Friday, October 31, 2008
Corat-Coret : Bahasa Jiwa Bangsa
Bangsa Melayu sinonim dengan keindahan sopan santun dan tata susila. Oleh itu, dalam entri kali ini, mari kita sama-sama mempelajari kata panggilan dan kata sapaan, kata gelaran dan rujukan hormat serta kata ganti nama yang disesuaikan dengan konteks dan situasi. Kata-kata ini kita gunakan untuk memenuhi kehendak masyarakat dan norma bahasa itu sendiri.
Kata panggilan dalam keluarga:
Pak - digunakan untuk orang lelaki kira-kira sebaya dengan ayah kendiri.
Mak - digunakan untuk orang perempuan yang kira-kira sebaya dengan emak kendiri.
Tuk/Nenek/Opah dan sebagainya - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang kira-kira seumur dengan datuk atau nenek kendiri.
Abang - digunakan untuk orang lelaki yang tidak setua ayah kendiri dan tidak semuda kendiri.
Kakak - digunakan untuk orang perempuan yang tidak setua emak kendiri dan tidak semuda kendiri.
Adik - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang lebih muda daripada kendiri.
Long (singkatan bagi sulung) - anak pertama
Ngah (singkatan bagi tengah) - anak kedua
Lang (singkatan bagi alang) - anak ketiga
Andak, Anjang atau Njang - anak keempat
Cik (singkatan bagi kecil) - anak sebelum anak terakhir
Busu atau Su (singkatan bagi bongsu) - anak yang terakhir
Maka akan wujudlah gabungan panggilan seperti Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Lang, Pak Njang atau Pak Andak, Mak Njang, Pak Cik, Mak Cik, Pak Su dan Mak Su.
Untuk kata panggilan dalam bentul formal pula adalah seperti berikut:
Tuan - digunakan untuk orang lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri dan orang lelaki yang bergelar Haji, Doktor, Profesor dan Syed seperti Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Doktor Khoo dan Tuan Profesor Osman.
Encik/Cik - boleh digunakan untuk orang lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri, seperti Encik Ali atau Cik Ali.
Puan - digunakan untuk orang perempuan yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri dan orang perempuan yang mempunyai gelaran Doktor, Profesor dan sebagainya.
Saudara - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang seumur dengan kendiri atau lebih muda dan yang hubungannya belum rapat dengan kendiri atau digunakan dalam rujukan kepada ahli dalam mesyuarat, perbahasan dan sebagainya.
Saudari - digunakan untuk perempuan sahaja dalam konteks yang sama dengan penggunaan gelaran saudara.
Tetuan - hanya digunakan dalam surat rasmi yang ditujukan kepada pemilik atau pentadbir syarikat perniagaan (termasuk syarikat guaman) seperti Tetuan Syarikat Sinaran Sdn. Bhd.
Berikut adalah kata rujukan hormat mengikut taraf sosial seseorang:
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja Permaisuri - Duli Yang Maha Mulia
Balu Raja - Yang Maha Mulia
Raja Muda atau Tengku Mahkota - Duli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat mulia
Kerabat Diraja Karib - Yang Amat Mulia
Bergelaran warisan - Yang Mulia
Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri - Yang Amat Berhormat
Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (wakil rakyat) - Yang Berhormat
Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau Raja - Yang Berhormat Mulia
Tun, Toh Puan - Yang Amat Berbahagia
Yang mempunyai gelaran kurniaan kerajaan (selain Tun dan Toh Puan) atau/dan gelaran ikhtisas yang formal - Yang Berbahagia
Ketua Hakim Negara - Yang Amat Arif
Ketua Polis Negara - Yang Amat Setia
Hakim, Kadi - Yang Arif
Mufti dan pemimpin Islam - Sahibul Samahah
Ketua jabatan tanpa gelaran - Yang Berusaha
Mungkin ada yang mengatakan - "Baru saya tahu semua ni". Saya pun sama juga, sebelum ni samar-samar tapi sekarang ni, dah jelas dan terang.
