Tuesday, November 4, 2008

Corat-Coret : Cukai VS Zakat

Perkara ini sudah lama saya fikir-fikirkan, borak-borakkan bersama suami. Saya membangkitkan persoalan ini kerana baru-baru ini saya menerima 'surat cinta' daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengarahkan saya menjelaskan sejumlah cukai pendapatan yang belum saya jelaskan.

Saya sudah membuat semakan atas sejarah pengisian borang-borang cukai secara 'online' dan ternyata saya tidak silap kira tetapi saya belum merujuk kaunter LHDN yang terdekat takut saya panas baran dan memaki hamun kerana kesilapan mereka. Tunggu kemarahan saya reda barulah saya akan mengunjungi kaunter LHDN. Inisiatif LHDN menukar borang manual kepada borang secara 'online' patut diberikan pujian kerana perkara ini banyak memberikan manfaat kepada pembayar cukai namun dengan adanya kes-kes sebegini sedikit sebanyak mencabar kredibiliti LHDN. Yang lebih mengecewakan saya adalah sejumlah cukai yang saya perlu jelaskan itu adalah untuk cukai 2-3 tahun lepas. Persoalannya, apakah yang menyebabkan kelewatan pemberitahuan ini berlaku? Bukankah sepatutnya mereka membuat pengiraan/penyemakan semula sebaik sahaja tempoh pengisian borang cukai oleh pembayar cukai tamat dan seharusnya pemberitahuan dilakukan pada tahun yang sama supaya tidak timbul keraguan?

Apa yang ingin saya persoalkan sekali lagi adalah mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Pada pendapat saya yang agak cetek ilmu ini, adalah sepatutnya setiap orang Islam dalam negara ini di'wajib'kan untuk membayar zakat pendapatan dan bukan sekadar zakat fitrah sahaja. Mungkin ada yang mengatakan tidak semua rakyat dalam negara ini beragama Islam. Ya, betul tetapi pada zaman kegemilangan Islam pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat Baginda dahulu pun ada orang bukan Islam dalam negara mereka tetapi sistem zakat masih boleh dilaksanakan tanpa sebarang bantahan. Untuk orang Islam ada caranya untuk kita memungut 'zakat' atau pun dikenali sebagai cukai kepala atau apa-apa cukai yang berkaitan seperti yang kita laksanakan kini.


Saya percaya tidak semua rakyat beragama Islam yang bekerja dalam negara ini membayar zakat pendapatan. Tidak pula diketahui apa puncanya, sama ada tidak tahu, tidak mahu ambil tahu atau buat-buat tidak tahu, hanya mereka yang tahu jawapannya.


Apa yang saya hendak tekankan adalah kenapa sebuah negara Islam tidak meWAJIBkan rakyatnya yang beragama Islam membayar zakat pendapatan atau perniagaan tetapi lebih mengutamakan cukai? Bercakap pasal zakat, timbul pula persoalan lain - bagaimanakah Pusat Zakat menguruskan zakat? Pernah seorang rakan mu'alaf memberitahu suami saya bahawa mereka yang layak (yang tergolong dalam 8 asnaf) boleh memohon untuk mendapatkan zakat. Mohon? Satu perkataan yang mengundang satu persoalan - apakah yang Pusat Zakat lakukan selama ini? Mereka bersikap reaktif tidak proaktif. Pada pendapat saya, adalah lebih baik mereka mencari mereka yang layak untuk diberikan zakat seperti rumah kebajikan, mu'alaf dan fakir miskin daripada duduk menunggu mereka yang memerlukan belas ihsan wang zakat. Memang ada pemerintah memberikan zakat, itu pun bila nak dekat raya dan terdapat pula kes di kampung saya, ketua kampung yang membuat pemilihan siapa yang hendak diberikan zakat. Semestinya, beliau akan memilih sanak-saudaranya dan mereka yang dekat tanpa mengambil tahu siapakah yang yang layak untuk diberikan zakat mengikut Islam.


Cukai dan zakat, kedua-duanya sama penting tetapi yang pasti - zakat daripada orang Islam untuk orang Islam. Sama-samalah kita fikir-fikirkan!

0 comments: