
Perpustakaan Cawangan Papar
Adakah patut bercuti ke perpustakaan?
Siapa kata tak patut? Saya meletakkan tajuk entri "Percutian ke perpustakaan" atas dua sebab:
1. Untuk saya dan anak-anak pergi ke perpustakaan, kami kena bercuti. Kalau tak cuti masing-masing dengan tugas - saya bekerja dan anak-anak ke sekolah.
2. Dengan duduk di perpustakaan kita dapat melancong dan menjelajah satu dunia, dari satu negara ke negara yang lain bahkan menjelajah angkasa lepas dan masuk ke perut bumi.
Hish, ada pula macam tu, takkan dengan duduk di perpustakaan sahaja kita dapat melancong dan menjelajah sedemikian rupa?
Kenapa taknya, kalau tak percaya pergi lah ke perpustakaan dan bacalah satu set ensiklopedia. Kalau tak cukup satu set, cari lagi satu set yang lain.
Kuang kuang kuang....
Membawa anak-anak ke perpustakaan mengingatkan saya dengan kenangan saya mula-mula menjejakkan kaki ke perpustakaan. Seingat saya, umur saya masa itu pun lebih kurang umur anak sulung saya sekarang ini iaitu tujuh tahun.
Pada masa itu, Perpustakaan Cawangan Papar sangat kecil. Dibina menggunakan seratus peratus bahan binaan kayu dan bercat hijau. Perpustakaan ini berhampiran dengan rel keretapi Papar.
Lebih kurang sepuluh tahun lepas, perpustakaan ini telah dinaik taraf ke bangunan yang lebih besar dan cantik serta memberi keselesaan kepada pengunjungnya. Lokasinya sudah diubah untuk memberi ruang parkir kereta yang memadai.
Sebenarnya, sudah agak lama saya tidak menjejakkan kaki ke perpustakaan. Maklumlah, zaman menelaah buku dan mencari buku rujukan untuk menyiapkan projek sudah lama berlalu. Perpustakaan Sultanah Zanariah di UTM Skudai dan Perpustakaan Negara di KL itulah yang sering saya dan rakan-rakan kunjungi untuk mengadakan perbincangan dan seterusnya mencari bahan bacaan untuk menyiapkan projek.
Menjejakkan kaki ke Perpustakaan Cawangan Papar bersama anak-anak semalam, juga mengingatkan saya zaman persekolahan saya yang dipenuhi dengan seribu satu warna dan cerita tentang buku.
Saya melihat anak-anak saya begitu teruja sekali bila memasuki ruang legar dan semestinya kami kena mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli untuk melayakkan kami meminjam buku. Proses pendaftaran tidaklah terlalu lama. Saya mengisi tiga keping kad pendaftaran untuk kami bertiga. Selesai mengisi saya menyerahkan kad-kad tersebut berserta dokumen yang diperlukan dan wang pendaftaran sebanyak RM20 kepada petugas.
Seorang ahli boleh meminjam empat buah buku dan tempoh peminjaman adalah selama tiga minggu. Sementara menunggu kad disiapkan, kami pun memulakan misi percutian kami di perpustakaan.
Jom ikut kami!

Nana sedang memilih buku untuk dibaca

Arin dan Nana membaca dengan penuh minat



Antara buku yang menjadi tatapan
Selesai menjelajah ke sekyen kanak-kanak, saya membawa Arin dan Nana menjelajah ke seksyen dewasa pula.

Antara buku-buku yang ada

Buku Faisal Tehrani pun ada

Buku Lagukan Senandung Itu oleh Serunai Faqir yang kali terakhir dipinjam pada 14 April 2009

Buku-buku Stephen King di bahagian bacaan bahasa Inggeris
Kami mengakhiri percutian kami di Perpustakaan Cawangan Papar dengan memilih buku-buku untuk dipinjam dan dibawa balik. Tarikh pemulangan buku adalah pada 02 Jul nanti.
Pada sebelah malam pula, untuk mengisi masa lapang, saya mengambil gambar anak-anak dengan gaya yang pelbagai. Tengoklah Arin dan Nana yang pantang nampak lensa kamera menghala kepada mereka.


Menggunakan 'solarization'


Menggunakan 'negative'

Keras tangan yang dihasilkan oleh Nana. Katanya "Surprise untuk abah"
Hari ini adalah hari terakhir pakej percutian 3 hari 2 malam kami. Kami memilih untuk berehat sahaja sambil membuat housekeeping.
Selamat bercuti kepada yang bercuti!
Nota:
Gambar Perpustakaan Cawangan Papar saya ambil dari laman web Perpustakaan Negeri Sabah. Terima kasih.







0 comments:
Post a Comment