Sumber : Dewan Bahasa Oktober 2008
Thursday, October 30, 2008
Corat-Coret : Perginya Seorang Pejuang Pena
Saya berasa wajar untuk memberikan penghormatan kepada pejuang pena ini – Tan Sri A. Samad Ismail (Pak Samad) dengan mencatatkan serba sedikit tentang beliau di blog ini. Mungkin ramai generasi muda yang tidak mengenali Pak Samad termasuk saya sendiri. Saya membuat catatan ini untuk saya lebih mengingati beliau dan menghayati perjuangan beliau menerusi arena penulisan.Pak Samad menyertai Utusan Melayu pada tahun 1939 ketika berusia 16 tahun. Ketika itu beliau diberikan gaji sebanyak RM10 sebulan dan akhirnya dinaikkan RM30 sebulan. Beliau bekerja di bawah kepimpinan “Bapa Wartawan Melayu”, Abdul Rahim Kajai. Malah, sebahagian sifat Rahim Kajai ditirunya.
Beliau merupakan seorang yang bertindak atas prinsip berani kerana benar sanggup menempuh pelbagai rintangan dan halangan dalam memperjuangkan bangsa. Beliau pernah ditahan atas tuduhan mendukung aktiviti komunis bermula 1951 hingga 1953 juga pernah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 1976 hingga 1981. Di Singapura, beliau juga pernah ditangkap sebanyak dua kali oleh pemerintah British iaitu pada tahun 1946 dan 1951. Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut sehingga mencetuskan rusuhan.
Pada 1987, beliau dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Kebangsaan Malaysia sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara. Penghargaan ini adalah sebahagin daripada pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam dunia kewartawanan tanah air.
Pak Samad ialah pemikir dan penasihat belakang tabir pemimpin Negara. Semasa hayatnya, beliau sentiasa dikunjungi oleh pelbagai pihak bagi mendapatkan pandangannya tentang pelbagai perkara termasuk bagaimana menyelesaikan krisi Negara yang melanda. Beliau menjadi saksi, perakam dan pencorak sebahagian daripada peristiwa sejarah tanah air.
Beliau merupakan ikon kewartawanan Malaysia. Pemergian beliau pada 04 September 2008 yang lalu merupakan satu kehilangan yang sukar untuk dicari ganti. Seperti Tan Sri P. Ramlee dalam bidang hiburan, Pak Samad menjadi lagenda dalam kewartawanan. Tokoh besar ini sukar ditandingi dalam waktu yang terdekat.
Al-Fatihah untuk Allahyarham Pak Samad. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para anbia’ dan syuhada’, amin.
Sumber : Jeniri Amir dalam Dialah Pejuang, Dewan Masyarakat Oktober 2008.
Wednesday, October 29, 2008
Wayang Kita : Cuci
Anda sudah menonton filem Cuci, arahan Hans Isaac? Saya baru sahaja menonton filem ini di Astro pada raya lepas. Mulanya saya ingatkan ia filem yang biasa tetapi ternyata dalam ‘biasa’ ada yang luar biasa.Filem arahan Hans Isaac yang pertama ini mengisahkan empat orang pemuda yang dibesarkan oleh sebuah keluarga angkat telah meninggalkan kampung halaman mereka dan berhijrah ke Kuala Lumpur dengan niat hendak menceburi bidang perniagaan pembersihan.
Sebelum mengambil keputusan menceburi bidang pembersihan mereka kerap bertukar pekerjaan dek kerana tiga orang daripada mereka kurang serius dan tidak mengambil berat akan apa yang mereka lakukan.
Fairil (lakonan Afdlin Shauki) selaku abang di antara mereka bereempat berazam merubah kehidupan mereka dengan menggalakkan adik-adiknya yang lain menyertai pertandingan “Window Washing Olympic (WWO)” kerana pemenang pertandingan ini bukan sahaja memenangi wang sebanyak RM5,000.00 tetapi juga akan mendapat peluang untuk mendapat kontrak pembersihan bangunan KLCC.
