PADA musim Aidilfitri baru-baru ini, iklan TM yang memaparkan kisah lelaki membawa pulang keluarga beraya di kampung setelah ketiadaan orang tua, menggamit rasa ramai penonton. Bahkan, tidak kurang mengatakan iklan berkenaan adalah antara yang terbaik untuk musim raya tahun ini.
Babak akhir yang memperlihatkan bagaimana si bapa tiba-tiba tersentuh dan kesal dengan dosa silam, setelah ditegur anak lelakinya sendiri, bagai meninggalkan impak besar kepada penonton. Melihat pada ulasan yang ditinggalkan di laman YouTube dan sebagainya, nyata ramai yang menyukai iklan terbabit, tidak kurang memuji lakonan Ismadi Wakiri, pemegang si bapa.
Iklan arahan Osman Ali berkenaan dilakonkan jejaka berusia 34 tahun itu bersama Haziq daripada program kanak-kanak popular, Tom Tom Bak, yang memegang watak si anak. Dek keberkesanan lakonannya dalam iklan raya TM, tidak kurang peminat menghubungi Hip untuk mendapatkan cerita mengenai jejaka ini. Sudah menjadi rezeki kami, panggilan yang dibuat terjawab. Lalu, sesi fotografi dan temubual diatur demi memenuhi permintaan.
"Seingat saya, babak si bapa menangis itu ialah hasil rakaman kali ketiga kami lakukan. Kali pertama, air mata saya lambat hendak keluar, manakala pada rakaman kedua, emosi pula yang kurang. Pada rakaman ketiga, saya berasakan semuanya dilakukan dengan baik, apatah lagi Haziq pula benar-benar melemparkan dialog yang memang menyentap perasaan.
"Bagi mendapatkan emosi yang sebegitu, saya meletakkan diri saya dalam situasi lebih kurang sama. Saya cuba membayangkan, bagaimana sekiranya saya tidak sempat menemui ibu bapa saya apabila saya keluar bekerja, tidak lama dulu (sebagai pramugara). Bagaimana jika saya tidak sempat menghubungi mereka, apatah lagi menatap wajah mereka, dan kemudian saya dapati kedua-duanya sudah tiada?" cerita Ismadi mengenai pengalaman melakonkan iklan berkenaan.
Kata Ismadi, skrip diserahkan kepadanya sehari sebelum penggambaran dilakukan, pertengahan Ramadan lalu. Skrip yang sama juga diberikan kepadanya sewaktu dia menghadiri uji bakat. Lalu, dia bagai sudah mengetahui watak yang harus dilakonkan. Di rumah, dia mempelajari karakter si bapa dengan berlatih di depan cermin serta menuturkan dialog sendirian.
"Oleh kerana lakonan ini untuk komersial, maka saya harus memastikan lakonan itu tidak sama dengan teater atau drama televisyen," katanya yang mengucapkan syukur apabila semua pihak, termasuk pengarah, kru dan penerbit, memberikannya ruang dan masa tatkala dia perlu menjayakan adegan berkenaan.
Maklum saja, katanya, sudah begitu lama dia tidak mengasah bakat, apabila menerima tawaran terbang di awan biru bersama Penerbangan Malaysia (MAS) pada 2003. Hanya pada Mac tahun ini, kontrak lima tahunnya bersama syarikat penerbangan itu tamat dan dia kembali mencuba nasib dalam bidang lakonan.
Pada dasarnya, Ismadi bukan nama baru dalam bidang seni kerana pembabitannya dalam lakonan dan vokal sudah pun bermula 15 tahun lalu. Sudah banyak drama bersiri dan telefilem dijayakan olehnya. Begitu juga dia tidak asing di kalangan penggiat teater.
Baca selanjutnya di
Berita Harian OnlineKlik untuk video iklan raya TM 2008