








Untuk kesekian kalinya, Ramlee Awang Murshid menyajikan satu persembahan yang luar biasa dalam setiap novel tulisan beliau.
Dalam novel terbaharu beliau - Mikhail... bukan sekadar nama, pembaca dijanjikan dengan satu kisah yang hebat diperkatakan kini. Penguasaan ekonomi ke atas negara-negara yang membangun dan mundur adalah angkara satu kuasa besar yang telah diketahui umum.
Untuk mengetahui lebih lanjut, penguasaan tersebut dan bagaimana mereka menunjukkan kekuasaan, anda kenalah membaca Mikhail.
Selayaknya, Ramlee Awang Murshid dinobatkan sebagai Novelis Thriller Nombor Satu Malaysia, karya-karya beliau merupakan karya yang luar biasa bagi pendapat saya. Tidak ramai penulis di Malaysia yang mempunyai pemikiran yang sama dengan beliau.
Saya mula mengenali beliau melalui pembacaan buku Aku Darah Anak Malaysia (ADAM) pada tahun 2005. Pada masa itu saya mencari-cari buku yang sesuai dan menarik untuk dibaca. Saya terpandang satu buku berwarna kuning dengan cop Presiden Amerika Syarikat sebagai gambar kulit hadapan. Saya membaca sinopsisnya dan ternyata ia menarik minat saya.
Titik tolak daripada pembacaan ADAM lah saya berusaha untuk mendapatkan buku-buku beliau yang lain dan ternyata pencarian saya tidak sia-sia.
Kesemua buku beliau - Igauan Maut terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Anugerah Pertama terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd, Pei Pan terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd serta semua buku-buku beliau terbitan Alaf21 Sdn Bhd saya perolehi melalui pembelian secara dalam talian (online).
Terkini, saya memiliki 17 buah buku beliau kecuali Personal Justice (versi terjemahan ADAM dalam Bahasa Inggeris). Insyaallah, saya akan dapatkan juga nanti.
Saya tampilkan di sini untuk tatapan anda semua gambar buku-buku Ramlee. Dan, nantikan ulasan Mikhail dalam Cerita Pasal Buku lebih kurang 2 bulan dari sekarang. Saya sengaja melewatkan ulasan untuk memberi ruang kepada rakan-rakan lain yang belum lagi mendapatkan dan membaca Mikhail.
Untuk pengetahuan semua, Igauan Maut sudah kehabisan stok begitu juga dengan Anugerah Pertama tetapi untuk Pei Pan boleh didapati secara online di Ujana Ilmu dan untuk buku-buku beliau terbitan Alaf21 boleh dapatkan di sini. Kalau nak senang, kunjungi kedai-kedai buku berhampiran seperti MPH, Popular, Kinokuniya, Times dan Tesco (Bahagian Buku). Untuk mereka di sekitar Kota Kinabalu pula, buku-buku Ramlee boleh didapati di Eaton's dan Popular di Centre Point.
Untuk mengetahui cerita terkini Ramlee Awang Murshid serta peminat-peminat beliau, sila layari http://www.kelabram.com/ . Jomlah chat dengan kitorang kat sana. Jumpa anda di sana ya!







0 comments:
Post a Comment