketahui hanyalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sahaja. Atas dasar itulah, para pembaca harus lebih peka dan berpengetahuan dalam menilai satu-satu bahan bacaan agar tidak tersalah pilih.



Memang tidak dapat dinafikan, dalam era persaingan perniagaan, para penerbit berlumba-lumba untuk meraih minat pembaca untuk membeli bahan bacaan yang diterbitkan oleh mereka. Situasi yang mendesak inilah yang kadangkala memaksa para penerbit menghasilkan bahan bacaan termasuklah yang rendah kualitinya bak kata pepatah indah khabar dari rupa, kulit sahaja cantik tapi isinya tidak seberapa. Apa yang menyedihkan lagi, buku-buku sebegini dijual dengan harga yang agak tinggi dan ternyata merugikan pembeli.

Saya mewujudkan blog Cerita Tentang Buku adalah dengan beberapa tujuan. Pertama, saya ingin merakamkan sinopsis dan ulasan buku-buku yang telah saya baca. Mengulas buku adalah tidak asing bagi saya. Saya berjinak-jinak membuat ulasan buku sejak di bangku sekolah rendah lagi. Pihak sekolah mengadakan kempen membaca dan salah satu aktiviti yang dilaksanakan adalah dengan mewajibkan setiap pelajar membuat ulasan buku atau bahan bacaan dan guru-guru akan membuat semakan dan memilih pemenang bulanan.



Aktiviti yang sama juga dilaksanakan ketika saya bersekolah menengah. Buku juga tidak asing bagi saya. Selain daripada didikan mama dan bapa sedari kecil tentang kepentingan ilmu dan buku, saya juga dilantik sebagai pustakawan sekolah ketika dalam darjah lima hingga enam dan ketika saya dalam tingkatan empat dan lima.

Oleh kerana sekolah hanya membenarkan pelajar memegang satu jawatan (pustakawan atau pengawas) dalam satu-satu masa, saya terpaksa menolak tawaran untuk menjadi pengawas dan memilih untuk menjadi pustakawan. Menjadi pustakawan membuka ruang untuk saya lebih dekat dengan buku, mengetahui serba sedikit proses pengkatalogan dan bagaimana caranya buku disusun mengikut rak-rak tertentu. Memang sangat menyeronokkan dan masih terbayang lagi saat-saat saya dan rakan-rakan serta guru yang bertanggungjawab menghabiskan masa dalam perpustakaan sekiranya pihak sekolah menerima buku-buku baharu.



Kedua, saya ingin berkongsi pengalaman membaca saya dengan mereka yang juga minat membaca atau ingin mencari bahan bacaan atau buku yang sesuai untuk dibaca. Sekiranya kita menggunakan carian Internet (sebagai contoh Google) untuk mencari blog pengulas buku yang menggunakan pengantar bahasa Malaysia, kita akan berasa sedikit hampa kerana tidak banyak yang kita perolehi.

Saya membuat percubaan dengan mencari ‘blog pengulas buku’ dalam Google dan saya temui satu blog iaitu blog Ulas dan Kupas . Sayangnya, entri terkini blog ini bertarikh 02 Oktober 2007. Blog ini hanya mempunyai 21 entri yang mengulas 21 buku dan nampaknya seperti sudah tidak dikemaskini.



Saya teruskan carian dan kali ini saya mencari ‘blog ulas buku’ dan saya temui blog Ulas <0> Buku. Blog ini sentiasa dikemaskini dan entri terkini blog ini bertarikh 02 Jun 2009. Saya juga menemui blog Resensi Buku yang ditulis oleh seorang blogger warga Indonesia. Entri terkini blog ini bertarikh 06 Februari 2009.

Saya cuba pula dengan carian ‘blog ulat buku’ dan saya perolehi dua blog iaitu Ulat Buku yang entri terkininya tidak dinyatakan tarikh dan Ulat Buku in the City yang entri terkininya bertarikh 31 Mei 2009.

Saya tidak menemui sebarang blog khusus bila saya mencari ‘blog ulasan buku’ dan “blog pasal buku’. Mungkin membuat carian di Internet memerlukan kita lebih kreatif, maka saya cuba mencari ‘blog pasalbuku” (dengan tidak menjarakkan perkataan pasal dan buku) dan saya menemui blog Thinking of Book yang ditulis oleh seorang sahabat RAMFC.

