Saya suka membawa anda kembali menoleh ke belakang sedikit dan berbicara tentang filem tempatan Geng : Pengembaraan Bermula yang dibintangi oleh watak utamanya Upin dan Ipin yang dikatakan merupakan satu fenomena kepada industri perfileman tanah air.
Rencana "Fenomena Upin dan Ipin" tulisan Mohammad Mahdi Abas yang dipaparkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2009 membicarakan secara terperinci tentang filem Geng : Pengembaraan Bermula ini. Saya paparkan di sini antara yang terkandung dalam rencana tersebut untuk dikongsikan bersama anda.
1. Filem animasi buatan tempatan jarang mendapat sambutan daripada peminat. Sehingga kini hanya lima buah filem animasi tempatan yang dihasilkan.
Bermula dengan Hassan Mutalib yang menghasilkan Silat Lagenda pada tahun 1998, diikuti dengan Puteh (2001), kemudian dua buah animasi berbahasa Inggeris iaitu Simply Irresistible dan Last But Not Least pada 2007, sehinggalah Budak Lapok (2007), kesemua filem ini dikatakan gagal mendapat sambutan.
2. Filem animasi terbaharu, Geng : Pengembaraan Bermula (selepas ini disebut Geng) yang mula ditayangkan pada 12 Februari yang lalu mencipta fenomena tersendiri. Tidak ada pihak yang menjangkakan bahawa filem ini mendapat sambutan yang hebat.
Seawal minggu pertama tayangan, Geng sudah mengaut RM1.75 juta jumlah kutipan tiket. Dengan jumlah ini, Geng mengatasi kutipan filem "pecah panggung" (blockbuster) Hollywood seperti Valkyrie, The Curious Case of Benjamin Button, dan Slumdog Millionaire yang ditayangkan serentak ketika itu. Tambah menghairankan, filem animasi ini ditayangkan diluar musim cuti persekolahan.
3. Penonton terpaksa membuat tempahan tiket terlebih dahulu terutama pada hujung minggu kerana ada yang terpaksa pulang dengan perasaan hampa kerana kehabisan tiket walaupun filem ini ditayangkan sebanyak tujuh kali sehari.
Senario sebegini tidak pernah berlaku kepada mana-mana filem animasi tempatan yang ditayangkan sebelum ini kecuali beberapa filem cereka yang lain. Sehingga masuk minggu keempat tayangan, filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik tiga dimensi (3D) ini mencatatkan jumlah kutipan mencecah lebih RM5 juta.
4. Geng merupakan filem sulung syarikat Les' Copaque Production. Diarahkan oleh pengarah muda Mohd. Nizam Abdul Razak, graduan Universiti Multimedia Malaysia.
5. Kos bagi menghasilkan filem ini adalah sekitar RM4.2 juta - angka ini sebenarnya kecil dalam pembikinan sesebuah filem animasi. Namun, kualiti filem ini membanggakan terutama dari segi kualiti 3D yang boleh dianggap setanding dengan filem animasi antarabangsa.
6. Salah satu ciri yang tidak ada pada pada filem yang lain yang mampu mejadikan Geng satu filem fenomena ialah Geng terlebih dahulu membina kelompok peminat tersendiri melalui siri televisyen. Beberapa watak dalam Geng sangat popular dalam kalangan kanak-kanak menerusi siri Upin & Ipin, seterusnya Upin & Ipin : Setahun Kemudian yang ditayangkan sepanjang Ramadan dan Syawal di TV9.
Siri Upin & Ipin ini sesuai ditontoni oleh golongan kanak-kanak kerana ia mempunyai mesej yang baik dan faktor mendidik. Maka tidak hairanlah apabla difilemkan, berduyun-duyun ibu bapa membawa anak-anak mereka ke panggung. Kehadiran penonton bersama ahli keluarga inilah yang meningkatkan lagi jumlah kutipan tiket filem ini.
7. Geng turut menjual pelbagai cenderamata dan aksesori seperti baju, beg, topi, alat mainan, bekas alat tulis, fail plastik, lencana, pen, buku nota, dan penanda buku.
8. Produksi filem ini juga mempunyai laman web dan menubuhkan kelab peminat sendiri bagi memudahkan interaksi.
9. Turut dijual oleh produksi filem ini ialah kesan bunyi, nada bunyi, dan gambar untuk kegunaan telefon bimbit.
Kesemua ini jarang-jarang dilaksanakan oleh pengusaha filem tempatan walaupun mengetahui strategi ini sering dilakukan oleh indsutri filem luar negara. Geng menunjukkan kemajuan dari segi strategi promosi filem.
Apa kata saya?
Saya sudah menonton Geng bersama anak-anak dan suami. Sejujurnya, saya katakan Geng adalah filem animasi pertama keluaran tempatan yang mampu bersaing dengan filem animasi antarabangsa.
Cuma terdapat beberapa perkara (dari segi pembikinan) yang perlu diperhalusi. Pertama, ketika babak Badrol dan Lim menaiki motor - rambut mereka sepatutnya beralun kerana ditiup angin. Kedua, babak ketika seekor ayam mengais tanah - sepatutnya ada kesan cakaran di atas tanah di samping kesan debu/habuk yang berterbangan.
Syabas kepada Les' Copaque!










0 comments:
Post a Comment