Saya pasti ramai yang sudah menonton filem Ayat-ayat Cinta mahu pun membaca novelnya tulisan Habiburrahman El-Shirazy yang menjadi sebab filem ini dihasilkan. Sememangnya anda mempunyai pendapat sendiri setelah selesai membaca mahu pun menonton filem ini.Pada saya, pujian harus diberikan kepada mereka yang berusaha untuk mengetengahkan kisah dalam novel ini ke layar perak. Sejak dulu memang kita selalu disajikan dengan filem atau pun drama yang diadaptasi daripada novel-novel yang laris jualannya (bestseller) atau novel atau karya yang menarik kerana memiliki mesej perjuangan yang tersendiri.
Di Malaysia misalnya, saya pernah menonton drama Seorang Tua di Kaki Gunung lakonan Tamam Idris yang diadaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama, Nasinya Tumpah lakonan Marlia Musa yang diadaptasi daripada cerpen juga dengan judul yang sama, drama bersiri yang diadaptasi daripada novel Pei Pan tulisan Ramlee Awang Murshid dan beberapa filem dan drama juga oleh penulis tempatan seperti Sharifah Abu Salem dan Sasterawan Negara A. Samad Said sendiri.
Di peringkat antarabangsa pula, kita sudah menyaksikan Harry Potter, Memoirs of a Geisha, Gone with the Wind, karya Stephen King, epik klasik seperti Pride and Prejudice, Emma dan Oliver Twist sehinggalah yang bertemakan ‘thriller’ dan aksi seperti Crime and Punishment, Bram Stoker Dracula dan siri penyiasatan Sherlock Holmes.
Saya sudah membaca novel Ayat-ayat Cinta dan menonton filemnya. Saya merasa kecewa kerana apa yang sepatutnya ditonjolkan di dalam novel tidak dipaparkan di dalam filemnya. Mungkin menjadi satu kemestian apabila novel difilemkan, jalan ceritanya tidak sama dengan apa yang sepatutnya. Mungkin agak sukar untuk membawa babak-babak dalam novel ke dalam filem dan mungkin juga untuk keselesaan penonton maka ia harus melalui suntingan skrip yang mengambil kira sensitiviti kaum dan agama.
Novel Ayat-ayat Cinta pada pendapat saya adalah sebuah novel Islami yang mampu mengetengahkan watak Fahri sebagai seorang pemuda muslim yang berilmu bukan sahaja ilmu akademik tetapi juga ilmu agama. Fahri yang diceritakan oleh El-Shirazy adalah seorang yang istimewa sehingga beliau layak untuk menjadi murid Sheikh Uthman dalam pengajian al-Quran. Fahri juga seorang yang konsisten dan berdisiplin. Buktinya, walau pun hari panas terik beliau tetap teruskan perjalanan untuk mengaji al-Quran dan beliau sudah mengatur jadual hidup beliau untuk dipenuhi termasuklah bila beliau harus bernikah.
Fahri yang diceritakan dalam novel ini merupakan seorang pemuda muslim yang ideal dan mampu memikat hati wanita yang membaca novel ini. Atas sebab inilah juga Fahri dikisahkan diimpikan oleh beberapa gadis untuk dijadikan suami. Yang pasti, keinginan ini bukanlah kerana nafsu tetapi kerana cahaya akidah yang terpancar pada wajah dan peri laku Fahri.
Apa yang mengecewakan saya dalam filem Ayat-ayat Cinta adalah watak gadis-gadis ini seolah-olah mencintai Fahri kerana nafsu dan bukannya kerana agama. Filem tidak dapat memaparkan dengan baik bahawa Fahri adalah seorang lelaki muslim sejati apatah lagi dalam filem ini turut dipaparkan Fahri sedang marah-marah pada Aisha kerana komputer peribadinya ditukarkan dengan komputer riba sedangkan dalam novel tidak ada satu ketika pun Fahri digambarkan marah-marah hatta ketika beliau dipenjarakan sekali pun, beliau tetap sabar dengan maki hamun dan siksaan yang beliau terima.

Mungkin tajuk “Ayat-ayat Cinta” mampu untuk mengumpan golongan muda remaja untuk menonton filem ini tetapi habuannya juga haruslah mantap dengan pengisian yang seharusnya sama dengan novel Ayat-ayat Cinta yang mempunyai mesej cinta yang universal iaitu cinta sesama manusia dan cinta pada yang Satu iaitu cinta pada Allah tuhan sekalian alam.
Walau apa pun pendapat anda, yang pasti penulisan dan pefileman adalah dua bidang yang berbeza. Perjuangan dan hala tuju juga mungkin berbeza. Untuk itu, saya masih memilih penulisan untuk merungkaikan yang tersirat dalam yang tersurat dan untuk menjadi wadah perjuangan dalam menyampaikan mesej demi keamanan sejagat serta untuk menjadi wadah jaringan ilmu.







0 comments:
Post a Comment