Saya mencuba pula dengan mencari ‘blog tentang buku’ dan saya temui Buku Yang Kubaca dengan entri terkini bertarikh 01 Jun 2009 yang ditulis oleh seorang lagi blogger Indonesia. Penulis juga menyediakan pautan untuk ke blog pengulas buku warga Indonesia yang lain.

Saya juga agak kecewa kerana blog saya Cerita Tentang Buku tidak berada dalam senarai keputusan mana-mana carian saya. Sesuatu harus saya lakukan agar blog saya juga disenaraikan dalam carian ‘buku’.



Kembali kepada persoalan asal iaitu tip untuk mengulas buku pula, saya catatkan di sini beberapa panduan yang merupakan tabiat saya ketika membaca:

1. Saya sarankan agar semua pembaca bertanya kepada diri sendiri – “Apakah tujuan saya membaca buku ini?” setiap kali ingin memulakan pembacaan. Sentiasa ingat “Begin with the end in mind” (salah satu tabiat dalam “7 Habits of Highly Effective People”). Untuk itu, biasakan diri dengan membaca sinopsis buku terlebih dahulu yang biasanya dicetak pada bahagian kulit belakang buku.

2. Bacalah dari kulit ke kulit. Habiskan pembacaan anda termasuklah nota-nota kaki dan glosari yang disediakan oleh penulis. Ini penting untuk anda mengetahui sumber dan rujukan yang digunakan oleh penulis serta untuk tujuan kefahaman yang lebih walau pun buku yang anda baca sekadar novel fiksyen. Rujukan yang ada disertakan oleh penulis sebenarnya menunjukkan kesungguhan penulis untuk menghasilkan satu-satu karya dan bagi membuktikan apa yang beliau perkatakan adalah berasaskan fakta atau kajian dan bukanlah omong kosong.

3. Pastikan sekeping kertas kosong berukuran A4 yang dilipat (agar senang untuk diselitkan di dalam buku) atau buku catatan kecil dan sebatang pen atau pensel sentiasa berada di sisi anda ketika anda membaca. Ini bagi memudahkan anda membuat catatan sekiranya sepanjang pembacaan anda ada yang menarik perhatian anda dan untuk mencatatkan sebarang kesilapan yang ada seperti kesilapan ejaan atau susun atur ayat yang tergantung dan tidak lengkap. Anda juga boleh menandakan terus di dalam buku tersebut, sekiranya buku itu adalah milik anda. Kepada anda yang merasakan kesilapan ejaan dan susun atur ayat ini tidak penting, maka abaikan sahaja.

4. Hayati pembacaan dengan mengenal pasti watak dan perwatakan, plot cerita dan cuba rungkaikan maksud sebenar penulis menghasilkan karya tersebut. Saya pasti satu-satu karya yang dihasilkan dengan mempunyai objektif tertentu kerana penulisan bagi saya bukan sekadar gabungan huruf, perkataan atau ayat yang disusun indah tetapi juga sarat dengan mesej perjuangannya yang tersendiri. Maka sebagai pembaca kita harus lebih kreatif dan kritis untuk menghuraikan yang tersirat di sebalik yang tersurat. Tidak ada gunanya penulis menghabiskan banyak masa untuk menghasilkan satu-satu karya sekiranya pembaca tidak dapat memahami maksud yang hendak disampaikan.

5. Seusai membaca, saya percaya anda tidak akan menghadapi banyak masalah untuk membuat ulasan kerana apa yang anda ingin perkatakan sudah ada dalam catatan anda. Anda hanya perlu membuat penilaian sama ada penulisan tersebut menepati objektif anda atau pun tidak. Seterusnya, garap dan sampaikanlah ulasan anda dengan hati dan fikiran yang terbuka dan semestinya diolah dengan gaya bahasa yang baik dan menarik agar mudah difahami oleh semua yang membaca ulasan anda.

6. Jangan sekali-kali mengutuk dalam membuat ulasan. Elakkan menggunakan 'ulasan buku' sebagai lesen untuk anda melampiaskan rasa tidak puas hati terhadap apa yang anda baca. Gunakan kebijaksanaan anda untuk membuat teguran dan kritikan yang membina kerana tujuan anda membuat ulasan adalah untuk membuat penilaian terhadap penulisan yang anda baca sama ada menepati objektif pembacaan atau pun tidak. Sekiranya tidak, sarankan bagaimana penulis boleh memperbaiki penulisan beliau agar hala tuju penulisan tersebut dapat difahami dan menepati objektif pembacaan.

