Saturday, April 25, 2009

Ceritera Si Pendengki Yang Gila

Alkisah, di sebuah kota di Semenanjung Mawangsa yang tidak jelas akan namanya. Ada yang memanggilnya Kota Lumpur kerana asalnya kota itu tanahnya lumpur yang sudahnya menjadi kering dan keras. Tak kurang juga yang menamakannya Kota Libur kerana kota ini tempat untuk anak-anak muda bersuka-ria. Namun mungkin yang cocok namanya adalah Kota Lempoyang kerana orang yang mula-mula membuka kota itu namanya Khussin Lempoyang.

Ada pun di Kota Lempoyang itu khabarnya ada diadakan satu keramaian semacam pesta. Maka berbondong-bondonglah sekalian jelata menghurung tapak pesta itu yang diberitakan paling hebat seantero benua. Kesukaan amatlah jelata itu kerana pesta itu adalah pesta yang ditunggu-tunggu. Bak pucuk dicita ulam mendatang, banyaklah beli-belian sekalian jelata sampai yang ada senget bahu sebelah namun sakitnya ditahan saja dek kerana kegirangan menjenguk pesta itu.

Kisahnya pesta itu dinamakan “Pesta Kutubun Kalamun” yang membawa seribu satu kitab yang molek-molek belaka untuk dibuat mengaji. Tambah kesukaan lagi sekalian jelata bila bersua muka dengan guru ilmuwan penulis kitab-kitab yang tidak lokek ilmu dan tidak sombong malah bertukar bicara dengan jelata.




Arakian, khabar berita kehebatan dan keriangan “Pesta Kutubun Kalamun” itu dapat didengari oleh sekalian jelata di seberang samudera tidak terkecuali yang seorang ulat kitab ini yang menggelar dirinya Si Pendengki. Adapun dia menggelar dirinya Si Pendengki kerana kerjanya mencari dan mengkaji kitab-kitab yang orang lain suka. Setiap apa yang orang lain ada dia juga kena ada.

Semangat Si Pendengki untuk ke “Pesta Kutubun Kalamun” itu sangatlah berkobar-kobar tapi malangnya tiadalah upaya Si Pendengki untuk berdayung dan berkayuh sejauh dan seluas samudera terbentang. Sudahnya Si Pendengki mencari usaha ikhtiar dengan hanya berutus pesan dengan sekutunya seorang jelata di Kota Lempoyang. Maka disampaikanlah oleh Si Pendengki akan hajatnya mahu dititipkan sebuah dua kitab yang molek untuk diselidiki. Ada pun nama sekutunya Si Pendengki itu ialah Si Pemurah. Maka Si Pemurah yang baik hati dan kuat mentalnya itu pun menitipkan sebuah dua kitab yang molek untuk dikhatam.

Dikisahkan, beberapa hari sebelum “Pesta Kutubun Kalamun” bermula, Si Pendengki sudah mula memesan kitab itu dan ini dek kerana kesurupan ingin turut merasa keriangan berpesta walau pun sekadar berpesta diam-diam sendiri tidak ada riuh tidak ada sesak.

Bukan kepalang gembiranya Si Pendengki sampai terlompat-lompat kerana kesukaan yang teramat kerana kitab-kitab yang dipesan berserta titipan Si Pemurah sudah ada di depan mata. Tidak habis dengan terlompat-lompat, Si Pendengki cekatan mengambil kitab-kitab itu lalu berlari keliling kampung sepertinya orang gila yang lepas lari dari tahanan.

Dengan banyaknya jumlah kitab-kitab Si Pendengki itu maka terniatlah oleh Si Pendengki untuk menamakan himpunan kitab-kitabnya itu sebagai “Khutub Khanah Pendengki”. Dan barangsiapa yang mungkin dengki akan Si Pendengki dan tidak tahu malu, maka Si Pendengki mempersilakanlah mereka itu untuk bertamu di “Khutub Khanah Pendengki”.




Demikianlah kisah hamba Si Pendengki yang gila. Ya, hamba memang gila kitab dan selalu dengki ingin turut sama-sama mabuk ilmu supaya dalam khayal hamba itu nanti harapnya ada raban dan repek yang waras yang boleh dibawa ke dalam nyata.

Nota :

1. Tulisan di atas adalah rekaan semata-mata. Segala watak, tempat dan segala apa yang disebutkan dalam tulisan di atas adalah tidak menyentuh mana-mana pihak sama ada yang hidup atau yang sudah mati. Sekiranya ada, itu semua kebetulan sahaja. Tulisan di atas adalah untuk suka-suka sahaja bagi menyampaikan maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat.

2. Gambar-bambar sekitar Pesta Buku Antarabangsa di atas adalah dipetik lalu diubah suai dari laman web
Alaf21 Sdn. Bhd.

3. Tulisan ini saya nukilkan untuk mengembalikan kenangan bergilir membaca “Hikayat Malim Deman” dengan mama semasa zaman bersekolah rendah dahulu.

4. Ucapan terima kasih kepada
Akim kerana sudi membelikan saya buku-buku Ustaz Hasrizal yang semuanya ada tiga, “Benarkah Iskandar Bukan Zulqarnain” dan “Ketupat Cinta”. Sesungguhnya budimu Akim tidak terbalas oleh saya, hanya Allah jualah yang membalasnya. Saya hanya mampu berdoa agar Akim cepatlah mendirikan masjid. :-)

2 comments:

akimsensei said...

wah kak. nota no.4 tu khusus utk den tu. ayat last tu plg menarik. duit xcukup lg. hihi.

Linda Amri said...

hehe ingatkan akim tak baca dah entri ni. tak cukup fulus? sabar sabar, yang penting pasang niat dulu, kemudian berusaha dan tawakal, insyaAllah Allah permudahkan semuanya :-)