Nak tau pasukan Cuci-Cuci Services ini menang atau pun tidak? Kenalah tonton filem ini!
Filem yang turut dibintangi oleh AC Mizal sebagai Tan, Awie sebagai Jojo, Hans Isaac sebagai Khai, Erra Fazira sebagai CJ, Umi Aida, Dato’ Rahim Razali dan Khir Rahman pada saya mempunyai mesejnya yang tersendiri. Antara skrip yang saya suka adalah “Siapa lagi yang lebih layak untuk mencuci di antara bangunan yang teringgi di dunia ni kalau bukan orang Malaysia sendiri?” (Begitulah lebih kurang). Skrip ini saja sudah cukup untuk membuat kita berfikir sama ada mahu terus duduk di tempat kita sekarang atau pun mahu mencuba sesuatu yang agak mencabar. Adakah kita orang Malaysia tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa untuk membersihkan bangunan kita sendiri? Tanya hati, fikirlah sendiri!
Pada saya, filem ini santai dan bersahaja tetapi mempunyai mesej yang tersendiri. Dengan teknik kamera yang baik, tidak keterlaluan sekiranya saya memberi pujian kepada Hans Isaac. Syabas dan teruskan usaha anda, Hans!
Tuesday, October 28, 2008
Corat-Coret : Alzheimer
Alzheimer atau nyanyuk adalah penyakit yang belum ditemui punca sebenar dan penawarnya. Menurut kajian, ia berpunca daripada kerosakan sel otak yang mengakibatkan masalah daya ingatan, pemikiran dan kelakuan yang menjejaskan tugasan seharian, hobi dan perhubungan social. Penyakit ini biasanya dihidapi oleh mereka yang berusia 65 tahun ke atas, namun tidak mustahil dihidapi oleh mereka yang jauh lebih muda.Sejarah Alzheimer:
· Ditemui pertama kali oleh ahli Psikiatri Jerman, Alois Alzheimer pada tahun 1901. Kajian Alois dilakukan terhadap Auguste D. wanita berusia 50 tahun yang menghidap penyakit ini.
· Alzheimer telah dikelaskan oleh Emli Kraepelin sebagai sebahagian dari senile dementia (penurunan fungsi kognitif akibat kerosakan atau penyakit dalam otak) dalam edisi kelapan Textbook of Psychiatry yang dikeluarkan pada tahun 1910.
Tanda-Tanda Awal:
· Lupa – Terutamanya mengenai aktiviti atau maklumat yang beru diterima.
· Hilang tumpuan – Bermasalah dalam merancang, menyelesaikan tugasan biasa dan pemikiran abstrak seperti menyelesaikan masalah matematik mudah.
· Masalah bahasa – Gagal mengingati nama sesuatu objek, perkataan yang bercampur dan kesukaran melengkapkan ayat.
· Kekeliruan masa dan tempat – Kesukaran mengenalpasti jiran terdekat, bagaimana tiba ke sesuatu lokasi dan kekeliruan mengenai bulan atau musim.
· Kelemahan penilaian – Berpakaian yang kurang sempurna atau lemah dalam membuat keputusan kewangan.
· Penglihatan menjadi kabur.
· Kelemahan pergerakan dan koordinasi – Pergerakan menjadi perlahan dan gagal mengimbangi tubuh.
· Perubahan tingkah laku dan mood – Perubahan mood secara drastic, emosi tidak terkawal, perubahan personality dan kerap takut.
· Apati dan tekanan – Hilang minat sesuatu aktiviti, kerap tidur dan menghadap televisyen untuk tempoh masa yang panjang.
Cara Hindari:
· Menjalani gaya hidup sihat dan aktif secara fizikal dan mental seperti bersenam dan melakukan yoga.
