Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Thursday, June 11, 2009

Pembangunan atau pembaziran?

Hari ini saya dan suami membawa anak-anak bercuti di KK. Untuk sampai ke destinasi, memerlukan kami melalui perjalanan selama lebih kurang satu jam dari Papar.

Kesempatan ini saya ambil untuk mengambil beberapa gambar projek yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Sudah lama saya ingin membuat catatan berkenaan perkara ini tetapi terbantut sebab saya belum berjaya untuk mendapatkan gambar-gambar yang saya maksudkan. Syukur alhamdulillah, hari ini saya dapat merakamkan sendiri gambar-gambar tersebut.

Setiap kali melalui jalan ini untuk pergi dan balik ke tempat kerja, saya berfikir panjang melihatkan projek-projek ini yang pendapat saya dilaksanakan atas nama pembangunan tetapi sebaliknya berlaku pembaziran. Apa yang membuatkan saya berfikir panjang adalah seingat saya setelah projek ini siap, ia tidak digunakan dan dimanfaatkan oleh masyarakat setempat. Mengapa? Saya kurang pasti tetapi dengan melihat akan struktur binaan dan lokasi ia dibangunkan, saya dapat menelah apakah sebabnya.



Projek yang dikhabarkan sejumlah RM200, 000 ini hanya berlantaikan simen, beratapkan zink dan hanya berdinding pada satu bahagian sahaja iaitu pada bahagian pentas yang kecil yang lantainya sudah retak. Dewan sebaguna ini belum pernah digunakan lagi.



Deretan gerai yang dibina untuk menempatkan gerai buah-buahan ini pun tidak pernah digunakan sejak ia disiapkan. Saya berpendapat, kemungkinan para peniaga kurang berminat memandangkan saiz gerai terlalu kecil dan lokasinya yang kurang sesuai kerana tidak ada disediakan ruang meletak kereta untuk pembeli.



Begini jugalah dengan nasib sederet gerai ini yang pembinaannya seperti melepaskan batuk ditangga. Ia dilaksanakan tanpa mengambil kira faktor banjir. Gerai-gerai ini juga tidak pernah digunakan. Selain daripada sebab-sebab yang sama seperti gerai-gerai dalam gambar di atas, gerai yang ini akan dipenuhi dengan air apabila hujan lebat.



Pondok tempat berehat ini lokasinya agak terpencil dan berhampiran dengan semak-samun. Saya tidak pasti kenapa projek ini diluluskan perlaksanaannya kerana pada pemerhatian saya, lokasi pondok rehat ini kurang menyenangkan dan mengundang gejala kurang sihat berlaku.



Pentas ini juga tidak pernah digunakan setelah pelancarannya. Lihat kerosakan yang telah berlaku. Inikah yang dinamakan pembangunan? Atau ia hanya satu 'wayang' bagi mengaburi mata rakyat.



Ini pula adalah tempat makan yang dibangunkan yang pada pendapat saya bertujuan untuk memudahkan mereka yang membuat perjalanan jauh berehat sambil menikmati hidangan makan dan minum. Namun, apa yang menyedihkan adalah tidak semua gerai yang ada dipenuhi oleh para peniaga. Sebabnya? Lokasi ini kurang mendapat sambutan dan mungkin juga pelan binaannya yang berbentuk bulat (konsep tertutup) seakan-akan para pengunjung melihat belakang dapur dari jalan raya sekaligus kurang menarik perhatian pengunjung.



Lihatlah pondok tempat berehat ini. Melihat pada saiznya sahaja, saya sudah tergelak kerana hanya boleh memuatkan satu orang yang dalam keadaan berdiri sahaja. Macam mana kalau hari hujan?

Hairan tetapi itulah kenyataan. Cuba lihat di sekeliling anda. Perhatikan dengan hati dan bukannya dengan mata semata-mata. Adakah anda dapat melihat satu pembaziran dalam satu pembangunan atas alasan membantu dan memenuhi kehendak rakyat? Siapakah di sebalik kesemua projek ini? Siapakah yang mendapat keuntungan? Siapakah yang harus dipersalahkan atas pembaziran ini?

Ini belum lagi mengambil kira projek-projek gergasi yang menelan belanja puluhan malahan ratusan juta ringgit yang berakhir dengan malapetaka disebabkan sikap segolongan pihak yang cuba meraih keuntungan demi mencari kekayaan dengan cara yang tidak sepatutnya.

Pekara sebegini harus kita fikirkan bersama. Apatah lagi anda yang seperti saya yang membayar cukai. Mampukah kita untuk hanya berdiam diri dan melihat kita diperkotak-katikkan?

Saya tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi saya sangat kuat inginkan satu pemerintahan sebuah negara Islam yang betul-betul Islam dan bukannya pemerintahan yang bercampur-aduk, sehinggakan kita menjadi keliru.

Mampu untuk melihat tetapi buta. Mampu untuk mendengar tetapi pekak. Mampu untuk berkata-kata tetapi bisu. Memang menyedihkan dan menyakitkan.

Fikir-fikirkanlah!

0 comments: