Maher Zain Live in Kuching Slideshow: Linda’s trip from Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia to Kuching was created by TripAdvisor. See another Kuching slideshow. Take your travel photos and make a slideshow for free.

Wednesday, May 27, 2009

Selamat datang ke Sabah Negeri di Bawah Bayu

Sempena cuti persekolahan selama dua minggu yang tidak lama lagi akan menjelang, apa kata anda berkunjung ke Sabah Negeri di Bawah Bayu.

Apa yang seronok sangat dengan Sabah? Saya pun tidak pasti apa yang menyeronokkan di Sabah ini. Tapi apa yang pasti, kalau ada rakan-rakan dari luar Sabah berkunjung ke mari, mereka mesti hendak datang lagi. Semestinya, manusia dijadikan berbeza-beza maka dengan itu lain orang lain pula kesukaannya terhadap Sabah.

Kepada anda yang ingin tahu apa yang ada di Sabah, entri kali ini adalah untuk anda.

Kota Kinabalu (KK) – Papar – Tuaran

Kepada anda yang baru berkenalan dengan Sabah, ada baiknya anda mulakan dengan kunjungan ke bandar KK dan sekitarnya terlebih dahulu. Sebabnya, di sinilah pusat segala-galanya. Bandar Kota Kinabalu yang dikenali sebagai bandar di dalam rimba ini begitu terkenal dengan perhiasan wanita dan juga makanan lautnya yang murah.

Perhiasan wanita?

Perhiasan wanita yang saya maksudkan adalah seperti gelang, rantai, kerongsang, cincin, anting-anting, loket dan seumpama dengannya yang berasaskan mutiara dan batu kristal.

Untuk mendapatkan perhiasan ini dengan harga yang berpatutan, anda boleh dapatkan di Pasar Keraftangan yang berdekatan dengan Hotel Promenade dan Hotel Le Meridien Kota Kinabalu serta di Jamilah Jewellery di Sinsuran Kota Kinabalu.

Makanan Laut?

Kalau anda inginkan yang segar, anda boleh dapatkan bekalan mentah makanan laut seperti ikan, udang dan ketam di pasar SAFMA yang beroperasi seawal jam 2.00 pagi setiap hari. Kalau anda ingin membawa bekalan untuk dibawa balik, anda bolehlah minta makanan laut belian anda itu dibungkus di dalam kotak bersama ais supaya ia tahan lama. Sekiranya anda malas hendak pergi ke pasar atau kesuntukan masa, anda bolehlah mendapatkan bekalan di kedai sejuk beku J.K.L berhampiran stesen keretapi Tanjung Aru atau di lapangan terbang tetapi seperti biasa, harganya ada sedikit mahal berbanding dengan di pasar.

Kepada anda yang ingin menikmati sendiri makanan laut di KK, saya sarankan anda pergi ke Salut Seafood Restaurant di Tuaran. Untuk mencari restoran makanan laut yang mempunyai logo halal di KK memang susah atau tidak ada langsung (kalau ada pun, status halal sudah ditarik balik) tetapi jangan risau sebab tukang-tukang masak dan para pekerja di sini adalah orang Islam dan penduduk kampung sekitar Tuaran. Dan semasa tempahan minuman dibuat (selain jus), minta para pekerja gunakan cawan plastik sahaja.

Jangan lupa untuk singgah menikmati puding kelapa, air kelapa muda, kelapa bakar atau lokan di gerai yang ada berhampiran dengan Salut Seafood Restaurant.

Asyik makan saja, tidak ada tempat lain kah yang menarik?

Apa lagi yang menarik? Semestinya tempat-tempat rekreasi yang perlu anda kunjungi bersama keluarga. Selain daripada Muzium Negeri Sabah, Lok Kawi Wildlife Park dan Taman Buaya di Tuaran patut anda kunjungi. Dua tempat ini pasti memberi keseronokan kepada anak-anak anda.

Kepada anda yang suka memancing dan ingin mencuba tuah memancing di KK, anda bolehlah berkunjung ke Jesselton Point dengan yuran masuk RM10.00 seorang. Sekiranya anda berjaya mendaratkan hasil pancing, anda boleh meminta tangkapan anda itu terus dimasak di gerai makanan yang ada di situ yang beroperasi sehingga jam 1.00 pagi. Selain tempat memancing, Jesselton Point juga terkenal dengan Suria Futsal.

Muzium? Apa yang menarik dengan muzium tu? Tempat lain ada muzium juga.

Di muzium ini ada dipamerkan rangka ikan paus jenis Bryde yang terdampar berhampiran Pulau Gaya pada tahun 2006 yang lalu. Selebihnya, macam biasalah, anda bolehlah mengetahui serba sedikit latar belakang Sabah dan suku kaum yang mendiami Sabah sejak dahulu hinggalah sekarang.

Muzium Tamadun Islam juga ada di sini. Anak-anak saya agak takut untuk mengunjungi muzium ini mungkin sebab ada dipaparkan gambar-gambar yang berkaitan dengan amalan ajaran sesat barangkali.

Di Kinarut pula ada Rumah Besar Kinarut yang telah dijumpai oleh penduduk tempatan pada tahun 1994. Klik di sini untuk sedikit maklumat mengenai Rumah Besar Kinarut.


Antara gambar di Rumah Besar Kinarut


Hotel macam mana pula?

Terdapat banyak hotel di KK daripada yang tidak ada bintang seperti ‘backpackers’ sehinggalah yang bertaraf lima bintang. Kepada anda yang inginkan lokasi yang terbaik, senang untuk anda mencari makan dan untuk ‘shopping’ semestinya Hotel Promenade, Hotel de Leton, Hotel Hyatt Regency adalah pilihan yang terbaik. Selain itu, Hotel Le Meridien, Sutera Harbour Resort dan Shangri-La Tanjung Aru Resort yang bertaraf lima bintang juga menjadi pilihan anda yang berkemampuan.

Kepada anda yang berkunjung bersama keluarga atau berkumpulan, ada baiknya anda menginap di Promenade Hotel Apartment atau di Marina Court Resort Condominium atau di The Collonades Condominium. Klik di sini untuk maklumat lanjut.

Saya selalu juga membawa anak-anak saya bercuti di KK walau pun kami tinggal di Papar hanya dalam satu jam perjalanan dari KK. Kami lebih selesa menginap di Hotel Megah D’ Aru di Tanjung Aru. Selain lokasi yang strategik untuk mencari makan dan hampir dengan pantai, harga untuk ‘Family Room’ juga berpatutan iaitu RM138.00 untuk satu malam dengan sarapan untuk dua orang.

Sekiranya anda ingin menginap di Papar, di sana ada Beringgis Beach Resort dan Borneo Paradise Resort. Klik di sini untuk tempat penginapan lain di Papar.

Jangan lupa untuk membeli belacan dan kuih cincin yang merupakan ‘trademark’ daerah Papar. Dengar kata, pelakon Ezany pun mendapatkan bekalan belacan jualannya dari sini.


Belacan Papar


Kuih cincin Papar

Sekiranya anda merancang untuk ke Tuaran pula, di sana ada Nexus Karambunai Resort, Shangri-La Rasa Ria Resort dan Mimpian Jadi Resort yang sesuai untuk anda sekeluarga. Klik di sini untuk tempat penginapan lain di Tuaran.

Klik untuk lebih maklumat mengenai KK, Papar dan Tuaran.

Daerah yang berhampiran dengan KK ialah Penampang yang terkenal dengan Monsopiad Cultural Village dan daerah kecil dalam kawasan Penampang ialah Putatan yang pada masa kini sedang pesat membangun dan Lok Kawi , tempat letaknya Kem Tentera Lok Kawi.

Daerah Penampang yang kebanyakan masyarakat tempatannya terdiri daripada suku kaum Kadazan Dusun amat sinonim dengan makanan tradisi mereka hinava (jeruk atau kerabu ikan) dan tuhau. Di Sarawak hinava dikenali sebagai umai.


Hinava


Tuhau

Daerah-daerah kecil yang berhampiran dengan Papar pula adalah Membakut, Sipitang, Beaufort dan Kuala Penyu. Membakut terkenal dengan ladang buah naga manakala Sipitang pula sinonim dengan durian dan musim buah.

Beaufort pula terkenal dengan limau manis dan makanan masyarakat tempatan 'ambuyat' iaitu sagu yang dimasak dengan air panas menjadi seperti kanji dan dimakan bersama cecah air rebusan ikan yang dimasak bersama kunyit dan diperahkan asam limau atau dimasukkan jeruk bambangan dan dipenyekkan cili padi. Ambuyat juga sangat sedap dinikmati bersama ulaman dan sambal belacan. Selain menggunakan cecah air rebusan ikan, cecah ambuyat juga boleh dibuat berasaskan udang kering atau dicampurkan tomato mengikut citarasa masing-masing. Anak-anak saya cukup suka makan ambuyat sebab kata mereka "Telan saja ummie, tak payah kunyah".



Hidangan ambuyat


Apa jeruk buah bambangan tu?

Jeruk bambangan adalah salah satu makanan tradisi di negeri Sabah dibuat dengan cara memeram hirisan buah bambangan yang telah disalut dengan campuran bijinya yang telah diparut halus bersama garam dan disimpan di dalam bekas kedap udara selama lebih kurang seminggu. Jeruk ini boleh tahan sehingga 3 bulan lamanya. Buah bambangan kaya dengan serat dan rasanya masam-masam manis.


Jeruk bambangan


Kepada yang sukakan pulau macam mana pula?

Untuk anda yang memilih untuk bercuti ke pulau sekitar KK, anda bolehlah berkunjung ke Pulau Manukan, Pulau Mamutik atau Pulau Gaya yang sangat hampir dengan Bandar KK kerana hanya memerlukan masa perjalanan menggunakan bot 15 hingga 25 minit. Selain itu, terdapat juga Pulau Dinawan di Kinarut, Papar. Untuk anda yang sukakan cabaran berkunjunglah ke Pulau Tiga yang mana telah dijadikan salah satu lokasi pengambaran rancangan televisyen Survivor.

Saya rasa dah habis mencoretkan berkenaan KK-Papar-Tuaran. Sekarang, saya catatkan pula beberapa lokasi menarik yang lain yang anda patut kunjungi ketika berada di Sabah.


Tenom

Saya sudah agak lama tidak berkunjung ke Tenom. Kali terakhir saya pergi ke sana adalah pada tahun 1987 ketika saya dalam darjah enam. Saya bersama nenek menziarahi makcik saya Isah.

Tidak banyak yang menarik di Tenom, cuma Taman Pertanian Lagud Seberang, Taman Orkid dan Pusat Kebudayaan Murut Sabah. Klik di sini untuk penerangan mengenai ketiga-tiga daya penarik Tenom ini.

Sebelum meninggalkan Tenom pastikan anda membeli kopi Tenom yang asli kerana kopi Tenom terkenal dengan keharuman dan keaslian kopi keluarannya.

Bandar-bandar yang berhampiran dengan tenom adalah Keningau dan Tambunan.


Kudat

Antara yang menarik tentang kudat adalah Tanjung Sempang Mengayau (The Tip of Borneo) dan makanan lautnya yang jauh lebih murah berbanding dengan harga di KK. Klik di sini untuk sedikit penerangan mengenai Kudat.

Bandar yang berhampiran dengan Kudat adalah Kota Belud yang majoriti penduduknya adalah suku kaum Bajau dan terkenal dengan Tamu Kota Belud.

Salah satu makanan tradisi masyarakat Bajau adalah kuih penjaram. Masyarakat Bajau juga sinonim dengan peralatan muzik kulintangan yang dimainkan bersama alat muzik lain seperti gong.


Kuih penjaram



Kulintangan



Tanjung Sempang Mengayau



Tamu Kota Belud


Tawau dan Semporna

Daya penarik dua tempat ini adalah Pulau Sipadan. Selain itu, Tawau juga terkenal dengan peralatan dapur dan biji gajus yang murah. Klik untuk sedikit pengetahuan berkenaan Tawau dan Semporna.

Kepada peminat seni pelayaran dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang kebudayaan masyarakat Pantai Timur Sabah, kunjungilah Semporna ketika acara tahunan Semporna Regatta Lepa dilangsungkan.

Bandar yang berhampiran dengan Tawau dan Semporna adalah Lahad Datu yang terkenal dengan Felda Sahabat. Kepada anda yang ingin berkunjung ke sana bolehlah menginap di Sahabat Beach Resort.


Resort di Pulau Sipadan


Sandakan

Antara daya penarik Sandakan adalah Taman Orang Utan Sepilok, Pulau Taman Penyu, Sungai Kinabatangan dan Gua Gomantong. Pastikan anda membeli buah salak untuk dibawa balik sebelum meninggalkan Sandakan.

Klik di sini untuk mengetahui lebih lanjut tentang Sandakan.


Kundasang dan Ranau

Kundasang dan Ranau terkenal kerana tarikan Gunung Kinabalu. Kepada anda yang tidak berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu, lapangkan masa anda untuk mengambil gambar di Taman Negara Kinabalu dan Tugu Peringatan Perang. Namun, kepada anda yang punya banyak masa, menginaplah di Mesilau Nature Resort atau di Kinabalu Park Lodge.

Di sini juga ada Kolam Air Panas Poring dan sekiranya anda berhajat untuk melarikan diri daripada kesibukan dan inginkan ketenangan sebentar, berkunjunglah ke Sabah Tea Plantation. Anda pasti merasakan kelainannya.

Terdapat banyak hotel dan tempat penginapan di sekitar Kundasang ini. Sri Intan Resort milik TM dan Hotel Perkasa antara yang menjadi pilihan mereka yang berkunjung ke sini. Berdekatan dengan dua tempat penginapan ini adalah Kem Bina Negara Kundasang.

Selain daerah Sipitang, Ranau dan Kundasang juga amat sinonim dengan durian dan musim buah.
Sekiranya anda hendak meninggalkan Kundasang dan Ranau, jangan lupa untuk membeli sayuran segar di gerai sayur yang ada di tepi jalan. Selain daripada sayur, pastikan juga anda membeli dan merasa buah mentega dan kerepek bayam.


Wilayah Persekutuan Labuan

Untuk maklumat berkenaan Labuan pula, sila klik di sini dan di sini.


Sudah habiskah Linda?

Ada sedikit sahaja lagi. Kepada mereka yang sukakan percutian yang penuh dengan ‘adventure’ bolehlah berkunjung ke Lembah Danum dan Maliau Basin. Untuk penginapan di Lembah Danum klik di sini manakala untuk Maliau Basin pula sila klik di sini.


Lembah Danum


Maliau Basin

Satu lagi tarikan pelancong di Sabah adalah sayap ayam panggang yang dimakan bersama dengan sambal kicap dan murtabak jawanya. Jangan lepaskan peluang untuk menikmati dua hidangan ini semasa anda berada di Sabah.

Sebelum meninggalkan Sabah, pastikan anda membeli ikan keropok di pasar ikan masin KK atau buah avocado dengan harga sekitar RM5.00 sekilo di pasar buah KK untuk dibawa balik.

Rasanya itu sahaja yang boleh saya kongsikan bersama anda. Kalau ada yang tertinggal, saya akan tambahkan maklumat dari masa ke semasa. Semestinya negeri tempat lahir saya ini kaya dengan budaya dan adat resam yang tidak dapat saya rungkaikan semuanya di sini.

Untuk maklumat tambahan mengenai Sabah, sila klik di sini.

Selamat berkunjung ke Sabah Negeri di Bawah Bayu!



Nota :
1. Gambar-gambar dalam catatan ini saya perolehi daripada pelbagai sumber melalui carian dalam Internet. Terima kasih.

2. Catatan telah dikemaskini pada 28.05.2009 dengan tambahan maklumat tentang Monsopiad, kopi Tenom, sayap ayam panggang dan murtabak jawa. - Terima kasih kepada Sue Onn .

3. Maklumat tentang Semporna Regatta Lepa, Jesselton Point, Membakut, Beaufort, Sipitang, Kuala Penyu, Putatan dan Lok Kawi juga turut ditambahkan pada 28.05.2009.

4. Catatan telah dikemaskini pada 29.05.2009 dengan tambahan maklumat tentang ambuyat, jeruk bambangan, hinava, tuhau, kuih penjaram, kulintangan, ikan keropok dan buah avocado.

5. Kepada anda yang ingin bertanyakan maklumat lain selain daripada yang saya catatkan di sini, sila berhubung terus dengan saya melalui email lindaamri@yahoo.com . Saya akan cuba membantu setakat yang mampu. :-)

8 comments:

illaieylla said...

nak kuih cincin
akan ku terjah gak ke sabah nnt
yuhuuuuuuuuuuuu

Linda Amri said...

illa,
bagus, bagus, bagus, terjahlah kuih cincin jgn terjah aku, sbb klu terjah aku takdek pekdahnya miahahahaha ;-)

Abang Long said...

Maklumat dihujung jari anda. Tidak perlu google lagi. Memang ada keinginan untuk kesana, tetapi belum ada rezeki lagi. Mohon untuk mendapatkan alamat emel. TERIMA KASIH

sue onn said...

keluar dah entri promote negeri nie. Kak linda lupa monsopiad ke?http://www.monsopiad.com

apa best kat Tenom?..jangan lupa beli kopi Tenom yer..

Satu lagi yg best kat sana jgn lupa mkn sayap ayam dan murtabak jawa..masyukkk

aramaiteee

Linda Amri said...

Abang Long,
Email saya lindaamri@yahoo.com, jom lah ke Sabah!

Sue Onn,
Klu bkn akuyg promote Sabah, siapa lagi? Nanti org cakap aku nih bukan org Sabah, hehe

Aku dah masukkan info pasal Monsopiad, sayap ayam panggang, murtabak jawa dan kopi Tenom. Bila lagi mau ke Sabah? Mau yang adventure? Jom pegi Lembah Danum
:-)

zharif said...

salam kak..saya bercadang nak ke sabah awal dis. nnt....dan akan menginap d nexus, karambunai....kalau di tak keberatan boleh tak akak bagi taw mane2 restoran yg halal berhampiran dgn hotel tu...tq :)

so, just call me ombak said...

salam, tumpang tanya,
restaurant salut seafood tu halal ke ye? :)

Linda Amri said...

wsalam warahmatullah saudara ombak,
salut restaurant tidak ada sijil halal setakat ini tapi tukang masaknya adalah orang tempatan & muslim. begitu juga dgn para pekerjanya. kalau rasa was-was, baik tinggalkan :)

try search halal sabah utk senarai seafood yang mmg ada sijil halal

terima kasih krn berkunjung ke blog ini ;)