· Kurangkan risiko Alzheimer dengan mengamalkan diet secara Mediterranean yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, roti, gandum, bijirin, minyak zaitun dan ikan. Dapatkan resipi diet yang sesuai untuk alzheimer di sini.
· Melakukan aktiviti intelektual seperti bermain catur atau berinteraksi social.
· Mereka yang mempunyai penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi dan diabetes lebih berisiko menghadapi penyakit ini.
Jom kita fikirkan sejenak sama ada kita ada potensi mengidap Alzheimer atau tidak. Kalau rasa-rasa ada, mari kita sama-sama mengamalkan cara hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh pakar kesihatan.
Sumber : Nurul Izza Mohd Yatim dalam Penyusutan Kitaran Hidup. AstroView November 2008 Mukasurat 38-39.
Corat-Coret : KL Banyak “Ayam”-Apakah Pendirian Malaysia?
Perasaan saya bercampur-baur apabila membaca rencana utama dalam Dewan Masyarakat Oktober 2008 yang bertajuk “Malam Kuala Lumpur Semakin Menggila” yang ditulis oleh Mohd. Shukri Mohd. Ariff yang membicarakan tentang aktiviti pelacuran di Kuala Lumpur (KL) yang semakin berleluasa dan tidak dibendung. Perasaan marah bercampur sedih datang silih-berganti. Muka saya panas kerana darah saya berderau sambil menahan gejolak perasaan yang meluap-luap dek kerana geram bercampur marah dengan pemerintahan Malaysia kini.Rencana ini menyatakan - Menurut Datin Seri N. Saraswathy Devi, Presiden Persekutuan Peguam Wanita Antarabangsa (FIDA) semasa membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Antarabangsa XXXII FIDA pada 08 November 2005 menganggarkan sekurang-kurangnya 150 ribu wanita terlibat dalam kegiatan pelacuran di Malaysia. Daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 10-15 ribu orang pelacur berada di KL.
Berdasarkan kaji selidik penulis rencana ini, dominasi pelacur di ibu kota sekarang bukan lagi terdiri daripada pelacur kelas bawahan yang bersarang di Lorong Haji Taib dan chow Kit seperti 10-20 tahun dahulu. Sebaliknya, pelacur di KL sudah dimonopoli pelacur kelas menengah yang kebanyakan beroperasi di pusat spa dan urut di hotel mahupun premis persendirian.
Fakta yang lebih mengejutkan saya adalah anggaran pendapatan hasil aktiviti pelacuran ini. Purata harga “caj perkhidmatan” yang dikenakan oleh pelacur kelas menengah kepada seorang pelanggan adalah antara RM100 hingga RM250. Dengan anggaran jumlah pelacur seramai 10 ribu orang dan lima ribu daripada jumlah ini adalah pelacur kelas menengah yang beroperasi setiap hari serta secara purata seorang pelacur dilanggan oleh tiga orang pelanggan, maka jumlah wang urus niaga seks paling minimum di KL sahaja mencatatkan RM1.5 juta sehari, RM45 juta sebulan dan RM5.4 billion setahun. Jumlah ini lima kali ganda lebih besar daripada peruntukan dalam Belanjawan 2009 untuk membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk miskin di Sabah dan Sarawak!
Pada ketika saya melihat anggaran pendapatan inilah pelbagai persoalan menerjah fikiran saya sekaligus meragui status Malaysia sebagai Negara Islam. Adakah wajar Malaysia diiktiraf sebagai Negara Islam sedangkan maksiat bermaharaja lela di hadapan mata? Sekiranya ada yang memberikan jawapan – penguatkuasaan ada dilaksanakan tetapi menurut fakta dalam rencana ini – sekurang-kurangnya sebanyak 843 serbuan sudah dibuat di pusat pelacuran di KL dan sebanyak 1309 orang pelacur berjaya diberkas (data Bukit Aman setakat 30 Jun 2008). Angka ini cuma 13.1 peratus daripada jumlah anggaran 10 ribu orang pelacur di KL.
Sememangnya sungguh menyedihkan. Adakah kerajaan sekadar memerhati tanpa mengambil sebarang tindakan drastik sambil menikmati hasil lumayan aktiviti maksiat ini? Apakah jaminan masa hadapan generasi akan datang Malaysia yang lebih terdedah kepada gejala maksiat yang lebih teruk sekiranya perkara ini tidak dibendung? Lebih menyedihkan lagi aktiviti maksiat ini telah menular di dalam Internet dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sendiri tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap beberapa pengendali laman web lucah kerana mereka beroperasi secara sah mengikut undang-undang.
Terus-terang saya katakan saya berasa malu untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam! Mungkin ini antara jawapan kepada ketidakstabilan politik kita sejak pilihanraya umum yang lalu. Ditambah lagi dengan krisis ekonomi global yang belum nampak cerahnya. Mungkin Allah memberikan kita peringatan untuk kita muhasabah diri mencari kesilapan dan membetulkan keadaan sebelum semuanya terlambat. Kiamat semakin hampir! Allahuakbar!
Nota : Entri ini turut dimuatkan oleh seorang sahabat - WebSutera dalam blog beliau dan turut dibincangkan dalam forum di debatpolitik.com. Keprihatinan saudara sekalian adalah sangat dihargai, terima kasih.
Friday, October 24, 2008
Sana-Sini : Bulan Bahasa dan Sastera Negara
Mari sini saya mau kasi tau kamurang! Pada hari ini, 24 Oktober hingga 26 Oktober 2008 akan berlangsungnya sambutan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) di Kota Kinabalu, Sabah. Pada malam ini akan diadakan majlis pelancaran yang dijadualkan akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah di Padang Merdeka, Kota Kinabalu. Kepada anda yang berkelapangan dan berada di sekitar KK, bolehlah menyaksikan majlis pelancaran ini. Kepada yang tidak berkelapangan pula seperti saya ni, jangan risau dan jangan sedih itu baru pelancarannya. Jom sama-sama kita berkunjung dan meriahkan ekspo BBSN yang diadakan juga bermula pada hari ini hinggalah 26 Oktober nanti bertempat di Centre Point, KK. Lokasi yang tepat tidak pula diketahui tetapi biasanya kalau ada ekspo mesti buat kat Palm Square di tingkat 5.
Perasmian Ekspo BBSN pula dijangka akan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Nasir Sakaran Dandai. Mari kita pigi ramai-ramai!Arramaiiti!
Corat-Coret : Erti Kemaafan
Dah baca Dewan Pelajar edisi Oktober 2008? Kalau dah baca mesti anda sudah membaca rencana "Memahami Erti Kemaafan" pada muka surat 4 dan 5 dan ditulis oleh Syed Hassan bin Syed Mohamad Al-Haj. Saya belikan majalah Dewan Pelajar ni untuk anak-anak saya sekaligus saya bacalah sekali untuk mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Walaupun majalah ini didedikasikan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka untuk si cilik 12 tahun ke bawah tetapi kebanyakan artikel yang ada di dalamnya juga berguna kepada semua golongan kerana ia padat dengan informasi dan artikel yang menarik. Salah satu artikel pada bulan ini adalah mengenai erti kemaafan. Untuk hari ini saya cuba ringkaskan rencana ini dan memaparkan beberapa intipati untuk dokongsikan bersama dengan anda semua.Kemaafan Menurut Pandangan Pelbagai Agama:
- Ajaran Buddha melihat kemaafan sebagai latihan menghalang pemikiran jahat daripada menjadi kaca/bilau kepada kesihatan mental seseorang. Perasaan dendam serta hasad dengki boleh meninggalkan kesan jangka panjang dalam karma minda. Oleh itu, agama Buddha menggalakkan percambahan fikiran yang boleh meninggalkan kesan positif yang menyeluruh.
