Deja vu? Seperti pernah membaca entri saya dengan tajuk ini? Memang ya. Dekat Tapi Jauh juga tajuk entri saya berkenaan Maher Zain Live in Concert pada Februari lalu. Cuma, entri tersebut saya
delete atas sebab-sebab tertentu.
Alhamdulillah, saya dan adik saya mendapat peluang untuk menghadiri konsert Maher Zain buat kali kedua. Kalau Februari lalu di Stadium Malawati Shah Alam, kali ini di Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak. Konsert Maher Zain Live in Kuching yang dipersembahkan oleh CatsFM, ditaja bersama oleh Marctensia, Kementerian Pelancongan Sarawak, Awakening Records, TV3 selaku siaran TV rasmi, Sarawak Tribune serta Utusan Sarawak selaku akhbar rasmi juga menampilkan artis di bawah naungan Awakening Records - Irfan Makki dan Mesut Kurtis sama seperti konsert di Shah Alam.
Bezanya? Semestinya kos untuk menghadiri konsert kali ini jauh lebih murah kerana Kuching dan Kota Kinabalu tidak jauh jaraknya. Kami hanya menginap untuk satu malam di Kuching memandangkan konsert hanya diadakan satu malam sahaja berbanding dengan di Shah Alam, kami menghadiri kedua-dua malam.
Sambutan? Lebih kurang sama dengan konsert di Shah Alam, stadium hampir penuh dengan para peminat cuma mungkin saiz Stadium Perpaduan ini lebih kecil berbanding dengan Stadium Malawati. Para peminat juga memberikan kerjasama yang baik dengan menyanyikan lagu-lagu yang didendangkan bersama dengan Irfan, Mesut dan Maher. Uniknya, konsert kali ini ramai dihadiri oleh para peminat di Sarawak yang bukan sahaja berbilang bangsa tetapi juga berlainan agama. Peminat dari Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Sabah juga sanggup datang untuk turut memeriahkan konsert.
Irfan Makki, Mesut Kurtis dan Maher Zain
Koordinasi/Penganjuran? Hmmmm saya sedikit tidak puas hati dengan layanan di pintu masuk. Saya dan adik kurang bernasib baik kerana penerbangan kami ditangguhkan satu jam disebabkan oleh keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan kami tiba di Kuching agak lewat. Hanya sempat untuk meletakkan bagasi di bilik hotel setelah mendaftar masuk dan terus bergegas ke stadium dalam keadaan hujan lebat. Sampai sahaja di stadium, kami terpaksa meredah hujan lebat untuk masuk ke stadium melalui pintu yang dikhaskan untuk ruang M2 (bahagian atas). Dalam keadaan basah kuyup (termasuk kasut), beg kami diperiksa oleh RELA yang bertugas. Mereka menyuruh saya meletakkan kamera yang saya bawa dalam kereta sebelum masuk ke dalam stadium, namun saya katakan kepada mereka yang saya tidak ada kereta, saya orang jauh dan baru sahaja tiba dengan kapal terbang, cuma sempat meletakkan beg di hotel dan menaiki teksi untuk ke sini. Mereka memanggil seorang lelaki (saya kira kakitangan Marctensia) lalu menyatakan situasi saya. Beliau hanya menggelengkan kepala sambil berkata "Dalam tiket sudah bagitau yang tidak boleh bawa kamera professional kan", saya katakan "Ini bukan kamera professional, zoom pun tak boleh jauh. Saya bayar mahal untuk datang ke sini, saya menaiki kapal terbang dan saya sekarang basah kuyup takkanlah kamera ni pun tak boleh lepas". Setelah menghubungi seseorang, beliau katakan pada saya "Ok, boleh bawa masuk tapi tolong jangan ambil gambar", saya katakan pada beliau yang saya berjanji untuk tidak ambil gambar. Kami berdua dan seorang lagi lelaki (juga ditahan kerana kamera) akhirnya dibenarkan masuk. Tempat duduk
free seating, hanya tiket berharga RM303 dan VIP sahaja yang ada nombor tempat duduk. Alhamdulillah masih banyak ruang kosong untuk kami memilih tempat duduk yang strategik. Saya mungkir janji kerana saya menggunakan kamera saya untuk mengambil beberapa gambar kenangan dan untuk dikongsikan dengan mereka yang tidak punya kesempatan dan peluang untuk hadir. Bagi saya, tidak salah untuk mengambil gambar dan video cuma cukup sekadar tanpa
flash/lampu. Para peminat hadir dengan membayar sejumlah harga yang agak mahal dan tidak salah untuk mengambil beberapa gambar dan video buat kenangan dan bukan untuk tujuan diperdagangkan. Para penganjur telah mendapat habuan mereka dalam bentuk wang ringgit dan publisiti dan sepatutnya para peminat dihargai dengan membenarkan mereka mengambil gambar atau video kenangan.
Keseluruhannya? Saya lebih berpuas-hati dengan penganjuran dan persembahan di Shah Alam berbanding kali ini. Apa pun,
thumbs-up buat Sarawak kerana mampu untuk membawa Maher Zain ke Kuching. Saya tidak pasti adakah sesiapa yang sanggup untuk membawa Maher Zain ke Sabah :)
Harapan? Saya sangat berharap dapat menghadiri konsert Maher Zain dengan iringan orkestra. Lagu-lagu kerohanian dan kemanusiaan yang dibawakan oleh beliau akan tambah 'hidup' lagi dengan iringan muzik orkestra. Insha Allah, ada jalannya... :)
Pemandangan luar bilik hotel tempat kami menginap
Antara pemandangan di kedai-kedai menjual cenderahati
Waterfront
Cenderahati dari saya untuk anda