Pada hari Ahad lalu iaitu pada 31 Mei 2009, saya dan suami membawa anak-anak ke Rumah Besar Kinarut untuk mengotakan janji untuk membawa mereka ke sana.
Sejak Rumah Besar Kinarut ini digazetkan di bawah penjagaan pihak Muzium Negeri Sabah, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini meski pun ia terletak dalam laluan saya untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Kami sekeluarga begitu teruja sekali ingin melihat Rumah Besar Kinarut ini.
Namun apa yang menyedihkan, ketibaan kami empat beranak disambut dengan keadaan yang begitu mengecewakan sekali. Sedih hati saya melihat pondok pengawal dan pintu pagar yang seperti hidup segan mati tak mahu.
Papan yang mencatatkan serba sedikit perihal Rumah Besar Kinarut ini juga kelihatan sudah pudar dan tidak dapat dibaca. Pondok yang ada di lokasi yang saya percaya sepatutnya menempatkan para petugas keselamatan agak kusam dan tidak berpenghuni. Pada bahagian luar pondok ini ada dilekatkan keratan berwarna hitam putih berkenaan Rumah Besar Kinarut yang hanya dilekatkan menggunakan pita pelekat berwarna coklat.
Sejujurnya, keadaan ini memang menghampakan. Timbul pula rasa kecewa di hati saya kerana saya telah mewar-warkan dalam entri saya sebelum ini bahawa salah satu tarikan pelancong di daerah Papar adalah Rumah Besar Kinarut dan ternyata sudah hilang daya tarikannya.
Pada pendapat saya, pihak muzium haruslah mengambil langkah drastik bagi memulihara peninggalan sejarah ini walau pun hanya tinggal runtuhannya sahaja. Saya percaya, sekiranya dibaik pulih dengan menyediakan prasarana yang selesa seperti pondok tempat berehat, tandas awam, surau dan gerai makan dan minum, lokasi ini mampu untuk menarik pengunjung apatah lagi lokasinya adalah di pertengahan perjalanan dari Brunei ke Kota Kinabalu sekiranya melalui jalan darat. Saya pasti lokasi ini akan menjadi tempat persinggahan yang popular.
Antara institusi yang berhampiran dengan lokasi Rumah Besar Kinarut ini adalah Pusat Latihan Koperasi (PULAKOP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu, Sekolah Menengah Agama Tun Mustapha dan Pusat Latihan Polis Tentera.
Sebagai tanda kenangan dan sebagai bukti kami ada menjejakkan kaki ke sini, saya sempat juga mengambil beberapa gambar.

Pondok pengawal dan pintu pagar yang hidup segan mati tak mahu

Catatan berkenaan Rumah Besar Kinarut yang pudar dan sukar untuk dibaca

Tangga yang pagarnya sudah reput dan ada yang sudah patah

Anak tangga perlu dibina bagi memudahkan pengunjung naik ke tingkat atas

Bunga rotan yang ada di sini



Gambar-gambar runtuhan Rumah Besar Kinarut dari pelbagai sudut

Sedikit catatan sejarah Rumah Besar Kinarut dalam versi hitam putih

Abah mencatatkan sesuatu dalam buku pelawat
"Lepas ni, kita ke mana pula ummi?", tanya Arin dan Nana.
"Hah, lepas ni, kita pergi makan lah", saya menjawab.
Selepas itu, kami singgah untuk makan tengahari di Beringgis Seafood Restaurant dan mengambil udara segar dan menyejukkan mata serta melapangkan fikiran dengan singgah sebentar di Pantai Beringgis yang cukup menarik untuk dijadikan lokasi perkelahan hujung minggu.

Beringgis Seafood Restaurant yang dibina menggunakan bahan binaan berasaskan kayu dan beratapkan daun nipah



Hilang sedikit ketegangan apabila merasakan air laut yang berombak kecil menyentuh kaki

Beringgis Beach Resort yang berlatar belakangkan Pantai Beringgis
"Lepas ni, kita ke mana pula, abah?", tanya Arin dan Nana.
"Kita baliklah", kata abah.

Eh! anak biawak ni macam tak bagi kita baliklah! Hehe...
Selesai sudah kunjungan yang menghampakan ke Rumah Besar Kinarut. Nasib baik ada pantai, kalau tidak, lagi menghampakan. :-)
Misi selepas ini apa pula? Hah, misi selepas ini ke pulau kot! InsyaAllah...







0 comments:
Post a Comment