- Ajaran Kristian mengajar penganutnya menerima kemaafan lebih telus melalui perasaan ikhlas bertaubat kepada Tuhan. Pengakuan dan doa oleh pesalah merupakan cara memohon kemaafan. Hal ini disokong dengan pengakuan kepada Tuhan kerana Tuhan Maha Pengampun.
- Ajaran Hindu, iaitu petikan dalam kitab Mahabharata menyebut "Hanya ada satu kecacatan dalam memaafkan sesorang, iaitu ramai menganggap orang yang memafkan bersifat lemah. Hal ini tidak wajar diambil kira kerana kemaafan merupakan kuasa terhebat."
- Ajaran Islam pula menegaskan bahawa Allah Yang Maha Pemaaf dan Maha Pengampun menyuruh kita supaya selalu memaafkan kesalahan orang seperti dalam firmanNya "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'aruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh."(Al-A'raf :199)
Seseorang yang tidak mahu memaafkan kesalahan saudaranya terhadap dirinya maka dia tidak disukai Allah. Sikap yang sedemikianmenunjukkan kesombongan dan hati yang kotor serta penuh dendam. Hal ini demikian kerana sebagai manusia dia pun berharap sangat dimaafkan oleh orang lain.
Sabda Rasulullah s.a.w "Barang siapa yang diminta maaf oleh saudaranya yang Muslim, ia tidak mahu memaafkan, maka ia mempunyai dosa sebesar dosa orang yang merompak."(Hadith riwayat Ibnu Majah)
Kelebihan Orang Yang Suka Memaafkan:- Dapat menyucikan hati
- Dapat ketenangan fikiran
- Dapat menyembuhkan penyakit
- Dapat wajah yang menawan dan ceria
- Doanya akan dimakbulkan Tuhan
- Dapat mengurangkan ketegangan fikiran
Pada akhir rencana ini juga terdapat sebuah sajak yang cukup berkesan:
Maafkanlah… andai hatimu pernah disakiti
Maafkanlah… andai hatimu pernah dilukai
Maafkanlah… andai hatimu masih dilukai
Maafkanlah… andai hatimu tetap dilukai
Biarlah Tuhan yang membalas semua perbuatan yang melukakan hatimu
Pohonlah maaf… andai kau pernah melukai
Pohonlah maaf… andai kau pernah menyakiti
Pohonlah maaf… andai kata-katamu melukakan insan lain
Pohonlah maaf... andai bicaramu menyebabkan tangisan insan lain
Pohonlah maaf... andai perbuatanmu menzalimi jiwa yang terluka
Memohon mmaf tidak akan merendahkan martabatmu
Memohon maaf tidak akan menjatuhkan darjatmu
Memohon maaf tidak akan menghinakan dirimu
Jadi, bermaaf-maafanlah kita untuk memulakan episod baru dalam kehidupan kita. Di kesempatan ini juga saya menyusun jari memohon ribuan kemaafan kepada kaum keluarga saya, sahabat handai yang jauh dan dekat seandainya saya ada menyakiti anda semua dengan kata-kata saya atau pun tingkah laku saya selama ini. Saya hanya manusia biasa yang serba kekurangan yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Semoga Allah mengampun kita semua kerana Dialah Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
Tapi, janganlah pula lepas raya kita tak bermaaf-maafan, teruskanlah amalan ini kerana memaafkan dan meminta maaf ini memberikan kita ketenangan fikiran dan kesucian hati. Menurut Dato' Dr. Fadhilah Kamsah dalam salah satu siri motivasinya ada juga menyarankan agar sebelum kita tidur setiap malam kita dapat memaafkan kesalahan orang lain juga untuk tujuan mendapat ketenangan fikiran dan kesucian hati.