Sejujurnya, saya bukanlah seorang yang suka “masuk bakul, angkat sendiri” tetapi saya membuat catatan ini dengan tujuan ingin berkongsi dengan anda apa yang saya lakukan ketika membaca seterusnya bagaimana saya membuat ulasan terhadap apa yang saya baca.

Mungkin ada yang mengatakan “Kalau rasa diri itu pandai sangat, kenapa tak menghasilkan karya?”. Ketika ini, belum terlintas di hati saya untuk berkarya kerana untuk berkarya bagi saya, kita harus ada visi dan misi. Maksud saya, kita harus ada perjuangan dan perjuangan itu harus diterjemahkan dalam bentuk karya penulisan. Tambahan pula, saya bukanlah datang daripada aliran sastera.

Saya bukan memberikan alasan kerana penghasilan karya tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja tetapi yang pasti, pada masa kini saya tidak berminat dan belum bersedia serta saya lebih suka mengatakan “Biarlah saya menjadi pembaca yang kritis kerana siapalah penulis tanpa pembaca seperti saya.” :-)

Selamat membuat ulasan!

10 comments:

akimsensei said...

wah.. rasanya den pun perlu ada jugak la pen sebatang dan juga A4 sekeping time baca novel dari kulit ke kulit. selama ni, bila buat ulasan, just main belasah je kak linda weh.. hehe.. time nak buat ulasan, barulah nak belek2 novel tu balik. haha. btw, thanks for the posting.. mantap2..

Mangkuk.com said...

owh gitu caranya..tp sy x suka membaca la kak..apapun thanks sudi lawat blog sy...carik2 jgn x carik jwpnnnyer...

Linda Amri said...

salam to all,

akim - hehe, lepas ni kak nak tgk ulasan akim camne lak ada mantop ke idak. lg satu, sue onn ckp akim nih murah sgt ngan bintang2 yg bergemerlapan. hehe timbang2kan lah twinkle twinkle little star nak bg kat novel 2 ye (ni kak yg ckp). :-)

mangkuk.com - tak suka baca buku takpe, takdek sape nak paksa tp sy boleh awk tak suka baca buku sbb awk suka kat mangkuk je kan kan kan :-)

terima kasih krn bertandang :)

Ms Ulat Buku said...

Blog kurang aktif sekarang, sibuk sangat dengan urusan perkahwinan yang akan berlangsung pada Okt ini. Insyaallah, selepas Okt mungkin blog akan kembali aktif. :)

dugongsenyum said...

terima kasih untuk tip2 tu, menarik.

mxypltk said...

Hi Linda,

Salam perkenalan. Terima kasih berkunjung ke blog UlasBuku. Sibuk sangat ler ni, sampai tak sempat nak baca buku.

Itu pasal tak dapat nak update. Nak baca buku ni pun kena ada disiplin. 15 muka surat sehari kena paksa diri.

Pasal dalam Google tu, saya rasa Linda kena tunggu empat tahun, baru blog Linda akan establish dan dikenali oleh spider Google.

Mungkin kena tukar tajuk Blog atau apa..kena sebut buku dan ulasan.

Bye.

http://mini-legasi.blogspot.com said...

Erm nak tanya.. boleh ke dalam ulasan sesuatu buku itu.di sertakan sekali beberapa keping gambar dari buku tersebut.

Contoh seperti dalam blog saya.

Mohon pandangan. Terima Kasih

Linda Amri said...

mini-legasi : rajin awak ye, memang boleh sangat untuk menjadikan ulasan tu lebih menarik dan kefahaman yang lebih kepada pembaca. Blog yang baik, tahniah!

mini legasi said...

Erm sy komfius tentang hak cipta. x menjadi kesalahan ke jika gambar tu di kira mengulang siar cetakan?

Linda Amri said...

mini-legasi : hak cipta? hurmmm... saya pun kurang pasti tentang itu namun saya kira untuk tujuan ulasan buku tidak akan menjadi masalah.