Salam sayang buat semua! Mmmmmuuuaaaahhhhhhh
Thursday, October 23, 2008
Lagu Kita : YB Posok Kampung (YB Masuk Kampung)
Keoyoan Tuhan (Kebesaran Tuhan)
Iyen sebab nei beriu nya’ teketo (Apa sebabnya angin tak dapat dilihat)
Teko-teko jo ru’un tereso (Tapi dapat dirasa)
Ko’ jaip akal amun penikiran (Sungguh tak terjangkau dek fikiran)
E’ei nu atag nei keoyoan Tuhan (Itulah tandanya kebesaran Tuhan)
Umbu teketo tapi nya’ tereso (Asap boleh dilihat tapi tak boleh dirasa)
Ta’ ingo ingo teniup le’ dioto (Ke sana ke mari ditiup angin)
Ta’ tenga’ langit tuung nei temban (Di tengah langit tempat duduknya)
Teko musim nei io jadi uran (Sampai ketika ia bertukar jadi hujan)
Deing elum ta’ taik masin (Ikan hidup di laut masin)
Nginei kenakan reso nei rengin (Bila dimakan rasanya tawar)
Amun tenuut nya’ subei tenimusan (Kalau ikutkan tak perlu dibubuh garam)
Tan tan genoul ko’ osom-osoman (Cuma perlu tambahkan perasa dan asam)
Besoyo nu kam ta’ kuasa Tuhan (Percayalah kepada kuasa Tuhan)
Anu meru’un Adam ko’ Hawa (Yang menjadikan Adam dan Hawa)
Susa ko’ sanang anang tenakdiran (Susah dan senang memang ditakdirkan)
Sementara nei elum ta’ diom dunya (Sementara hidup di dalam dunia)
Oyo te’ bana kuasa Tuhan tei (Alangkah besar kuasanya Tuhan)
Nya’ ru’un jomo bei ngelebian nei (Tidak ada manusia mampu melawanNya)
Io nu payung ta’ sekemon ombo (Dia memayungi sekalian manusia)
Seodo odo manusia nombo io (Sekalian manusia yang menyembahNya)
Thursday, October 16, 2008
TM Sabah Boleh Bah!
Saya cuma nak berkongsi kegembiraan kemenangan kontinjen TM Sabah di dalam acara perbarisan sempena sambutan Kemerdekaan yang ke-51 yang diadakan pada 31 Ogos lalu. Di dalam kategori Swasta, TM Sabah mendapat Tempat Kedua manakala untuk acara perbarisan sempena sambutan Harijadi TYT yang diadakan pada 11 Oktober lalu pula TM Sabah mendapat gelaran Juara.
Sebagai salah seorang anggota TM Sabah saya turut berasa bangga dengan kejayaan kontinjen perbarisan mewakili TM Sabah. Ini bukanlah satu tugasan yang mudah kerana mereka sanggup berpanas menahan kepanasan matahari dan berlatih berhari-hari untuk memastikan kemantapan berpasukan. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada mereka. TM SABAH BOLEH BAH! Acara Raptai
Kemerdekaan-51
Kemerdekaan-51
Harijadi TYT
Hadiah Kemenangan
Harijadi TYT
Sumber : Bahagian Perhubungan Awam TM Sabah
Tuesday, October 14, 2008
"Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H" - Eid Mubarak 1429H
Saya cuma nak imbas kembali sambutan hari raya tahun ini untuk ingatan dan kenangan saya. Sehari sebelum raya - 30 September 2008 kami sekeluarga (4 beranak) menziarahi kubur arwah nenek dan atuk saya sebelah mak. Di samping membersihkan kubur, kami turut bersedekah Al-Fatihah dan berdoa semoga roh mereka dan ahli kubur yang lain dicucuri rahmat dan ampunkan segala dosa serta ditempatkan di dalam syurga bersama-sama dengan para anbia' dan syuhada'. Daripada Allah kita datang kepada Allah jualah kita kembali.






